backup og meta

Sedang Menyusukan Si Kecil? Ini 7 Persoalan Sering Bermain Di Fikiran Ibu - #3 Paling Penting

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/06/2020

    Sedang Menyusukan Si Kecil? Ini 7 Persoalan Sering Bermain Di Fikiran Ibu - #3 Paling Penting

    Bergelar seorang ibu adalah impian setiap wanita. Namun bagi ibu yang menyusu badan, pastinya ada beberapa persoalan tentang penyusuan yang sering bermain di fikiran, bukan?

    Mengapa wujudnya persoalan tentang penyusuan?

    Tidak kira sama ada anda ibu baru menyusu badan mahupun sudah bergelar ibu untuk beberapa orang anak, pastinya ada persoalan tentang penyusuan yang sering berlegar di minda anda.

    Selalunya keadaan ini wujud akibat, kepercayaan atau mitos yang selalu anda dengar.

    Ia secara tidak langsung akan menyebabkan anda mempersoalkannya, seperti adakah fakta itu betul, perlukah anda mengikutinya dan sebagainya.

    Usah risau, pada perkongsian artikel ini, kami di Hello Doktor akan memberikan 7 persoalan berkaitan penyusuan yang paling kerap ditanyakan oleh ibu yang menyusu badan.

    7 persoalan tentang penyusuan

    1. Apa perlu saya makan?

    Soal pemakanan adalah antara persoalan tentang penyusuan yang sering menjadi kebimbangan para ibu.

    Ini berikutan timbul kerisauan jika makanan yang diambil boleh mendatangkan kesan kepada bayi yang meminum susu ibu.

    Sama seperti ketika anda sedang hamil, adalah penting untuk anda memastikan makanan yang diambil mempunyai nutrisi dan tinggi kandungan khasiatnya jika anda adalah ibu yang menyusu badan.

    Anda perlu memakan cukup buah-buahan, sayuran, gandum, serta makanan tinggi protein dan kalsium.

    Anda boleh menyemak diet MyPlate untuk memastikan anda mendapatkan pemakanan seimbang.

    Anda mungkin boleh memberikan sedikit kelonggaran kepada diri tetapi pastikan anda mengambil lebih 300-500 kalori setiap hari sebagai ibu yang menyusu badan. 

    7-persoalan-tentang-penyusuan

    1. Bolehkah bayi yang minum susu ibu mengalami alahan?

    Alahan boleh berlaku kepada bayi yang hanya meminum susu ibu. Kenapa?

    Keadaan ini mungkin kesan daripada makanan yang dimakan atau diminum oleh ibu.

    Antara sumber alergen adalah susu lembu, kacang soya, gandum, jagung, oat, telur, kekacang dan juga sesetengah jenis ikan mahupun makanan laut.

    Antara tanda bayi mungkin mengalami alahan adalah seperti:

    • Kerap muntah 
    • Kesakitan pada perut, seperti perut kembung atau membengkokkan lutut
    • Najis berdarah atau najis menjadi keras
    • Wujud ruam dan bengkak

    Jika anda berasakan si kecil mungkin mengalami alahan, bawa anak anda menjalani pemeriksaan doktor.

    Anda juga disarankan untuk menghindari makanan yang boleh mencetuskan alahan kepada bayi.

    Walaupun ia jarang berlaku, tetapi jika si kecil mengalami kesukaran bernafas, hubungi talian kecemasan untuk bantuan.

    1. Bagaimana nak kekalkan susu yang secukupnya?

    Kepercayaan mengenai wujudnya sesetengah makanan tertentu yang menjadi penggalak susu juga merupakan persoalan yang sering diutarakan.

    Setakat ini tiada bukti saintifik untuk menyokong hubungan antara pengambilan makanan atau minuman tertentu sebagai milkbooster.

    Jika ibu yang menyusu mengamalkan pemakanan yang sihat, ia pastinya membantu dalam penghasilan susu.

    Sudah tentu setiap ibu yang menyusukan bayi perlu:

  • Memastikan pengambilan kalori yang mencukupi. Anda mungkin tidak perlu terlalu risaukan tentang jumlah kalori yang diambil selagi tidak mempunyai masalah mengekalkan berat yang seimbang
  • Pengambilan cecair yang mencukupi penting. Bagaimana? Cukup sekadar anda minum bagi menghilangkan dahaga.  Kurangkan pengambilan air yang terlalu manis
  • Perkara paling utama yang perlu diingati setiap wanita yang menyusukan bayi adalah makan ketika lapar dan minum apabila haus
  • 7-persoalan-tentang-penyusuan

    1. Pengambilan vitamin perlu ketika penyusuan?

    Ibu yang menyusu tidak perlu mengambil sebarang vitamin sekiranya anda mengamalkan gaya pemakanan yang seimbang. 

    Namun, untuk sesetengah keadaan, doktor mungkin akan menasihatkan anda untuk meneruskan pengambilan vitamin ketika tempoh pranatal, sewaktu menyusukan bayi.

    Pengambilan lemak tidak menjejaskan jumlah lemak yang terkandung dalam susu ibu. Tetapi ia mungkin menjejaskan keseimbangan antara lemak baik dan lemak jahat dalam susu.

    1. Makanan perlu dielakkan?

    Setiap bayi adalah berbeza. Mungkin sesetengah makanan yang memberi kesan kepada bayi anda, langsung tidak mendatangkan kesan kepada bayi yang lain.

    Jadi sebenarnya tidak wujud makanan yang harus anda elakkan semata-mata kerana anda menyusukan bayi.

    Anda boleh makan apa yang diingini, pada bila-bila masa yang dimahukan melainkan bayi menunjukkan sebarang reaksi alahan.

    Sama seperti ketika hamil, ibu yang menyusu badan juga disarankan untuk menghindari atau mengehadkan pengambilan ikan yang tinggi kandungan merkuri.

    Ini kerana tahap merkuri yang tinggi boleh menjejaskan perkembangan sistem saraf bayi.

    Anda dinasihatkan untuk mengawal pengambilan minuman berkafein dan beralkohol ketika menyusukan bayi.

    1. Perlu ke ikuti diet tertentu untuk kurangkan berat ketika menyusu?

    Berat badan adalah antara persoalan tentang penyusuan yang kerap diutarakan wanita yang sedang menyusukan badan.

    Wanita yang hamil memang akan mengalami proses kenaikan badan.

    Ia adalah untuk membantu memenuhi keperluan tenaga ketika proses penyusuan.

    Secara purata, ibu baharu memerlukan lebih kurang 6 minggu untuk pulih daripada proses bersalin.

    Dalam tempoh masa ini, ibu tidak digalakkan untuk fokus kepada menurunkan berat badan.

    Tetapi berita baiknya, seorang ibu yang menyusu badan untuk tempoh 6 bulan dan ke atas, secara semula jadinya akan kehilangan berat badan.

    Jadi ibu yang menyusu tidak disarankan untuk melakukan sebarang amalan diet kerana ia mungkin boleh menjejaskan penghasilan susu badan.

    ibu yang menyusu badan

    1. Makan antibiotik perlu hentikan penyusuan? 

    Dalam kebanyakan kes, hampir kesemua ubat antibiotik adalah selamat untuk diambil ketika menyusu badan dengan hanya beberapa pengecualian. 

    Jika wujud keraguan, anda boleh bertanyakan kepada doktor atau ahli farmasi sama ada ubat antibiotik tersebut sesuai untuk dimakan ketika menyusukan badan atau tidak.

    Penjagaan kesihatan

    Secara umumnya, penjagaan kesihatan adalah 1 perkara penting setiap individu, apatah lagi jika anda sedang hamil atau menyusukan bayi. 

    Pastikan anda mendapatkan rehat yang mencukupi serta menghentikan sebarang tabiat yang tidak sihat seperti merokok kerana ia mendatangkan keburukan kepada bayi apabila menyusu badan, bukan hanya ketika mengandung.

    Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, dapatkan rundingan daripada individu yang bertauliah dan bukan sekadar membuat semakan dengan Dr Google semata-mata.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan