Simptom Kekurangan Vitamin A

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Vitamin A adalah kumpulan sebatian yang diperlukan dalam jumlah yang kecil untuk badan dalam mengekalkan kesihatan.  Vitamin ini tidak dapat dihasilkan oleh badan, jadi ia merupakan antara aspek pemakanan yang penting. Walaupun ia jarang untuk berlaku, tetapi kekurangan vitamin ini boleh mendatangkan impak pada badan, dan individu yang berisiko untuk berdepan masalah kekurangan vitamin ini adalah wanita hamil, ibu yang menyusukan, bayi serta kanak-kanak. Jadi, apakah tanda dan simptom kekurangan vitamin A?

Apakah itu vitamin A?

Vitamin A boleh didapati dalam pelbagai jenis sumber makanan, termasuk sayuran berdaun hijau, sayuran berwarna oren seperti lobak, ubi keledek dan labu, susu serta telur. Vitamin ini adalah penting untuk pelbagai fungsi badan seperti kesihatan mata, penglihatan, kulit yang sihat dan membantu melawan jangkitan.

Vitamin A adalah vitamin larut lemak, yang terbahagi kepada dua jenis;

  • Preformed vitamin A – juga dikenali sebagai retinol dan biasa terdapat dalam daging, ikan, telur dan produk tenusu.
  • Provitamin A – adalah jenis vitamin yang terhasil dari karotenoid dalam tumbuhan seperti sayuran dan buahan berwarna merah, hijau, kuning dan oren yang ditukar kepada vitamin A oleh badan.

Simptom kekurangan vitamin A

  1. Kulit kering

simptom kekurangan vitamin a - kulit kering

Walaupun masalah kulit kering boleh disebabkan oleh pelbagai faktor lain, tetapi kekurangan vitamin A turut boleh menjadi puncanya. Vitamin ini penting untuk penghasilkan dan memperbaiki sel kulit. Ia juga membantu untuk melawan dan mencegah keradangan disebabkan oleh sesetengah masalah kulit. Tidak mendapat vitamin A yang mencukupi cenderung menyebabkan masalah ekzema dan masalah kulit lain.

  1. Lambat sembuh

Luka yang lambat sembuh selepas mengalami kecederaan atau pembedahan adalah berkait dengan tahap vitamin A yang rendah. Ini kerana vitamin A menggalakkan penghasilan kolagen – komponen penting untuk kulit yang sihat. Kajian percaya, pengambilan vitamin A sama ada secara suplemen atau melalui pemakanan, dapat membantu menguatkan kulit.

  1. Mata kering

Merupakan antara isu yang paling biasa berlaku disebabkan kekurangan vitamin ini. Dalam kes yang kronik, ia boleh menyebabkan kebutaan atau kornea yang mati. Mata yang kering atau ketidakupayaan untuk menghasilkan air mata, merupakan antara tanda pertama kekurangan vitamin A. kebanyakan kanak-kanak di India, Afrika dan Asia Tenggara yang diet pemakanannya kurang vitamin A, berisiko untuk mengalami masalah ini.

  1. Jerawat

simptom kekurangan vitamin a - jerawat

Oleh kerana vitamin A menggalakkan perkembangan kulit dan melawan keradangan, ia mungkin membantu mencegah atau merawat jerawat. Beberapa kajian menunjukkan kaitan tahap vitamin A yang rendah dengan kemunculan jerawat.

  1. Gangguan tumbesaran

Kanak-kanak yang tidak mendapat vitamin A secukupnya akan berdepan masalah pembesaran. Ini kerana vitamin A amat penting untuk perkembangan badan manusia yang betul.

  1. Jangkitan

Kerap mengalami jangkitan, terutama pada tekak dan dada, adalah tanda kekurangan vitamin A. Walaupun hasil kajian adalah bercampur, tetapi, suplemen vitamin A, dapat membantu mengawal jangkitan pada saluran pernafasan.

  1. Masalah kesuburan

Masalah kesuburan ini boleh terjadi kepada individu lelaki mahupun wanita. Ini kerana vitamin A adalah diperlukan untuk pembiakan dan perkembangan bayi. Jika anda sukar untuk hamil, ia mungkin simptom kekurangan vitamin A, malah ia juga boleh menjadi penyebab kepada masalah keguguran. Terdapat penyelidikan lain yang menunjukkan lelaki subur mungkin memerlukan keperluan yang lebih besar untuk antioksidan kerana tahap tekanan oksidatif yang lebih tinggi dalam badan mereka. Vitamin A merupakan antara sumber nutrien yang bertindak sebagai antioksidan dalam badan.

Bahaya pengambilan berlebihan

Walaupun kekurangan vitamin A boleh menyebabkan berlakunya simptom tertentu. Tetapi jika pengambilan yang berlebihan pula boleh mendatangkan bahaya dan mudarat kepada tahap kesihatan. Antara masalah yang boleh berlaku adalah seperti loya, muntah, penglihatan kabur, penipisan tulang, kerosakan hati, sakit kepala dan cirit-birit – jika diambil dalam dos yang besar secara berterusan untuk tempoh yang panjang.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.