Elak Tertelan Lidah, Beri Pesakit Sawan Gigit Sudu? Berkesankah Cara Ini?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Jika anda pernah bertembung dengan orang yang terkena sawan, pasti anda ada ternampak individu lain yang cuba memasukkan sesuatu ke dalam mulut mereka. 

Sudu, kayu atau apa-apa sahaja peralatan keras yang boleh menghalang mereka daripada “tertelan” lidah mereka sendiri.

Adakah perkara tersebut benar? Adakah mereka yang mengalami sawan berisiko tinggi untuk tertelan lidah mereka sendiri?

Baca artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Gigit sudu bukan cara terbaik lindungi lidah dalam penyakit sawan

gigit sudu

Perkara ini bukan sahaja tular dalam kalangan masyarakat tempatan, malah ia turut digambarkan dalam filem atau rancangan televisyen. Ia perlu diambil serius memandangkan rawatan awal yang salah boleh menyebabkan komplikasi kecederaan kepada mereka yang sedang mengalami sawan.

Terdapat dua sebab mengapa amalan ini masih dipegang oleh segelintir individu:

  • Mereka percaya bahawa individu yang mengalami sawan boleh tertelan lidah mereka
  • Terdapat individu yang risau pesakit sawan akan tergigit lidah mereka semasa mengalami episod sawan

Jika anda sedar, pada lidah terdapat satu struktur yang dipanggil sebagai frenulum. Ia memastikan struktur lidah dikunci pada lantai mulut maka tiada langsung risiko untuk seseorang itu untuk tertelan lidah.

Walau bagaimanapun, masih ada individu yang percaya seseorang itu boleh tertelan lidah hanya kerana mereka pernah terdengar akan perkara tersebut daripada mulut orang lain. 

Jika kayu atau sudu diletakkan ke dalam mulut pesakit ketika terjadinya sawan ringan, ia mungkin hanya menyebabkan kecederaan ringan.

Namun, bagi pesakit yang mengalami masalah epilepsi, penyakit sawan boleh menyebabkan tekanan yang kuat daripada rahang mengakibatkan terhasilnya bunyi kisar gigi.

Kalau ada individu yang gigit sudu besi atau kayu ke dalam mulut sewaktu perkara tersebut berlaku, ia boleh menyebabkan gigi rosak/patah.

Mereka yang mengalaminya boleh tertelan gigi tersebut atau serpihan kayu yang digigit sekali gus menimbulkan komplikasi lain. 

Terdapat juga keadaan di mana lidah tersepit di antara sudu/kayu dan gigi menyebabkan kecederaan yang lebih serius.

Oleh sebab itulah, peralatan keras tidak seharusnya diletakkan ke dalam mulut sewaktu seseorang itu sedang mengalami sawan.

Jangan beri gigit sudu, jadi apa bantuan awal untuk pesakit sawan?

gigit sudu

Sawan adalah penyakit yang lazim dialami dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun begitu, kebanyakan individu mempunyai tahap pengetahuan yang rendah terhadapnya. 

Terdapat pelbagai jenis sawan yang boleh dikenal pasti namun ia sukar dibezakan. Secara amnya mereka yang mengalami sawan akan menunjukkan gejala seperti:

  • Ketegangan otot
  • Pengsan
  • Pergerakan otot laju dan tidak terkawal
  • Kecederaan pada pipi atau lidah kerana tergigit sewaktu hilang kawalan badan
  • Hilang keupayaan untuk menahan kencing
  • Rahang tersekat (lockjaw)
  • Muka kebiruan
  • Rasa sesemut

Penting bagi mereka yang menguruskan pesakit sawan untuk tahu bagaimana cara untuk memberikan pertolongan awal sebelum ketibaan ambulans atau pihak yang terlibat.

  1. Jika seseorang itu terkena sawan sewaktu sedang berdiri atau duduk, pegang mereka dan baringkan dengan perlahan-lahan.
  2. Iringkan pesakit tersebut ke sebelah kiri bagi mengelakkan berlakunya aspirasi (kemasukan objek asing ke dalam saluran pernafasan).
  3. Alihkan objek berbahaya di sekitar pesakit bagi mengelakkan kecederaan.
  4. Pastikan kepala pesakit stabil sewaktu sawan sedang berlaku. Letakkan kepala mereka di atas pakaian atau tuala yang telah dilipat dengan baik.
  5. Longgarkan tali leher, kolar baju atau apa-apa pakaian yang menjerut leher. Ia bagi memberikan ruang kepada individu tersebut untuk bernafas.
  6. Pastikan anda merekod durasi sawan tersebut. Jika anda tidak pasti bila ia bermula tidak mengapa. Rekod daripada saat anda terjumpa pesakit yang alami sawan. 
  7. Hubungi 999 jika pesakit mengalami sawan lebih daripada 5 minit. Jika anda tidak pasti atau risau, hubungi talian kecemasan tersebut. 
  8. Pastikan anda duduk bersama dengan pesakit sewaktu sawan sedang berlangsung sehingga tamat. 

Jangan letakkan apa-apa pada mulut pesakit sawan

pesakit sawan

Walau apa pun yang ingin anda lakukan, jangan sesekali meletakkan apa-apa ke dalam mulut pesakit. Ia akan memberikan kemudaratan lebih daripada kebaikan yang disangka.

Perkara yang seharusnya anda fikirkan adalah perlu ke hubungi talian kecemasan setiap kali seseorang itu mengalami sawan?

Ada beberapa persoalan yang perlu dipertimbangkan jika anda tidak pasti. Jika jawapan kepada 1 atau lebih soalan di bawah adalah “ya” maka anda boleh terus menghubungi talian 999.

  • Adakah ini merupakan sawan yang pertama dialami oleh mangsa?
  • Adakah sawan tersebut berlaku lebih daripada 5 minit?
  • Adakah mangsa mengalami sawan lebih daripada 1 kali dalam tempoh masa yang singkat?
  • Adakah mangsa sukar untuk bangun atau mengalami masalah pernafasan setelah episod sawan tamat?
  • Adakah mangsa mengalami sebarang kecederaan semasa sawan berlaku?
  • Adakah sawan tersebut berlaku ketika mangsa melakukan aktiviti air (berenang)?
  • Adakah mangsa sedang hamil atau mempunyai masalah kesihatan lain seperti kencing manis dan penyakit jantung?
  • Adakah mangsa memakai tanda pengenalan perubatan yang menyuruh sesiapa berdekatan untuk menghubungi talian kecemasan semasa berlaku episod sawan?

Konklusi

Jika anda terjumpa dengan individu yang mengalami sawan, elakkan daripada mengamalkan konsep gigit sudu atau meletakkan objek lain ke dalam mulut pesakit.

Perkara penting yang perlu anda lakukan adalah meletakkan mangsa pada posisi mengiring dan rekod berapa lama episod sawan itu berlaku.

Jika terdapat apa-apa petanda yang menunjukkan anda perlu menghubungi talian kecemasan, jangan teragak-agak untuk berbuat demikian.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Mac 10, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Mac 22, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut