backup og meta

Ini 5 Tip Berkesan Untuk Menghilangkan Bau Mulut Semasa Berpuasa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 04/04/2022

    Ini 5 Tip Berkesan Untuk Menghilangkan Bau Mulut Semasa Berpuasa

    Anda pernah tak hadapi mulut berbau semasa berpuasa? Kalau pernah, jangan risau kami akan senaraikan cara hilangkan bau mulut semasa berpuasa ini.

    Ahlan Wa Sahlan Ramadan, selamat kembali! Akhirnya, bulan mulia yang ditunggu oleh umat Islam di seluruh dunia kini sudah tiba.

    Ini adalah masanya untuk semua individu Islam berpuasa dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga dari waktu terbit fajar sehingga tenggelam matahari.

    Bukan itu sahaja, bulan mulia ini juga menggalakkan kita untuk melakukan lebih banyak amal jariah. Jadi, marilah kita memperbanyakkan amalan sunat yang boleh mendatangkan lebih banyak pahala.

    Di samping itu, ada beberapa perkara lagi yang perlu diberi perhatian semasa bulan puasa ini. Antaranya adalah bau mulut.

    Ya, anda tidak tersalah baca. Kita semua tahu mulut orang yang berpuasa akan sedikit berbau.

    Ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mulut, sila dapatkannya di sini.

    Jangan risau, ia adalah normal!

    Pasti ramai yang tertanya-tanya tentang perkara ini bukan?

    Jangan risau, mulut berbau semasa berpuasa adalah perkara yang normal dan rata-rata orang akan mengalaminya.

    Punca utama perkara ini terjadi adalah disebabkan oleh bakteria yang membiak di dalam mulut.

    Ia akan tumbuh dan hidup dengan baik dalam keadaan mulut yang kurang bersih.

    Ini berlaku akibat terdapat lebihan makanan atau minuman yang tidak dibersihkan dengan baik selepas bersahur.

    Selain itu, mulut berbau semasa berpuasa juga mungkin didalangi oleh faktor kekeringan air liur.

    Air liur adalah bahan pencuci dan pembilas mulut semula jadi.

    Ia bekerja dengan membersihkan lebihan makanan dan minuman yang tersimpan pada gigi, gusi, lidah dan kerongkong.

    Disebabkan kita ditegah untuk makan dan minum semasa sedang berpuasa, sudah pasti air liur akan kering lantas menyebabkan lebihan makanan dan minuman tersimpan dalam mulut.

    Kesannya, bakteria akan tumbuh lalu membuat mulut berbau semasa berpuasa.

    Dalam pada itu, terdapat beberapa lagi punca mulut berbau ketika berpuasa termasuklah:

    • Merokok
    • Mengambil minuman beralkohol
    • Mengambil ubat kumur yang mengandungi bahan berbau kuat
    • Mengambil makanan yang berbau kuat seperti bawang, cengkih dan lain-lain
    • Memberus gigi dengan teknik yang salah selepas bersahur atau berbuka
    • Masalah kesihatan yang berlaku pada mulut, hidung, sinus, kerongkong atau sistem penghadaman

    Cara hilangkan bau mulut semasa berpuasa

    cara hilangkan bau mulut

    Ya, ia adalah perkara yang normal namun boleh dielakkan.

    Di sini kami sediakan beberapa tip atau petua sebagai cara hilangkan bau mulut semasa berpuasa, perkongsian dari Dr. Nicholas, seorang doktor di Hospital Panti Paimirma, Malang, Indonesia.

    #1. Memberus gigi dengan teknik yang betul, cara hilangkan bau mulut berkesan

    Walaupun jadual makan dan minum anda berubah, ia tidak bermaksud anda perlu mengabaikan aspek ini.

    Secara amnya, kalian perlu memberus gigi setiap kali selepas makan dan sebelum tidur.

    Jadi, itulah yang wajar dilakukan. Jangan sesekali lupa untuk memberus gigi selepas bersahur dan berbuka serta sebelum tidur malam.

    Cuma, elakkan dari memberus gigi pada waktu siang ya? Ia jatuh hukum makruh.

    Paling penting, sila memberus gigi dengan teknik yang betul iaitu menggunakan berus dan ubat gigi yang disyorkan oleh doktor.

    Selain itu, amalkan teknik memberus gigi dari atas ke bawah bukannya dari kiri ke kanan.

    Cara hilangkan bau mulut #2. Gunakan flos dan ubat kumur

    Memberus gigi sahaja kadangkala tidak mencukupi.

    Ini kerana sisa makanan dan minuman masih akan tersimpan pada lidah, gigi, gusi dan kerongkong.

    Jadi, sila gunakan flos untuk menarik lebihan makanan terutamanya carikan daging dan ayam pada celah-celah gigi.

    Kemudian, bilas mulut anda dengan menggunakan ubat kumur.

    Namun, pastikan ubat kumur yang kalian guna itu bukan diperbuat dari bahan yang berbau kuat ya?

    Sebaliknya, penggunaan ubat kumur berperisa pudina adalah sangat disyorkan.

    cara hilangkan bau mulut

    #3. Minum air putih bagus untuk berpuasa

    Bukan sahaja ia bagus untuk hilangkan mulut berbau semasa berpuasa, malahan ia juga adalah baik untuk kesihatan tubuh badan kita secara total.

    Oleh itu, ambillah air putih semasa bersahur dan berbuka untuk bau mulut yang lebih segar dan tubuh badan yang lebih sihat.

    Dalam pada itu, elakkan dari makan atau minum masakan manis dan masin kerana ia akan membuat air liur kering.

    Kesannya, anda akan lebih cepat haus dan mulut akan menjadi lebih berbau.

    Cara hilangkan bau mulut #4. Ambil lebih banyak produk tenusu

    Mengejutkan bukan? Namun, itulah hakikatnya.

    Untuk pengetahuan anda, produk tenusu adalah sumber kalsium tinggi yang sangat bagus untuk kesihatan tulang kita.

    Sebagai contoh, keju yang sangat tinggi karbohidrat adalah sangat bagus untuk menguatkan gigi, meningkatkan pengeluaran air lir serta mengurangkan pertumbuhan karang gigi.

    Selain itu juga, susu pula sangat bagus untuk membantu hilangkan bau mulut semasa berpuasa.

    #5. Berjumpa doktor gigi sebelum berpuasa

    Akhir sekali, anda seharusnya mempersiapkan diri lebih awal lagi. Sebaiknya, sila berjumpa doktor gigi sebelum tiba bulan puasa.

    Ini kerana terdapat beberapa kondisi kesihatan yang akan menyebabkan mulut anda berbau ketika berpuasa dan memerlukan rawatan pakar.

    Walaupun dunia kini sedang dilanda wabak COVID-19, ia bukan bermakna kita perlu mengabaikan kehadiran Ramadan. Semoga tip cara hilangkan bau mulut semasa puasa ini membantu anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 04/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan