Penawar Kencing Manis Tradisional: Sejauh Manakah Keberkesanannya?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 22/06/2020 . 8 minit bacaan

Diabetes atau kencing manis adalah sejenis penyakit yang melibatkan keadaan hiperglisemia, iaitu keadaan di mana kandungan gula dalam darah tinggi daripada paras yang normal. Ada yang mengatakan bahawa pengawalan diet adalah cara yang paling berkesan untuk mengawal penyakit berbahaya ini. Pun begitu, dikatakan juga ia dapat dirawat dengan mengamalkan pengambilan penawar kencing manis secara tradisional. Persoalannya, apakah penawar tersebut dan sejauh manakah keberkesanannya? Sila ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Apa itu diabetes?

Sebelum mengetahui lebih lanjut mengenai penawarnya, wajar untuk kita tahu apa itu sebenarnya penyakit berbahaya ini.

Secara umumnya, diabetes adalah kondisi kesihatan yang menyerang organ pankreas. Organ ini berfungsi untuk memproses dan mengeluarkan sejenis bahan kimia hormon yang dikenali sebagai insulin. Tujuannya adalah untuk membantu mengawal paras glukosa dalam darah untuk sentiasa berada pada paras yang normal selain membolehkan tisu-tisu dalam tubuh badan menggunakan glukosa dengan betul.

Sekiranya insulin ini tidak mencukupi, paras glukosa dalam darah akan meningkat dan ini akan menyebabkan berlakunya diabetes. 

Anda juga perlu tahu bahawa penyakit kencing manis dapat dikategorikan kepada 3, iaitu:

  • Diabetes jenis 1

Kencing manis jenis 1 atau dikenali sebagai diabetes mellitus yang bergantung kepada insulin (IDDM) berlaku disebabkan oleh kegagalan penghasilan insulin oleh organ pankreas. Kebiasaannya, penderita diabetes jenis ini akan mula mendapat simptom seawal usia kanak-kanak atau remaja lagi. Disebabkan oleh kegagalan penghasilan insulin secara semula jadi oleh tubuh badan, penghidap diabetes jenis ini memerlukan suntikan insulin secara klinikal untuk mengawal tahap gula dalam darah.

  • Diabetes jenis 2

Kencing manis jenis 2 atau dikenali sebagai diabetes mellitus yang tidak bergantung kepada insulin (NIDDM) berlaku disebabkan oleh kerintangan insulin, iaitu penurunan sensitiviti tisu dalam tubuh badan terhadap insulin dan/ atau disebabkan oleh penghasilan insulin yang tidak mencukupi. Disebabkan penderita diabetes jenis 2 masih mampu untuk menghasilkan insulin menerusi organ insulin walaupun sedikit, penyakit ini mampu dikawal dengan pengawalan diet, penurunan berat badan, pengambilan ubat, senaman serta suntikan insulin dalam keadaan yang tertentu. 

  • Diabetes gestasi

Kencing manis gestasi adalah kondisi yang dialami oleh wanita hamil. Ia lebih mirip kepada diabetes jenis 2 kerana ketika kehamilan, insulin yang diperlukan oleh wanita hamil turut diperlukan oleh bayi dalam kandungannya. Sekiranya tubuh badan tidak mampu untuk menghasilkan insulin tambahan untuk keperluan bayinya, maka si ibu akan mengalami paras gula dalam darah yang tinggi sekali gus menyebabkan berlakunya diabetes gestasi.

Tanda dan gejala diabetes

Berikut merupakan antara tanda dan gejala penyakit kencing manis:

  • Penglihatan menjadi kabur
  • Kaki menjadi kebas
  • Otot menjadi lemah
  • Tubuh badan menjadi letih dan lesu
  • Sering berasa dahaga
  • Kerap buang air kecil dalam kuantiti yang banyak
  • Jangkitan pada sistem pembuangan air kecil dan kemaluan
  • Penurunan berat badan walau selera makan tidak berkurangan
  • Penyakit kulit yang berterusan
  • Kulit mengalami kegatalan namun tiada ruam
  • Luka lambat sembuh

Jadi, jika anda perasan bahawa berlakunya sebarang tanda dan gejala ini pada anda, segera dapatkan nasihat atau rawatan doktor.

Faktor risiko diabetes

Berikut merupakan antara faktor risiko penyakit kencing manis:

  • Keturunan – risiko lebih tinggi jika ada ahli keluarga yang menghidapinya
  • Bangsa – ada bangsa yang lebih berisiko menghidapinya
  • Berat badan berlebihan atau gemuk
  • Pengambilan makanan yang tinggi lemak dan kurang serat
  • Merokok
  • Mengamalkan gaya hidup yang tidak aktif
  • Berusia lebih 45 tahun

Pun begitu, komplikasi kencing manis akan melibatkan banyak organ bergantung kepada jangka masa dan pengawalan paras glukosa dalam darah.

Paras glukosa darah meningkat secara mendadak (keadaan kecemasan)

Ia akan menyebabkan:

  • Keliru dan tidak sedarkan diri (“diabetic coma)

Paras glukosa darah yang berterusan tinggi (keadaan kronik)

Ia akan menyebabkan:

  • Penglihatan kabur, katarak, pendarahan dalam mata yang selanjutnya mungkin mengakibatkan buta
  • Saraf kebas atau hilang deria rasa di tangan dan kaki yang boleh mengakibatkan kecederaan tanpa disedari
  • Angin ahmar (strok)
  • Kegagalan buah pinggang
  • Serangan jantung

Oleh itu, pengawalan diabetes yang baik boleh membantu mencegah dan melambatkan komplikasi yang dinyatakan.

Rawatan diabetes

Sekiranya anda telah disahkan menghidap kencing manis, maka segera buat perubahan dalam gaya hidup anda serta ambil ubatan yang telah dipreskripsikan oleh doktor. Berikut merupakan apa yang diperlukan: 

Rawatan tanpa ubatan:

Penjagaan kulit

  • Mandi setiap hari
  • Sentiasa pastikan seluruh bahagian tubuh badan kering
  • Rawat kecederaan kulit, jumpa doktor jika luka tidak sembuh selepas 2-3 hari

Penjagaan kaki

  • Cuci kaki setiap hari
  • Tukar stokin setiap hari
  • Jangan berjalan tanpa kasut
  • Selalu pakai kasut yang lembut dan tidak ketat
  • Periksa kaki setiap hari untuk mengesan luka, calar, melecet, menggelembung, atau perubahan warna kaki
  • Sentiasa pastikan kaki kering sepenuhnya terutama di celah-celah jari
  • Sentiasa potong kuku jari kaki secara lurus melintang agar tidak luka

Penjagaan mata

  • Pemeriksaan mata secara berkala

Penjagaan gigi

Penjagaan berat badan

  • Mengawal pemakanan
  • Selalu bersenam

Rawatan ubatan:

  • Insulin
  • Ubat mengurangkan paras glukosa

Paling penting, kurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman anda. Pastikan anda kurangkan manis dalam masakan dan lebihkan manis pada senyuman!

tanda kencing manis

Diabetes di Malaysia

Seperti yang diketahui umum, diabetes adalah antara penyakit yang paling berbahaya di dunia. Menurut Pengerusi Eksekutif Institut Diabetes Kebangsaan (NADI) iaitu Datuk Dr. Mustaffa Embong, di Malaysia sahaja, kadar penghidap penyakit ini adalah yang paling tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia selepas Arab Saudi. 

Menurut beliau lagi, kira-kira 2.5 juta individu dewasa di Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas menghidapi penyakit ini dan statistik dalam rekod NADI menunjukkan hampir separuh daripada rakyat negara kita tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya menghidap diabetes. 

Ini kerana kebanyakan penderita diabetes jenis 2 langsung tidak menunjukkan apa-apa gejala sehingga mereka mula mengalami masalah pada organ seperti buah pinggang, jantung, mata atau terpaksa melakukan amputasi, iaitu pemotongan anggota badan.

Ekoran itu, penyakit kencing manis dikategorikan sebagai salah satu daripada masalah kesihatan yang dianggap sebagai ‘silent killer’ dan pelbagai jenis cara rawatan baharu perlu dikenalkan dan dikemukakan untuk mengawal penyakit ini.

Jadi, apakah yang boleh anda lakukan?

Penawar kencing manis tradisional

Mungkin anda boleh menggunakan penawar kencing manis tradisional yang berikut untuk mengawal glukosa dalam darah anda. Namun begitu, anda diingatkan untuk tidak hanya menggunakannya sebagai sumber ubat yang utama tetapi sentiasa berhubung dengan doktor untuk mendapatkan kepastian yang lebih nyata.

Berikut merupakan penawar kencing manis tradisional yang anda boleh gunakan:

#1. Peria katak

Peria katak mengandungi lektin yang mampu menurunkan kemampuan glukosa dalam darah yang bertindak balas dengan tisu utama dan menghilangkan selera makan individu. Lektin ini adalah punca utama kepada perkembangan hipoglemik. Jadi, salah satu cara yang boleh diamalkan adalah dengan pengambilan jus berasaskan sayur ini.

Dalam pada itu, jus ini disarankan untuk diambil dengan mencampurkannya bersama bahan yang lain seperti epal hijau, cili benggala hijau, daun saderi atau timun. Anda juga disarankan untuk mengambil jus ini setiap hari secara konsisten bagi mengawal kadar gula dalam darah sekali gus merawat diabetes secara semula jadi.

 

Cara penyediaannya adalah mudah sahaja iaitu potong halus peria katak dan campurkannya dengan bahan lain serta kisarkannya bersama air putih sehingga hancur. Paling penting, jangan sesekali tambah gula di dalamnya kerana perbuatan itu boleh menghilangkan khasiat sayur tersebut di samping menambahkan kadar pengambilan gula.

#2. Halia

Halia dikatakan berupaya membantu pesakit diabetes dalam mengawal kadar glisemik, menggalak penghasilan insulin serta mengelak masalah katarak pada mata. Menurut pengkaji dari University of Sydney, Australia, didapati bahawa ekstrak halia buderim iaitu sejenis halia dari Australia yang diperkaya dengan gingerol mampu meningkatkan kadar glukosa dalam sel otot tanpa sebarang penggunaan insulin sekali gus mengawal paras gula menjadi normal.

Selain itu, didapati juga bahawa halia sebenarnya mampu membantu meningkatkan kepekaan insulin dan melindungi individu daripada penyakit kencing manis. Menurut satu kajian, didapati bahawa 2 gram serbuk halia yang diambil pada setiap hari mampu menurunkan paras gula dalam darah sebanyak 12%.

Dalam pada itu, ia juga mampu meningkatkan kadar gula dalam tempoh jangka masa yang panjang seperti HbA1c atau hemoglobin glikasi lantas menyebabkan penurunan sebanyak 10% dalam tempoh 12 minggu. Menurut banyak kajian, halia adalah amat berguna dalam menjadi sumber antidiabetes dan boleh dijadikan penawar kencing manis secara tradisional.

#3. Bunga cengkih

Bunga cengkih mengandungi 30% daripada fenol antioksidan, quercetin serta antioxidants anthocyanin. Disebabkan itu, ia mempunyai sifat antiseptik yang menawarkan pelbagai faedah antiradang, analgesik serta untuk sistem penghadaman penderita diabetes. Menurut sebuah kajian, rempah ini didapati dapat membantu mengawal paras gula, trigliserida serta paras kolesterol LDL dalam darah penderita diabetes.

#4. Bawang putih

Bawang putih bukan sahaja terkenal dengan kebolehannya untuk merawat masalah kulit seperti panau atau jeragat. Ia juga sangat dikenali dengan sifatnya yang mampu mengurangkan paras kolesterol tinggi dalam tubuh badan yang mana ia merupakan antara masalah utama penderita kencing manis. Pengambilan sayur ini secara oral dapat menurunkan serum glukosa, kolesterol, trigliderida serta pelbagai lagi sebatian lain dalam tubuh badan penderita diabetes.

#5. Daun kari

Daun kari dikatakan dapat membantu menstabilkan tahap glukosa dalam darah serta memberi kesan kepada metabolisma karbohidrat. Menurut kajian yang diterbitkan dalam Penyelidikan Pembangunan Jurnal Antarabangsa, daun kari didapati mengandungi fitokimia yang mampu membantu mengawal tahap gula dalam darah penderita kencing manis dengan mengurangkan paras gula dalam darah. Selain itu, sifat antioksidannya juga mampu membantu pengeluaran sel pankreas dengan lebih aktif dikeluarkan sekali gus menjana lebih banyak insulin

 

#6. Kayu manis

Kayu manis adalah sejenis tumbuhan yang mampu mengawal paras glukosa dalam darah sekali gus menjadikannya sangat bagus untuk membantu melawan penyakit kencing manis. Menurut beberapa kajian, pengambilannya mampu meningkatkan keupayaan insulin selain sifatnya yang antioksidan dapat membantu mencegah tanda dan gejala diabetes.

#7. Halba

Halba dikatakan sangat bermanfaat sebagai penawar kencing manis alternatif. Pelbagai kajian telah dijalankan dan didapati bahawa halba mampu menurunkan paras glukosa dalam darah dengan memperlahankan proses pencernaan makanan serta melambatkan penyerapan karbohidrat dalam usus kecil. 

Selain itu, terdapat lagi beberapa jenis herba tradisional yang dikatakan mampu menjadi penawar kencing manis secara tradisional seperti lidah buaya serta ginseng. Kedua-dua bahan ini dikatakan dapat membantu menurunkan kadar glukosa dalam darah serta meningkatkan daya imunisasi penderita kencing manis.

Persoalannya, sejauh manakah keberkesanan penawar kencing manis tradisional ini? Hakikatnya, herba-herba yang dinyatakan tersebut memang tidak dinafikan khasiatnya, namun keberkesanannya juga adalah bergantung kepada cara dan tempoh pengambilannya. Kita tidak boleh mengandaikan bahawa herba-herba ini adalah penawar kencing manis yang mujarab.

Sebaliknya, ia hanyalah ikhtiar yang mungkin boleh membantu anda. Sebaiknya, anda perlu dapatkan khidmat nasihat dan rawatan doktor untuk menyelesaikan sebarang kondisi kesihatan anda.

peria katak

Peria katak & diabetes

Baru-baru ini, timbul sebuah khabar berita yang baik bagi penderita kencing manis. Dikatakan saintis negara kita telah berjaya menemui penawar kencing manis yang sangat mujarab di dalam bentuk sayuran peria katak.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), peria katak adalah sangat bagus untuk digunakan sebagai penawar kencing manis. Mereka telah berjaya menghasilkan penyembuh luka diabetes dengan menggunakan gabungan peria katak dengan belimbing yang telah rosak.

 

Penyembuh luka yang berbentuk gel itu berupaya menyembuhkan luka dalam tempoh kurang daripada dua hari atau 48 jam berbanding dengan penyembuh lain yang diimport daripada Amerika Syarikat dan Filipina.

 

Ketua penyelidik mereka iaitu Prof. Dr. Rosfarizan Mohamad mengatakan bahawa inovasi berkenaan berjaya dihasilkan dengan menggunakan teknologi hijau dengan kos yang rendah dan menawarkannya pada harga yang sangat murah iaitu 40 sen setiap 1 gram berbanding produk lain yang berharga lebih RM2 setiap 1 gram. 

 

Menurut beliau lagi, produk tersebut berasaskan penggunaan nanoselulosa yang dihasilkan oleh bakteria dalam buah yang telah rosak seperti belimbing. Penggabungannya dengan nano yang disintesis daripada peria katak untuk penghasilan produk baharu dikenali sebagai bahan komposit selulosa nano partikel perak atau komposit ‘hijau’.

 

Menurut Dr. Rosfarizan yang juga merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul berkata komposit ‘hijau’ ini adalah produk baharu yang mampu membantu mencuci serta menyembuhkan luka kronik pada tubuh badan.

 

Antara kelebihan produk ini adalah ia boleh digunakan secara terus pada luka sebagai gel sapuan. Selain itu, ia turut disediakan sebagai lapisan dalam balutan luka ataupun dijadikan sebagai cecair penyembur. 

Inovasi yang kreatif ini menunjukkan proses dan ciri ekonomik kerana dicipta daripada sisa dan bahan buangan daripada buah-buahan melalui prosedur yang sangat mudah serta tidak mengandungi sebarang bahan toksik selain mempunyai ciri penyembuhan anti mikrobial. 

Penggunaannya dipercayai lebih berkesan serta berpotensi untuk digunakan pada luka kronik dengan mengurangkan kesan jangkitan kuman sesuai dengan perawatan luka penderita diabetes.

Berdasarkan penemuan ini, peria katak mungkin merupakan antara penawar kencing manis tradisional yang sangat berkesan dan berpotensi untuk dijadikan sebagai penawar kencing manis yang moden. Oleh itu, pelbagai kajian mengenai sayuran ini perlu dijalankan dengan lebih lanjut untuk mengetahui mengenai tahap keberkesanannya sebagai penawar kencing manis.

Konklusi

Konklusinya, herba-herba yang dinyatakan mungkin boleh jadi penawar kencing manis tradisional. Berdasarkan pelbagai kajian, herba-herba ini terutamanya peria katak adalah sangat bermanfaat dalam mencegah atau merawat diabetes. Pun begitu, anda masih perlu merujuk kepada doktor untuk lebih kepastian. 

Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda untuk mengenali mengenai penawar kencing manis tradisional ini dan tahap keberkesanannya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Suka Makan Pakai Tangan? Jangan Pelik Ia Mungkin Punca Berat Badan Naik!

    Tahukah anda, mereka yang makan pakai tangan lebih menikmati makanan berbanding yang guna sudu? Ada banyak lagi dapatan kajian jika makan guna tangan!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Gaya Hidup Sihat, Pemakanan 17/02/2020 . 3 minit bacaan

    Daun Ketum Boleh Rawat Kencing Manis & Darah Tinggi? JANGAN Biasakan Diri Percaya Bulat-Bulat!

    Ramai individu yang beranggapan, daun ketum boleh merawat pelbagai jenis penyakit kronik termasuklah sebagai rawatan kencing manis dan hipertensi. Benarkah?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Pusat Kesihatan, Diabetes 17/02/2020 . 4 minit bacaan

    7 Tanda Anda Menghidap Kencing Manis Ketika Hamil, Lebih-Lebih Lagi Jika Anda Ada Risiko Ini!

    Penting untuk bakal ibu cakna tentang tanda kencing manis ketika hamil ini agar anda mampu untuk membuat persediaan kehamilan yang rapi.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
    Kehamilan, Penjagaan Ibu hamil 10/02/2020 . 4 minit bacaan

    Betul Ke Anak Yang Dilahirkan Ibu Obes Memiliki IQ Lebih Rendah? Tapi Kenapa?

    Selain kesan negatif terhadap kualiti hidup, ibu gemuk atau obesiti juga dapat mempengaruhi kecekapan psikomotor anak di dalam kandungan. Baca artikel ini!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Kehamilan, Penjagaan Ibu hamil 28/01/2020 . 3 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    contoh menu makanan untuk diabetes

    Orang Kencing Manis Banyak Pantang-Larang, Tapi Makanan Apa Yang Boleh Diambil? Ini Dia!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 04/06/2020 . 3 minit bacaan
    ramadhan

    Bulan Syawal Tiba! Penghidap Diabetes Jenis 1 Perlu Lebih Berjaga-jaga, Ikuti Panduan Pemakanan Ini

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 20/05/2020 . 3 minit bacaan
    pemanis buatan

    Anda Pilih Sweetener Berbanding Gula? Ada 8 Jenis Pemanis Tiruan, Malah Lebih Manis Dari Gula Biasa

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 14/05/2020 . 3 minit bacaan

    JANGAN Ambil 7 Makanan Ini Jika Anda Ingin Elak Diabetes!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 08/03/2020 . 3 minit bacaan