backup og meta

Aachuummm… Aachuummm… Kenapa Kita Bersin?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 31/12/2019

    Aachuummm… Aachuummm… Kenapa Kita Bersin?

    Aaaaaaaachuuuuummmmm…dengar bunyi itu sudah tentu kita tahu apa yang berlaku. Ia sesuatu yang normal untuk terjadi, waima kepada haiwan sekalipun. Tetapi kenapa kita bersin?

    Kenapa kita bersin?

    Kita bersin disebabkan pelbagai faktor. Selain daripada sebagai proses mempertahankan diri daripada alahan atau penyakit seperti virus atau bahan kimia. Terdapat juga sesetengah individu bersin apabila berada dipersekitaran seperti berhabuk, bau lada, debu mahupun asap.

    Bersin merupakan satu mekanisma badan untuk mengeluarkan bendasing atau objek dari rongga hidung. Objektif utama adalah untuk mencegah bahan atau bendasing ini memasuki bahagian paru-paru.

    Perasan tak apabila bersin mesti pejam mata? Ia merupakan satu tindak balas normal dan spontan yang bertujuan untuk menghalang kuman-kuman yang keluar ketika bersin daripada memasuki mata. Jadi jangan pula anda cuba nak tahan mata tu dari terpejam ketika bersin, okay?

    Menahan bersin

    Haaa…lagi satu, pernah tak anda cuba menahan diri daripada bersin? Mesti pernah. Penulis sendiri pernah melakukannya. Tetapi sebenar tabiat itu tidak baik. Ini kerana menahan diri daripada bersin berisiko menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius. 

    Tindakan anda menahan diri daripada bersin boleh menyebabkan udara terperangkap di dalam dada, mata mahupun otak. Keadaan ini sekali gus boleh mengakibatkan kecederaan kepada gegendang telinga, pembekuan darah dan rusuk patah. 

    Malahan, perbuatan anda itu juga boleh merosakkan kotak suara, mendatangkan kecederaan pada tulang leher serta menganggu saraf pada muka. Sudah tentu anda tidak mahu keadaan itu daripada berlaku, bukan? Jadi elakkan!

    3 fakta menarik

    Kita sudah tahu mengapa kita bersin, sebab mata terpejam ketika bersin dan bahaya menahan bersin. Jadi apa kata kita ketahui pula 3 fakta menarik mengenai bersin ini. Jom!

    1. Menyebar kuman

    Sebenarnya apabila bersin, sebaiknya adalah kita perlu menutup mulut dan hidung. Ini kerana ketika itu kita sedang mengeluarkan kuman keluar daripada badan. Selain melakukannya kerana adab, menutup hidung dan mulut juga dapat penyebaran kuman. 

    Malahan terdapat kajian yang dilakukan, mendapati jarak paling jauh sebiji partikel air bersin boleh pergi adalah 8 meter! Bayangkan berapa jauh kuman boleh tersebar dan berapa ramai individu boleh dijangkiti.

    2. Tidak bersin

    Satu-satu masa yang anda tidak mungkin akan bersin adalah ketika tidur. Ini kerana pada waktu itu, saraf mengawal refleks bersin juga akan berehat. Situasi ketika tidur itu dinamakan sebagai rapid eye movement atonia atau REM atonia yang kita lakukan tanpa sedar sewaktu sedang tidur, membuatkan neuron motor bersin tertutup sementara.

    3. Jantung terhenti

    Sudah tentu ini hanyalah mitos. Kalau benar jantung terhenti, ini bermakna anda sudah tidak bernyawa lagi. Keadaan sebenarnya, ketika bersin saluran darah di jantung akan menjadi sempit. Ini kerana anda akan menarik nafas panjang dan menyebabkan tekanan pada dada meningkat. Situasi ini sekali gus menurunkan kadar peredaran darah. 

    Akhir kata

    Jika anda berasa ingin bersin, jangan tahan dan lepaskan. Tetapi pastikan anda menutup mulut dan hidung menggunakan sapu tangan atau sebarang kain bersih, bukan sekadar menggunakan tangan semata-mata.

    Ini kerana jika menggunakan tangan dan tidak dibasuh selepas itu, ia sudah tentu merupakan salah satu cara penyebaran kuman dan bakteria apabila anda bersentuhan atau bersalaman dengan individu lain.

    Lagipun bukankah lebih beradab dan sopan menutup mulut dan hidung ketika bersin. Tidaklah individu sekeliling anda terpaksa melihat lendiran atau air yang keluar ‘berterbangan’ ketika bersin. Eiii..jijiknya.

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 31/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan