backup og meta

Telinga Capang Maksud Degil, Betul Ke? Bagaimana Ia Boleh Terbentuk?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/06/2020

    Telinga Capang Maksud Degil, Betul Ke? Bagaimana Ia Boleh Terbentuk?

    Semasa penulis masih kecil, rakan-rakan atau mana-mana individu yang mempunyai telinga capang pasti akan diejek dengan pelbagai gelaran, “Piring Astro” sebagai contoh.

    Siapa sahaja yang tidak tahu, penampilan fizikal lebih mudah dijadikan bahan ejekan semasa anda masih kecil berbanding ketika anda sudah dewasa. Apa pun gelaran yang diberikan, ingatlah bahawa ejekan seperti ini amatlah tidak bermoral. 

    Kita tolak ke tepi dahulu soal ejekan ini dan teruskan dengan satu keadaan yang ingin kami kupaskan; telinga capang. Adakah anda tahu bahawa telinga capang ini boleh dicantikkan kembali menerusi pembedahan otoplasty?

    Jika masih belum tahu, mari baca penerangan ringkas yang kami sediakan di bawah ini.

    Apakah yang dimaksudkan dengan telinga capang?

    Bagaimanakah seseorang itu dikategorikan memiliki telinga yang capang? Jika seseorang individu tersebut mempunyai bukaan kelopak telinga lebih daripada 2 cm daripada sisi kepala, ia dianggap sebagai telinga yang capang. 

    Bagaimanakah telinga capang ini terbentuk?

    Bagi kebanyakan individu, pembentukan telinga capang adalah disebabkan oleh lipatan antihelikal (antihelical fold) yang tidak berkembang.

    Apabila lipatan antihelikal tidak terbentuk dengan baik, ia akan membuatkan helix (bahagian pinggir luar telinga) terbuka atau terkeluar. 

    Kebanyakan individu yang bertelinga capang juga mempunyai concha yang lebih dalam. Concha adalah ruang yang berbentuk seperti mangkuk yang berada pada bukaan lubang telinga.

    Apabila concha ini semakin dalam, ia akan menolak kelopak telinga semakin jauh daripada sisi kepala. Keadaan telinga capang ini tidak menyebabkan sebarang kesan terhadap fungsi telinga, oleh itu anda tidak perlu berasa bimbang.

    Adakah terdapat sebarang rawatan untuk telinga capang ini?

    Terdapat dua rawatan yang disediakan untuk mencantikkan telinga capang sama ada melalui pembedahan atau tanpa pembedahan. Jika tanpa pembedahan, ia menggunakan kaedah atau teknik acuan telinga (ear molding).

    Manakala jika menggunakan kaedah pembedahan, ia dinamakan pembedahan otoplasty. 

    Kaedah acuan telinga (ear molding)

    Telinga capang masih boleh dicantikkan menggunakan kaedah ini jika telinga masih  dalam keadaan yang lembut, iaitu pada usia kanak-kanak. Acuan telinga menggunakan gabungan atau kombinasi sistem acuan telinga dan juga bahan acuan ortodontik untuk membentuk kembali telinga dan merapatkannya ke arah sisi kepala. 

    Acuan telinga ini akan dipasang dalam tempoh tertentu bergantung kepada umur kanak-kanak tersebut. Bagi bayi yang baru lahir iaitu sebelum berumur tiga bulan, rawatan selama dua minggu sudah mencukupi untuk mencantikkan telinganya.

    Manakala bagi kanak-kanak yang lebih berusia, kaedah ini akan memerlukan tempoh masa selama beberapa bulan. Proses ini mengambil masa yang lebih lama bagi kanak-kanak yang lebih berusia memandangkan telinga mereka sudah kurang fleksibel dan kurang responsif terhadap acuan telinga tersebut.

    Pembedahan otoplasty

    Sekiranya telinga kanak-kanak tersebut atau anak anda sendiri sudah menjadi capang dan terlalu keras untuk menggunakan kaedah acuan, anda boleh memilih pilihan rawatan yang kedua iaitu pembedahan otoplasty.

    Pembedahan otoplasty juga dikenali dengan nama lain iaitu ear pinning atau setback otoplasty. Kanak-kanak disarankan untuk menunggu sehingga mereka berumur 6 tahun apabila telinga mereka menjadi hampir matang untuk menjalani prosedur ini. 

    Prosedur bagi membetulkan telinga capang ini biasanya dilakukan menerusi pemotongan kecil pada bahagian belakang telinga.

    Gabungan cartilage scoring dan jahitan digunakan untuk menghasilkan lipatan antihelikal. Jahitan tambahan di belakang rawan concha akan membuatkan keseluruhan telinga berada lebih rapat dengan bahagian sisi kepala.

    Sebagai ibu bapa, anda tidak perlu risau terhadap pembedahan ini kerana anak anda boleh pulang ke rumah pada hari yang sama tanpa perlu berada di wad hospital selama berhari-hari.

    Selepas pembedahan dijalankan, doktor yang terlibat dengan pembedahan tersebut akan memantau anak anda sekiranya terdapat sebarang jangkitan dan juga proses penyembuhan luka.

    Terdapat sesetengah kanak-kanak yang mungkin memerlukan pembedahan tambahan bagi membetulkan kembali kedudukan telinga mereka.

    Ini kerana telinga mereka cenderung untuk kembali berada di posisi sebelum pembedahan dijalankan. Untuk pengetahuan anda, walaupun pembedahan otoplasty ini lebih kerap dilakukan dalam kalangan kanak-kanak, ia sebenarnya boleh juga dilakukan terhadap individu dengan pelbagai peringkat umur. 

    Anak saya malu kerana mempunyai telinga capang, macam mana nak buat?

    Kanak-kanak yang bertelinga capang biasanya memiliki keyakinan diri yang rendah disebabkan oleh penampilan fizikal mereka. Tetapi anda mungkin akan gembira apabila mendengar khabar ini.

    Menurut kajian, walaupun ramai individu akan lebih mudah tertarik kepada bentuk telinga kanak-kanak yang capang, ia sebenarnya tidak membawa sebarang stigma sosial yang negatif. 

    Menurut kajian tersebut, ramai individu sebenarnya tidak membezakan antara kanak-kanak dengan telinga capang dan juga kanak-kanak yang tidak mempunyai telinga capang semasa mereka melakukan undian kajian tersebut.

    Malah, mereka lebih cenderung untuk menilai kanak-kanak yang mempunyai telinga capang sebagai antara kanak-kanak yang paling pintar dan disukai. Malah ada antara kanak-kanak yang bertelinga capang dianggap lebih comel berbanding kanak-kanak lain.

    Oleh itu, sebagai ibu, sentiasa katakan kepada anak anda bahawa mereka sentiasa comel bukan sahaja pada pandangan anda, malah pada pandangan orang lain juga.

    Kesimpulan

    Walaupun stigma negatif terhadap telinga capang ini kurang berlaku dalam kalangan individu dewasa, ia sememangnya wujud dalam kalangan kanak-kanak.

    Mungkin ada antara rakan anak-anak anda yang sentiasa menggunakan elemen fizikal pada tubuh badan anak anda sebagai bahan gurauan atau ejekan. Ia bukan hanya melibatkan telinga yang capang, malah penampilan lain yang mungkin kelihatan sedikit berbeza daripada majoriti kanak-kanak lain. 

    Mungkin selepas ini, ibu bapa perlu mengajar dan mendidik setiap anak-anak mereka agar tidak menjadikan bentuk fizikal kanak-kanak lain sebagai perkara yang perlu dikatakan secara jelas, apatah lagi dijadikan modal ejekan.

    Guru juga perlu memantau anak didik di sekolah agar perkara ini tidak dijadikan budaya di sekolah di samping menerapkan nilai-nilai murni yang lebih bermoral dalam diri murid-murid. Ingatlah, ibu bapa dan guru adalah contoh terbaik untuk kanak-kanak.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan