home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Fakta Penting Mengenai Strok

Fakta Penting Mengenai Strok

Anda tidak mempunyai idea tentang apa itu strok? Atau anda rasa strok tidak penting dan tidak signifikan bagi diri anda? Artikel ini mungkin akan mengubah fikiran anda.

Strok merupakan sebab kematian nombor 3 di Malaysia

Menurut Jabatan Statistik Malaysia, penyakit serebrovaskular atau strok merupakan sebab ketiga kematian di Malaysia pada tahun 2016 iaitu sebanyak 6.9%. Hampir 1 daripada 5 kematian di negara kita disebabkan oleh penyakit serebrovaskular.

Jadi, jangan terkejut jika ada ahli keluarga atau kenalan anda yang diberitakan menghidap penyakit ini.

Bukan semata-mata mulut senget

Karakter utama bagi strok ialah mulut senget seperti yang kerap dipaparkan dalam filem di televisyen. Namun, masalah utama daripada penyakit ini ialah kesukaran untuk bergerak dan makan. Ia akan menjejaskan kualiti hidup pesakit serta penjaganya.

Strok berpunca daripada kecederaan yang berlaku pada otak dan batang otak disebabkan salur darah yang tersumbat. Bergantung kepada bahagian otak yang terbabit, simptom yang boleh berlaku termasuk lumpuh tangan dan kaki, kebas, susah menelan, masalah penglihatan, dan percakapan.

Pemakanan dan gaya hidup sihat boleh mencegah kebanyakan strok

Sehingga 80% daripada serangan strok boleh dicegah melalui pemakanan dan gaya hidup sihat. Ini mungkin merupakan fakta paling penting yang harus masyarakat tahu. Penyakit ini tidak berlaku dalam satu malam. Ia adalah hasil daripada kumpulan lemak dan plak di dalam saluran darah selama bertahun-tahun.

Apabila berlaku serangan, lihat apa yang menjadi amalan harian anda dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lalu. Adakah anda tidak merokok? Adakah anda mengambil makanan mengikut keperluan kalori yang betul? Adakah anda melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi?

Jika semua jawapan ialah tidak, ia bukanlah satu perkara yang mengejutkan kerana semua gaya hidup tersebut meningkatkan risiko serangan strok. Jika ingin mengelakkan penyakit ini, mulakan perubahan hari ini. Anda tak perlu melakukan satu perubahan terlalu drastik. Mulakan sedikit demi sedikit asalkan ada perkembangan positif.

Rawatan bukanlah satu cara yang terbaik dalam menguruskan penyakit ini walaupun terdapat banyak pilihan rawatan pada hari ini. Perkara terbaik anda boleh lakukan ialah dengan mencegahnya daripada berlaku. Strok bukan perkara yang asing dan boleh dipandang remeh. Selamatkan diri anda dan orang tersayang.

health-tool-icon

Kalkulator BMI

Guna kalkulator ini untuk mengira Indeks Jisim Badan (BMI) dan semak tahap kesihatan berat badan anda. Anda juga boleh menyemak BMI anak.

Lelaki

Wanita

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim Disemak pada 15/11/2019
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor