backup og meta

Jari Tangan Dan Kaki Selalu Berkedut Selepas Mandi Kolam? Ini Fakta Sains Ia Terjadi!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 19/09/2023

    Jari Tangan Dan Kaki Selalu Berkedut Selepas Mandi Kolam? Ini Fakta Sains Ia Terjadi!

    Pernah tak anda mengalami kulit berkedut pada bahagian tangan mahupun kaki selepas lama berendam di dalam air? Terutamanya jika anda baru sahaja selesai berenang.

    Pasti anda pernah tertanya-tanya apa punca di sebalik kulit berkedut tersebut? Adakah ia perkara yang berbahaya kepada kesihatan?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, sila dapatkannya di sini.

    Kenali anatomi kulit

    Kulit adalah organ terbesar pada badan manusia dan kulit mempunyai tiga jenis lapisan yang berbeza:

    • Lapisan dalaman (terdalam)/ tisu subkutan: Diperbuat daripada lemak dan tisu penghubung
    • Lapisan tengah/ dermis: Mengandungi saluran darah, saraf, akar rambut, dan kelenjar peluh
    • Lapisan paling luar/ epidermis: Melindungi lapisan dalaman daripada bahaya dan mengelakkan penyejatan air dalam badan

    kulit berkedut

    Epidermis mempunyai empat sub-lapisan:

    • Stratum corneum
    • Lapisan berbutir
    • Lapisan sel skuamosa
    • Lapisan sel basal

    Dalam epidermis, sel-sel yang baru terbentuk (nukleus) berada di bahagian bawah sementara sel-sel yang lebih lama ditolak ke atas secara berterusan untuk membentuk lapisan sel keratin yang mati.

    Ini adalah proses kematian sel yang berterusan atau diprogramkan yang berlaku pada kulit dalam kitaran hidup manusia.

    Stratum corneum adalah bahagian yang dapat dilihat dan dirasakan oleh seseorang, dan terdiri daripada sel-sel keratin yang sudah mati.

    Sel-sel ini bertanggungjawab untuk pembentukan kerutan di jari tangan dan jari kaki. Keratin adalah protein yang juga terdapat pada kuku dan rambut.

    Kenapa kulit berkedut selepas berendam dalam air?

    kulit berkedut

    Walaupun anda mungkin tidak dapat melihatnya dengan mata kasar, kulit anda sebenarnya dilitupi dengan minyak khas.

    Minyak ini berfungsi untuk melincirkan dan melindungi kulit anda. Ia juga bertindak seperti ‘baju hujan’, menjadikan kulit anda sedikit kalis air.

    Oleh itu, apa yang sebenarnya berlaku ketika jari tangan dan jari kaki anda mengecut?

    Molekul air secara semula jadi mengalir melalui membran semipermeabel daripada kawasan berkepekatan rendah ke kawasan berkepekatan tinggi melalui proses yang disebut osmosis.

    Apabila seseorang tinggal di tempat mandi air untuk jangka masa yang lama, osmosis berlaku dan air mengalir ke sel kulit atas, yang kemudian mengambil air.

    Kesan pengecutan dan pengembangan berlaku secara serentak pada sel-sel kulit ini, menyebabkan kedutan pada kulit.

    Kesan kedutan kebanyakannya muncul pada lapisan kulit yang paling tebal.

    Lapisan ini terdapat di permukaan dalaman tangan dan kaki kerana gosokan berterusan ke permukaan kasar.

    Maksudnya, kesan kedutan lebih besar pada tangan dan kaki di mana lapisan kulit paling tebal wujud.

    Perkara ini jarang berlaku dalam rutin harian kerana selalunya tempoh anda mandi tidak cukup lama untuk mencuci semua minyak daripada kulit badan anda.

    Sebaliknya, jika anda menghabiskan masa berendam atau mandi yang lama, air mandian tersebut akan mencuci minyak pada bahagian kulit anda untuk sementara waktu.

    Setelah minyak habis, air mula menyerap masuk ke lapisan luar kulit anda.

    kulit berkedut

    Lapisan kulit yang lebih tebal di tangan dan kaki anda mengandungi lebih banyak sel kulit mati daripada bahagian badan anda yang lain.

    Sel-sel kulit mati ini akan menyerap air seperti sponge, sementara kulit yang lebih nipis di bahagian badan yang lain kurang terjejas.

    Ketika lapisan kulit epidermis mula membengkak, ia akan menarik lapisan kulit hidup di bawahnya.

    Tidak seperti lapisan permukaan mati, lapisan yang lebih dalam dilekatkan pada serat di kulit anda dan tidak akan membengkak.

    Pembengkakan pada lapisan luar dan menarik lapisan yang lebih dalam inilah yang menyebabkan kulit berkedut setelah anda meluangkan masa yang lebih lama di dalam tab mandian atau bilik mandi.

    Rumusan

    Apa yang harus anda lakukan sekiranya kejadian kulit berkedut ini berlaku kepada anda?

    Tidak perlu melakukan apa-apa kerana ia akan hilang dengan cepat secara sendirinya dan sebum akan terhasil dengan sendirinya pada permukaan kulit dalam masa yang singkat.

    Berita baiknya adalah bahawa kulit berkedut pada jari-jari tangan dan kaki adalah bersifat sementara yang tidak menyakitkan!

    Sekiranya anda tidak suka tangan berkedut kena air, anda boleh cuba memakai sarung tangan getah semasa mencuci pinggan atau membersihkan akuarium ikan anda, ataupun aktiviti yang melibatkan elemen air lain.

    Namun, jangan pula anda pakai ketika mandi ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 19/09/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan