Pernahkah anda perhatikan, warna lebam di badan anda akan berubah-ubah sebelum ia sembuh? Pasti anda tertanya-tanya kini sama ada warna dengan kesan lebam tersebut normal atau sebaliknya.
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group
Pernahkah anda perhatikan, warna lebam di badan anda akan berubah-ubah sebelum ia sembuh? Pasti anda tertanya-tanya kini sama ada warna dengan kesan lebam tersebut normal atau sebaliknya.
Jom ketahui punca di sebalik perubahan warna lebam serta tanda amaran untuk anda terus mendapatkan konsultasi doktor. Teruskan membaca!
Lebam adalah suatu keadaan perubahan warna kulit yang lazim berlaku disebabkan oleh saluran darah kecil yang pecah, seterusnya mengakibatkan pendarahan.
Ia seringkali terjadi selepas kecederaan traumatik seperti terlanggar bucu meja, terjatuh atau kemalangan jalan raya.
Pendarahan daripada saluran darah yang terjejas akan terkumpul di bahagian bawah kulit dan tisu di sekitar permukaan kulit anda.
Proses inilah yang mengakibatkan rasa sakit serta berlakunya perubahan warna kulit oleh sel darah merah dan kandungannya.
Sepanjang proses lebam untuk sembuh, tubuh kita akan perlahan-lahan menyerap darah yang terkumpul pada bahagian tubuh yang terjejas. Ketika ini, warna lebam akan berubah-ubah mengikut tempoh masa.
Sebenarnya, anda boleh meneka usia dan proses penyembuhan lebam dengan mudah, hanya dengan memerhatikan warnanya. Ingin tahu lebih lanjut? Baca ini!
Bermula daripada peringkat awal hingga akhir, kesan lebam biasanya akan berlangsung selama dua hingga tiga minggu. Sekiranya lebam anda menjadi lebih teruk selepas tempoh tersebut, sila berjumpa doktor dengan segera.
Tempoh masa untuk lebam sembuh sepenuhnya bergantung kepada beberapa faktor seperti keparahan kecederaan tersebut dan bahagian badan yang terlibat.
Beberapa bahagian badan, terutama bahagian lengan dan kaki akan mengambil tempoh masa yang lebih panjang untuk sembuh berbanding yang lain.
Sebelum kita mengupas topik ini dengan lebih lanjut, ingatlah bahawa perubahan dari satu warna ke warna yang lain berlaku secara berperingkat, dan kadangkala akan terlihat gabungan beberapa warna sekali gus.
Sejurus selepas kecederaan traumatik, warna lebam akan kelihatan kemerah-merahan ataupun merah jambu. Anda mungkin perasan bahawa kawasan di sekitar lebam juga bengkak dan sakit ketika disentuh.
Sehari selepas kecedaraan, warna lebam akan berubah menjadi lebih gelap, seakan-akan biru atau ungu.
Hal ini berlaku disebabkan oleh keadaan bengkak dan bekalan oksigen yang rendah buat tisu yang berada di sekitar kawasan lebam tersebut.
Akibatnya, hemoglobin yang berada di dalam sel darah merah anda, biasanya berwarna merah akan berubah warna secara beransur-ansur menjadi biru atau ungu.
Perubahan warna ke arah lebih gelap ini akan berlangsung sehingga hari kelima selepas mengalami kecederaan.
Sekitar hari keenam selepas kecederaan, warna lebam anda akan mulai berwarna kehijauan. Ini adalah tanda utama sel darah merah pecah, lebih spesifik iaitu hemoglobin.
Ia juga bermaksud proses penyembuhan telah bermula.
Selepas hari ketujuh daripada waktu kecederaan, lebam warna kuning akan kelihatan. Anda mungkin akan lihat kesan lebam anda menjadi pucat seperti lebam warna kuning atau perang muda.
Ini merupakan peringkat terakhir proses penyerapan semula darah ke dalam tubuh. Ketika di peringkat ini, lebam sepatutnya tidak akan berubah warna lagi.
Sebagai gantinya, ia akan menjadi pudar secara beransur-ansur dan hilang sepenuhnya selepas dua hingga tiga minggu.
Dalam sebilangan kes, lebam tidak akan berubah warna atau melalui proses penyembuhan. Ia berasa keras apabila disentuh, bertambah besar atau menjadi lebih sakit seiring dengan waktu.
Ini merupakan tanda-tanda utama bahawa hematoma telah terbentuk. Hematoma adalah benjolan yang terbentuk ketika darah mula berkumpul di bawah kulit atau otot.
Tidak seperti pendarahan lebam yang boleh meresap sendiri ke saluran darah, darah dalam hematoma akan terkumpul di luar pembuluh darah tanpa sebarang proses penyerapan.
Sekiranya anda mengalami hematoma, anda memerlukan bantuan doktor untuk menguruskan ia dengan betul.
Selain itu, anda juga harus berjumpa dengan doktor sekiranya perkara berikut berlaku, termasuklah:
Sekiranya anda berasa bimbang mengenai lebam yang lambat sembuh tetapi tidak disenaraikan di sini, segera berunding dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang terbaik.
Jika anda kerap mengalami lebam walaupun kerana kecederaan ringan sahaja, berjumpalah dengan doktor untuk mengetahui punca di sebaliknya.
Sesetengah masalah kesihatan, terutama sekali berkaitan dengan sistem darah anda merupakan faktor risiko berlakunya lebam, seperti hemofilia.
Berbincanglah dengan pegawai perubatan anda untuk mengetahui cara mudah mencegah kesan lebam besar selepas kecederaan.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen