Pernah dengar pasal produk cuci usus tak? Bila usus dah berkerak, itu yang jadi punca gemuk. Jadi kalau tak nak gemuk, kenalah cuci usus. Haaa…senang bukan? Tapi betul ke?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, sila dapatkannya di sini.
Fakta atau mitos
Berdasarkan perkongsian di laman Facebook peribadi seorang doktor pakar perubatan keluarga dan Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Dr Suhazeli Abdullah, isu cuci usus merupakan isu lama.
Ia mula menjadi kepercayaan sekitar tahun 1920 hingga 1930 bahawa, kerak usus kotor yang terhasil daripada makanan yang tidak dihadam akan menyebabkan kesan buruk seperti kanser.
Selain itu, kerak yang berada dalam usus juga boleh mengeluarkan toksin dan mengakibatkan badan menjadi lemah, gemuk serta pelbagai kesihatan lain.
Walau bagaimanapun, menurut Dr Suhazeli, sehingga kini tiada bukti kukuh mengenai amalan mencuci usus yang boleh membawa manfaat.
Cumanya dari aspek psikologi, individu yang menggunakan produk cuci usus ini berasa lega kerana tiada najis yang bertimbun di dalam usus.
Apa itu produk cuci usus?
Bagi anda yang masih blur, mencuci usus ini adalah merujuk kepada perbuatan untuk membersihkan usus besar dari najis dengan pengambilan produk yang sebenarnya hanyalah ubat bagi merawat penyakit sembelit.
Kaedah lain yang wujud untuk cuci usus adalah menggunakan air yang dimasukkan melalui lubang dubur untuk mengeluarkan najis.
What!!! Seriously? Ya, percayalah kaedah yang boleh dikatakan keterlaluan itu sebenarnya berisiko untuk menyebabkan kecederaan pada usus.
Jangkitan kuman pun boleh berlaku pada abdomen.
Kebanyakan produk dijual di pasaran yang kononnya akan membantu anda untuk kurus dan bertambah sihat adalah seperti pil ajaib mahupun cecair berkepekatan tinggi.
Produk seperti itu dikatakan dapat merangsang pergerakan usus, sekali gus mencuci usus daripada najis.
Namun hakikatnya, istilah cuci usus itu hanya wujud dan diguna pakai dalam perubatan. Di mana ia adalah sebagai satu prosedur persiapan untuk endoskopi dengan menggunakan kamera bagi mengesan penyakit kanser usus oleh pakar bedah.
Kesan bahaya produk cuci usus
Hakikatnya, produk cuci usus yang kononnya baik untuk membantu membersihkan usus daripada kekotoran adalah sangat berbahaya. Ini kerana apabila menggunakan produk-produk ini, ia akan menarik keluar air dari sel badan.
Keadaan sel yang kekurangan air, mengakibatkan buah pinggang bertindak balas untuk menyimpan air dan sekali gus mengurangkan air kencing.
Apabila keseimbangan ini tidak dapat dikawal, risiko untuk buah pinggang mengalami kerosakan adalah tinggi.
Garam galian di dalam badan menjadi tidak seimbang berisiko mengembangkan masalah berkaitan kegagalan buah pinggang, denyutan jantung tidak selari dan otot badan menjadi lemah. Sudah tentu keadaan seperti ini boleh meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan lain.
Penjagaan semula jadi
Penggunaan produk cuci usus yang tidak diketahui kesahihannya adalah amat berbahaya, apatah lagi jika penggunaannya adalah secara berlebihan. Kononnya niat nak cuci usus untuk sihat, end up jadi masalah lain pula.
Jadi cara terbaik adalah melalui pemakanan yang sihat, bersenam dan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Mudah, bukan? Tak perlu sebarang produk pun!
[embed-health-tool-bmi]