backup og meta

Trend Pemakaian Braces Terhad Untuk Orang Muda Saja Ke? Tak Sesuai Untuk Golongan Berusia?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 10/09/2021

    Trend Pemakaian Braces Terhad Untuk Orang Muda Saja Ke? Tak Sesuai Untuk Golongan Berusia?

    Baru-baru ini, rakan sepejabat saya baru menetapkan satu set pendakap gigi pada usia 23 tahun.

    Persoalan yang bermain di fikiran saya adalah berkesankah penggunaan pendakap atau braces gigi dalam kalangan orang dewasa?

    Pasti ramai pembaca lain yang mempunyai buah fikiran yang sama mengenai keadaan ini, kan?

    Jangan risau, selepas membaca artikel ini, pasti anda akan mengangguk faham seperti saya juga!

    Adakah anda memerlukan braces gigi?

    Pendakap gigi merupakan salah satu rawatan ortodontik yang kerap dilakukan di negara kita. 

    Terdapat beberapa keadaan gigi yang memerlukan penetapan braces seperti menggigit gigi, mengatasi masalah gigi tidak rata atau hanya untuk tujuan kecantikan.

    Kepentingan mengatur gigi yang tidak rata bukan sahaja dari sudut memudahkan pembersihan gigi, malahan untuk mengelak kerosakan gigi, penyakit gusi, masalah mengunyah dan sebutan.

    Oleh itu, rawatan ortodontik ini telah menjadi keperluan masyarakat kita pada masa kini.

    Teringinnya braces gigi, tapi saya sudah berusia..

    Penetapan pendakap gigi sering dikaitkan dengan usia muda iaitu kanak-kanak. Malahan, saluran pengiklanan kerap menunjukkan kanak-kanak memakai braces berbanding dengan orang dewasa.

    Kini, bukan kanak-kanak sahaja yang memerlukan braces, malah semakin ramai orang dewasa berminat untuk memasangnya.

    Berdasarkan kajian oleh Persatuan Ortodontik Amerika, kini 1 daripada 5 pesakit ortodontik berumur 18 tahun ke atas berminat untuk memasang pendakap gigi.

    Secara amnya, tidak ada had umur dalam isu pemasangan braces gigi. Ia lebih bergantung kepada keadaan gusi dan gigi individu tersebut.

    Walaupun zaman kanak-kanak adalah masa yang paling sesuai untuk membuat perubahan kedudukan gigi, namun banyak orang dewasa yang memakai braces pada usia yang lebih tua untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

    Berbezakah penetapan braces untuk orang dewasa dan kanak-kanak?

    Sekiranya anda sedang mempertimbangkan pendakap gigi untuk merawat masalah gigi anda, harus diingatkan ada perbezaan antara orang dewasa dan kanak-kanak.

    #1 Kesihatan mulut

    braces gigi

    Salah satu faktor yang penting untuk pemasangan braces ialah kesihatan dan kekuatan gusi dan gigi.

    Orang dewasa lebih cenderung untuk mendapat masalah kesihatan mulut yang lain seperti gigi lusuh, gigi trauma, kehilangan gigi dan sebagainya.

    Oleh itu, pemakaian pendakap sahaja tidak cukup untuk mencapai hasil yang diinginkan. Rawatan pergigian lain, sama ada sebelum atau selepas rawatan diperlukan untuk mendapat keputusan yang ideal.

    Penjagaan mulut dan kesihatan secara keseluruhan penting untuk keadaan gusi dan gigi yang lebih kuat bagi menyokong pemasangan pendakap gigi.

    Jadi, jagalah gusi dan gigi anda dengan elok ya!

    #2 Tempoh masa rawatan

    Kajian mendedahkan bahawa individu dewasa mempunyai tindak balas biokimia yang lebih perlahan dalam pergerakan gigi semasa menggunakan pendakap gigi.

    Hal ini mengakibatkan tempoh rawatan ortodontik lebih lama berbanding dengan kanak-kanak.

    Selain itu, sebuah kajian lain menyatakan tempoh rawatan dalam kalangan pesakit dewasa juga dipengaruhi oleh beberapa faktor lain terutama sekali komitmen pesakit tersebut.

    Orang dewasa lebih kerap terlupa atau tidak sempat datang ke temujanji yang ditetapkan, disebabkan oleh komitmen lain seperti kerja ataupun keluarga.

    Jika masalah itu berlarutan, tempoh rawatan akan menjadi lebih lama untuk mereka.

    Patuhlah dengan temujanji anda supaya anda boleh tersenyum manis tanpa braces secepat mungkin!

    #3 Penampilan diri

    braces gigi

    Tidak dinafikan bahawa orang dewasa lebih sedar akan penampilan diri berbanding dengan kanak-kanak.

    Sesetengah orang akan berasa segan dan tidak selesa ketika memakai braces gigi, apatah lagi ketika membuat pembentangan projek atau perniagaan di hadapan ramai orang.

    Namun, terdapat banyak jenis pendakap di pasaran kini sama ada jenis logam, pendakap seramik atau pendakap lingual yang dipasang di belakang gigi anda.

    Pilihan pendakap anda bergantung sepenuhnya kepada keadaan gigi dan hasil yang diingini.

    Pilihlah braces gigi yang sesuai dan selesa untuk anda ya!

    Anda TIDAK tua untuk pendakap gigi!

    Jika Tom Cruise boleh memakai braces gigi pada usia 40 tahun, anda tidak seharusnya risau atau segan untuk memasangnya juga.

    Usia bukan penghalang untuk anda melakukan rawatan ortodontik buat masa kini.

    Paling penting, jangan lupa akan temujanji anda dan dalam masa beberapa tahun, tayangkanlah senyuman menawan anda dengan bangga!

    Selamat mencuba ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 10/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan