Berikut merupakan 7 manfaat aktiviti yang kembali popular ini bagi orang dewasa:
1.Mengalihkan perhatian daripada diri sendiri
Aktiviti mewarna mengalihkan perhatian anda daripada diri anda sendiri. Sebaliknya, anda menjadi fokus kepada aktiviti yang sedang anda lakukan, seperti kesan meditasi. Daripada membiarkan diri melayan fikiran yang berkecamuk, anda dapat fokus mewarna pelbagai corak yang kompleks selama berjam-jam.
2. Membantu menangani masalah emosi dan mental
Masalah emosi dan mental boleh dicetuskan oleh kebosanan, tekanan perasaan dan rasa tidak bersistematik. Ini boleh terjadi dalam pesakit OCD, gangguan kegelisahan, kemurungan, ketagihan dan gangguan pemakanan. Masa dan perhatian yang diberikan individu kepada aktiviti mewarna mengalihkan fokus mereka daripada tabiat negatif serta membolehkan mereka fokus kepada aktiviti yang produktif dan selamat.
3. Menenangkan otak
Aktiviti ini dapat membantu individu yang mengalami tekanan akibat trauma (PTSD), kegelisahan, dan stres kerana ia bertindak menenangkan amygdala mereka. Bahagian otak ini mengawal tindak balas ‘lawan atau lari’ (fight or flight) yang membuatkan mereka berada dalam keadaan berjaga-jaga, bimbang dan takut apabila ia aktif. Mewarna dan menumpukan perhatian pada aktiviti yang menenangkan ini dapat mengurangkan tindak balas tersebut, memberikan istirahat yang diperlukan otak anda.
4. Mewarna mengembalikan kita ke masa lalu
Aktiviti ini semestinya dapat membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak yang membahagiakan. Ia mengingatkan anda pada saat anda tidak mempunyai beban tanggungjawab, hanya bermain dan bergembira. Mengembalikan diri kepada memori ini pastinya dapat membebaskan anda daripada kerisauan zaman dewasa meskipun hanya untuk beberapa jam.
5. Manfaat intelektual
Percaya atau tidak, aktiviti mewarna turut mempunyai manfaat intelektual. Ini disebabkan penggunaan bahagian otak yang meningkatkan daya tumpuan dan perhatian. Ia juga membantu meningkatkan daya penyelesaian masalah dan kemahiran organisasi. Lobus depan otak anda berfungsi untuk aktiviti dan fungsi otak yang lebih tinggi. Mewarna corak yang kompleks didapati mengaktifkan semua fungsi tersebut. Fikirkan sahaja kemahiran otak yang diperlukan untuk mempertimbangkan dan memilih skim warna yang kompleks serta membuat hasilnya cantik dari segi visual.