Selain keluarga, kawan baik merupakan antara individu yang rapat dengan kita. Mereka adalah tempat kita berkongsi gembira dan duka.
Kalau anda sayangkan kawan baik anda, jom raikan hubungan persahabatan anda!
Apa itu kawan baik?
Ada yang mengatakan kawan baik dan sahabat adalah 2 perkara berbeza?
Ia terpulang pada diri masing-masing, kerana bagi penulis, kawan, teman atau sahabat hanya berbeza pada perkataan.
Apa yang penting impak individu yang bergelar kawan dalam kehidupan kita.
Rakan baik atau sahabat merupakan individu yang boleh kita percayai. Mereka boleh dianggap sebagai antara insan yang penting dalam kehidupan selain ahli keluarga.
Seorang kawan yang baik adalah individu yang mengetahui tentang kelemahan diri kita, namun akan menyimpannya dan hanya menyatakan tentang kelebihan kita sahaja.
Malah kawan baik dikatakan sebagai insan yang akan menyokong di saat ada individu cuba menjatuhkan kita.
Jadi untuk mencari dan memiliki kawan yang baik adalah satu perkara sukar. Jika anda mempunyai kawan baik, ketahuilah bahawa anda adalah insan yang bertuah.
Nilai hubungan persahabatan
Sukar untuk mendefinisikan bagaimana sesebuah hubungan itu boleh terjalin. Ia adalah berbeza bagi setiap individu.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa sifat yang biasa wujud dalam hubungan individu yang berkawan, iaitu:
- Mempunyai persefahaman terhadap komitmen dan kesejahteraan kawan baik
- Wujud keinginan untuk bertanyakan khabar walaupun mungkin setiap dua hari sekali atau hanya setahun sekali
- Mempunyai tahap kepercayaan, keprihatinan dan belas kasihan yang sama
- Berkongsi minat, pandangan, kepercayaan atau hobi
- Berkongsi pengetahuan tentang kehidupan, emosi, ketakutan atau minat yang sama
- Memiliki rasa cinta, saling menghormati, kagum dan penghargaan antara satu sama lain
Cara kekalkan perhubungan persahabatan
Adakah anda sayangkan kawan anda? Jika sayang, mungkin berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu mengekalkan ikatan yang terjalin, antaranya:
#1 Berkawan dengan ikhlas
Kunci utama dalam bersahabat adalah untuk menjalinkan ikatan dengan seikhlas hati bukan kerana mengharapkan sesuatu balasan.
Jika ikatan itu terjalin seikhlasnya, ia membolehkan anda menerima segala kelemahan dan kekurangan seseorang kawan baik anda.
#2 Saling mempercayai
Untuk mempunyai sahabat yang baik, ia memerlukan kepercayaan yang tinggi, yang melibatkan perkongsian perasaan dan segala aspek dalam kehidupan.
Jika anda mampu memberikan kepercayaan kepada seseorang dan anda selesa tentangnya, itu mungkin bermakna anda sudah menemui insan yang dipanggil sahabat.
#3 Jalinan silaturahim
Mempunyai rakan baik tidak bermakna anda perlu berkepit seperti belangkas; bersama ke mana sahaja.
Namun seorang kawan yang baik pastinya akan tetap memberi sokongan walaupun anda mungkin tidak sentiasa berada dengannya dan perhubungan itu tetap akan kekal sampai bila-bila.
Meraikan ikatan yang terjalin
Seronok rasanya kalau mempunyai sahabat baik yang dapat memahami diri dan sentiasa ada untuk memberi sokongan.
Jadi sempena Bulan Persahabatan yang diraikan pada setiap Februari, mesti seronok kalau dapat meraikannya bersama kawan anda.
Tidak tahu bagaimana untuk meraikannya? Jangan risau Hello Doktor ada beberapa cadangan, antaranya:
- Perjumpaan bersama
Mungkin anda boleh mengaturkan jamuan makan tengah hari atau malam bersama dan menjemput kawan-kawan baik anda. Jika mereka sudah berkeluarga, itu pastinya lebih meriah.
Mereka tidak saling mengenali? Tidak mengapa, jadikan pertemuan itu sebagai titik perkenalan buat mereka semua. Lebih ramai, lebih meriah, bukan?
- Berhubung semula
Jadual kerja yang padat, tanggungjawab harian lain, mungkin membuatkan anda jarang berhubung dengan kawan baik anda.
Jadi apa kata sempena bulan istimewa ini anda mengajak rakan untuk berjumpa dan meluangkan masa seperti dahulu.
Jika berkesempatan, ajaklah kawan anda untuk bercuti bersama. Paling tidak, mungkin anda dan kawan boleh menonton wayang atau sekadar berpiknik bersama.
Apa yang penting, masa yang diluangkan bersama, bukan?
- Kejutan istimewa
Sebagai sahabat, anda tentu tahu tempat tinggal atau tempat kerja mereka, bukan?
Mungkin anda boleh memberikan kejutan istimewa buat mereka. Bergantung kepada kewangan anda, anda boleh menghantar hadiah seperti coklat dan bunga.
Anda juga boleh menunjukkan kreativiti anda dengan memberikan kad istimewa buatan sendiri.
Sertakan juga foto kenangan anda bersama sahabat anda.
Sahabat sejati tidak mungkin berganti
Jika anda mempunyai sahabat sejati, hargailah mereka. Ini kerana nilai seorang sahabat itu tidak mungkin dapat ditukar ganti dengan wang ringgit.
Anda mungkin akan mengatakan, mempunyai ahli keluarga sudah mencukupi.
Tetapi sebenarnya antara hubungan persahabatan dan kekeluargaan mempunyai batasan dan nilai yang berbeza.
Ada masanya anda akan memerlukan individu bergelar kawan baik sebagai tempat untuk berkongsi perasaan dan rahsia hati.
Percayalah, hidup akan menjadi sunyi tanpa insan bergelar sahabat. Jadi hargailah kawan baik anda!
[embed-health-tool-ovulation]