backup og meta

Risau Kesedihan Anda Jadi Kemurungan? 7 Tip Mudah Ini Bantu Melancarkan Hari Anda

Risau Kesedihan Anda Jadi Kemurungan? 7 Tip Mudah Ini Bantu Melancarkan Hari Anda

Kemurungan bukanlah satu hal yang boleh dibuat main-main. Jika anda “rasa’ seakan-akan mengalami depresi, sila dapatkan bantuan pakar.

Walau bagaimanapun, tak semua kesedihan yang anda alami itu adalah kemurungan, selagi tidak disahkan pakar.

Bagi mereka yang berasakan diri mereka sedang tertekan atau dalam kesedihan, cubalah 7 tip mudah ini yang mampu membantu diri anda untuk menjalani kehidupan dengan lebih lancar.

Tip menjalani kehidupan dengan lancar di saat anda kesedihan

#1. Bina rangkaian sokongan untuk diri anda

kemurungan

Ada sesetengah daripada kita yang mungkin lebih selesa untuk berhubungan dengan rakan rapat atau ahli keluarga apabila mempunyai sebarang masalah.

Jika anda berasa bahawa ahli keluarga dan rakan-rakan anda boleh memahami dan menyokong diri anda, dapatkan sokongan daripada mereka.

Jika anda mencari alternatif lain, anda boleh menyertai kumpulan sokongan untuk kemurungan. Ia adalah satu kumpulan komuniti yang berada di sekitar anda bagi membantu menjalani episod sukar bersama-sama.

#2. Cuba untuk kurangkan tekanan atau stres

Apabila anda sedang berada dalam keadaan stres, tubuh badan akan menghasilkan lebih banyak hormon kortisol.

Dalam jangka masa pendek, kortisol membantu anda untuk berhadapan dengan sebarang perkara yang menyebabkan stres dalam kehidupan anda. 

Walau bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kepada anda termasuklah menyebabkan kemurungan.

Cuba lakukan beberapa teknik untuk mengurangkan stres seperti tidur sebentar, bersukan, bermain dengan haiwan peliharaan, bermeditasi dan juga mendengar muzik.

#3. Perbaiki kualiti tidur anda

Nampak seperti mudah, tetapi tidak ramai individu yang begitu mengambil berat berkenaan tahap kualiti tidur mereka. Pertama sekali, pastikan anda mendapat tempoh tidur yang mencukupi iaitu antara 7 atau 8 jam sehari. 

Selain itu, pastikan anda mudah untuk tidur dan dapatkan ‘deep sleep’ yang berkualiti. Jauhkan sebarang gangguan yang boleh menyukarkan anda untuk terlelap atau yang membangunkan anda pada waktu tengah malam. 

#4. Perbaiki tabiat makan 

kemurungan

Anda pasti tidak tahu, terdapat hubungan yang jelas antara apa yang anda makan dengan kesihatan mental anda.

Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa makan secara sihat boleh mengelakkan dan merawat gangguan mental.

Ada kajian yang menunjukkan kesan nutrien penting terhadap kemurungan. Sebagai contoh, kajian yang dijalankan pada tahun 2012 menunjukkan kekurangan zink boleh meningkatkan simptom-simptom kemurungan yang terjadi.

Apa tunggu lagi, jom makan makanan berkhasiat.

#5. Elak kesedihan dengan tidak berfikiran negatif

Kesedihan sememangnya mengubah cara anda berfikir, dan lebih teruk lagi ia menggalakkan anda berfikir secara kurang baik. Bagaimana untuk anda mengatasinya?

Terapi tingkah laku kognitif atau disebut sebagai CBT adalah sejenis terapi yang membantu mengubah corak pemikiran negatif bagi menyingkirkan kemurungan dalam diri anda.

Berjumpalah dengan ahli psikologi dan dapatkan bantuan mereka berkenaan bagaimana untuk menyertai terapi ini.

#6. Sibukkan diri dengan kerja rumah

kemurungan

Biasanya, jika seseorang individu tersebut mengalami kesedihan, kerja-kerja rumah sering menjadi terabai. Lantai rumah menjadi kotor, pinggan-mangkuk tidak dibasuh dan bilik tidur berada dalam keadaan yang bersepah.

Keadaan seperti ini hanya akan meningkatkan lagi tahap kemurungan dalam diri.

Oleh itu, cuba lakukan kerja-kerja rumah yang sebelum ini telah terabai. Lakukan perkara-perkara yang kecil terlebih dahulu seperti mengutip sampah dan menyapu bilik tidur.

Apabila keadaan rumah semakin bersih dan cantik, emosi dan mood anda juga pasti akan bertambah baik.

#7. Lakukan perkara yang menenangkan diri anda

Perkara yang dilakukan individu lain tidak semestinya berkesan untuk diri anda.

Ada aktiviti yang mungkin tidak digemari oleh orang lain, tetapi ia adalah sesuatu yang menyeronokkan untuk anda. Jika anda gemar memancing ikan, jangan berfikir panjang dan terus lakukannya.

Senaraikan sebarang aktiviti yang mungkin anda ingin cuba atau gemari. Lakukan sebarang aktiviti daripada senarai tersebut ketika anda sedang berada dalam mood yang tidak begitu baik. 

Sekiranya anda mengalami sebarang simptom kemurungan seperti kesedihan yang berpanjangan, dapatkan pertolongan dan sokongan daripada ahli perubatan atau ahli psikologi. Jangan sesekali anda risau kerana sebenarnya ramai yang sudi menghulurkan bantuan di saat anda berada dalam keadaan yang sukar. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.psychiatry.org/patients-families/depression/what-is-depression

https://www.verywellmind.com/tips-for-living-with-depression-1066834

https://www.verywellmind.com/tips-to-reduce-stress-3145195

Versi Terbaru

11/06/2020

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Kemelut Kanye Dan Kim K, Tanda Orang Bipolar Tak Boleh Kahwin? Ini Pendapat Ahli Psikologi

Ingin Tahu Tahap Stres Dan Anxiety Anda? Lakukan Ujian DASS, Buat Online Lebih Cepat Tahu!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 11/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan