backup og meta

Cara Berkesan Menghilangkan Kantung Mata

Cara Berkesan Menghilangkan Kantung Mata

Dari mata turun ke hati, sepasang mata cantik menawan mampu menambat hati mereka yang memandang. Namun, bagi yang mempunyai kantung mata, ini mungkin menjadi satu masalah buat si penghidapnya.

Mereka yang memiliki kantung mata cenderung untuk sentiasa kelihatan penat dan lebih tua, menjejaskan keyakinan diri individu yang memilikinya.

Namun begitu, usah risau lagi! Terdapat jalan penyelesaian buat semua perkara, termasuklah masalah ini.

Ini kerana kantung mata boleh disingkirkan melalui pembedahan, ia adalah prosedur kosmetik yang dikenali sebagai blepharoplasty.

Ingin mengetahui dengan lebih lanjut? Ikuti artikel ini bagi mengupas mengenai prosedur pembedahan kantung mata.

Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Mata di sini.

Fahami pembedahan kantung mata

pembedahan kantung mata

Pembedahan kantung mata, juga disebut sebagai blepharoplasty, adalah prosedur kosmetik yang membantu membetulkan isu ketegangan kulit, lemak berlebihan, dan kedutan pada bahagian bawah mata.

Seiring pertambahan usia, kulit anda secara semula jadi bakal kehilangan keanjalan dan pelapisan lemak.

Perkara inilah yang dapat membuatkan bahagian bawah mata tampak bengkak, berkedut, dan longgar.

Justeru, pembedahan ini mampu menjadikan bahagian bawah mata lebih tegang, mewujudkan penampilan yang lebih muda.

Kadangkala, masalah kantung mata juga boleh mengganggu penglihatan seseorang individu.

Oleh itu, blepharoplasty adalah prosedur perubatan yang mungkin diperlukan dalam beberapa kes.

Selain itu, anda harus berada dalam keadaan sihat dan menjalani pemeriksaan serta perbincangan yang mendalam dengan doktor sebelum melakukan pembedahan pembuangan kantung mata.

Pembedahan ini juga berfungsi dengan membuang tisu lemak dan kulit berlebihan di bawah mata, dan dapat disiapkan hanya dalam tempoh masa 1 atau 2 jam pada hari yang sama.

Bila patut anda dapatkan prosedur pembedahan ini?

Apabila dikaitkan dengan faktor penuaan, kantung mata dan kelopak mata ‘jatuh’ sering disebabkan oleh otot-otot lemah dan meregang, yang boleh menyebabkan lemak terkumpul di bahagian atas dan di bawahnya.

Kulit yang kendur di sekitar mata akan membuat anda kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.

Ia juga mampu mengganggu penglihatan anda, kerana kulit yang berlebihan akan menarik kelopak mata anda, menjadikannya lebih sukar untuk melihat dengan jelas.

Pembedahan ini dapat menghilangkan tisu lemak dan kulit yang berlebihan, menegang, dan memberi penampilan yang lebih muda sambil memperbaiki penglihatan yang terganggu oleh kelopak mata yang kendur.

Anda mungkin perlu mempertimbangkan blepharoplasty jika mempunyai:

  • Kulit yang mulai merosot atau kendur di bahagian bawah mata dan kelopak mata
  • Mempunyai kulit tambahan di atas kelopak mata
  • Mempunyai kantung mata yang sangat ketara
  • Lebihan kulit di kelopak mata yang merosakkan penglihatan anda

Prosedur pembedahan kantung mata ini biasanya terdiri daripada peringkat-peringkat berikut:

  • Anestesia: Pakar bedah boleh menjalankan prosedur kantung mata di bawah anestetik tempatan atau umum
  • Insisi: Pakar bedah biasanya akan membuat belahan, atau memotong, tepat di bahagian bulu mata bawah atau di bahagian dalam kelopak mata bawah. Doktor kemudian akan membuang lebihan kulit atau tisu lemak
  • Penutup: Pakar bedah kemudian akan menggunakan jahitan atau gam untuk menutup potongan
  • Pemulihan: Hasil prosedur secara beransur-ansur akan menjadi jelas, apabila bengkak dan lebam mereda

Risiko dan kesan sampingan

Blepharoplasty adalah prosedur pembedahan, jadi ia boleh menyebabkan risiko, termasuk:

  • Masalah kekeringan mata
  • Sensitif terhadap cahaya atau cahaya matahari
  • Mata bengkak dan lebam
  • Kesukaran menutup mata
  • Berlaku jangkitan
  • Risiko luka berdarah
  • Risiko yang berkaitan dengan anestetik
  • Parut
  • Perubahan penglihatan, yang boleh bersifat sementara atau kekal
  • Sakit, yang boleh bersifat sementara atau kekal (dalam kes yang jarang berlaku)
  • Kebutaan, yang boleh bersifat sementara atau kekal (dalam kes yang jarang berlaku)

Sekiranya pakar bedah membuang terlalu banyak kulit atau lemak secara tidak rata, seseorang individu mungkin akan mengalami penampilan bawah mata yang tidak rata atau berasa tegang pada kawasan tersebut.

Dalam kes sebegini, mereka mungkin perlu menjalani prosedur pembetulan untuk membuat penampilan yang lebih semula jadi.

Justeru, pastikan anda mendapatkan khidmat pakar yang mempunyai pengalaman dalam melakukan pembedahan ini, agar risiko kemalangan dapat dikurangkan!

Mengurangkan masalah kantung mata tanpa pembedahan

mata sihat

Jika anda takut untuk melakukan pembedahan, usah risau lagi! Ini kerana masih banyak pilihan lain yang boleh anda terokai bagi mengurangkan masalah ini.

Sekiranya anda ingin merawat masalah kantung mata tanpa melibatkan pembedahan, berikut adalah pilihan-pilihan lain yang boleh dilakukan, seperti:

  • Microneedling

Microneedling menggunakan proses yang disebut terapi kolagen induksi (CIT) untuk mengurangkan penampilan kantung mata anda.

CIT bertindak merangsang sel-sel badan untuk menghasilkan lebih banyak kolagen dan elastin, protein yang menjadikan kulit licin dan tegang.

  • Chemical peels

Pengelupasan kimia ini menggunakan pelbagai jenis formulasi asid botani atau asid semula jadi untuk merangsang keremajaan kulit, menghasilkan kulit mata yang lebih tegang dan halus.

Ia juga berfungsi dengan membuang lapisan luar yang terjejas, mengeluarkan lapisan kulit baharu yang lebih sihat.

  • Rawatan laser

Ahli terapi menggunakan heat-producing laser untuk merangsang pembaharuan sel-sel kulit.

Sinar cahaya yang pendek dan terang itu bertindak dengan menghilangkan lapisan luar kulit, lalu merangsang pengeluaran kolagen.

Apabila kulit mulai sembuh, penampilan yang lebih licin dan tegang akan kelihatan.

Bagi mereka yang ingin merawat masalah kantung mata mereka di rumah dan secara semula jadi, gunakan uncang teh untuk diletakkan pada bahagian kantung mata untuk membantu mengurangkan pembengkakan mata.

Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa masih tidak ada bukti saintifik yang dapat membuktikan keberkesanan kaedah ini.

Justeru, sekiranya penampilan kantung mata kelihatan berkurangan, ia mungkin hanya kesan yang sementara.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK448181/
  2. https://www.plasticsurgery.org/cosmetic-procedures/eyelid-surgery
  3. https://www.asds.net/skin-experts/skin-treatments/blepharoplasty
  4. https://www.plasticsurgery.org/cosmetic-procedures/chemical-peel
  5. https://www.webmd.com/beauty/laser-skin-resurfacing

Versi Terbaru

17/05/2021

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nisreen Nadiah


Artikel Berkaitan

Jangan Nampak Tua Sebelum Usia! Nak Kulit Tegang Tanpa Kedut, Elak Ambil 7 Makanan Ini

Anda Baru Saja Jalani Pembedahan Mata? Ini 11 Perkara WAJIB Elak Kalau Tak Nak Kena Jangkitan


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 17/05/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan