backup og meta

Kaum Adam, Hati-Hati Ambil Pil Viagra Untuk Tahan Lama, Boleh Buat Mata Rosak!

Kaum Adam, Hati-Hati Ambil Pil Viagra Untuk Tahan Lama, Boleh Buat Mata Rosak!

Pil viagra tidak perlu lagi diperkenalkan kerana masyarakat sudah mengetahui fungsinya dalam membantu kaum Adam dengan masalah ereksi. Akan tetapi, benarkah ura-ura mengatakan ia boleh merosakkan penglihatan?

Pengambilan ubat ini cukup popular terutamanya bagi para lelaki yang mempunyai masalah dengan ereksi mereka.

Pun begitu, perkhabaran pil viagra mampu merosakkan penglihatan adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian, agar perkara tersebut boleh dielakkan, sekiranya benar.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti artikel ini ya!

Kenali apa itu pil viagra?

pil viagra

Viagra adalah jenama ubat preskripsi yang diluluskan untuk merawat masalah ereksi (ED). Pil viagra diluluskan untuk digunakan oleh para lelaki yang berumur 18 tahun ke atas.

Viagra mengandungi ubat sildenafil sitrat. Ia tergolong dalam kelas ubat yang disebut perencat fosfodiesterase jenis 5 (PDE5).

Ia berfungsi untuk meningkatkan aliran darah ke zakar, yang membantu anda mendapat dan mengekalkan ereksi. Tetapi harus diingat, ubat ini hanya berfungsi jika anda terangsang secara seksual.

Dalam kebanyakan kes, ia harus diambil kira-kira satu jam sebelum melakukan aktiviti seksual, namun 30 minit atau 4 jam sebelumnya turut dibenarkan.

Para saintis pada mulanya menguji ubat itu sebagai rawatan berpotensi untuk angina (sakit dada atau rasa tidak selesa disebabkan otot jantung tidak mendapat cukup darah yang kaya oksigen) dan masalah kardiovaskular yang lain.

Walaupun ia hanya dapat mempengaruhi masalah angina secara kecil, namun pengkaji mendapati bahawa ia menyebabkan ereksi zakar yang hebat.

Justeru, ini adalah ubat untuk mengubati masalah ereksi yang paling berjaya dihasilkan!

Tiada ragu lagi, ubat ini telah meningkatkan kehidupan ramai penggunanya. Tetapi, menurut kajian baru, ia mungkin memberi kesan negatif pada penglihatan jika digunakan secara salah.

Baca juga:

Benarkah pil viagra merosakkan penglihatan secara kekal?

viagra merosakkan penglihatan

Bahan dalam ubat ini dikatakan boleh menyebabkan kebutaan pada lelaki, menurut sebuah kajian baru.

Sildenafil, bahan aktif digunakan dalam ubat masalah ereksi, secara kekal dapat merosakkan penglihatan seseorang lelaki yang mempunyai keturunan dengan masalah mata.

Para saintis mendakwa bahawa ubat tersebut boleh menyebabkan kerosakan yang kekal pada mata penghidap; retinitis pigmentosa (penyakit jarang diwarisi yang menyebabkan sel-sel di retina mati secara beransur-ansur.)

Antara ciri kerosakan penglihatan yang dihadapi adalah sukar melihat dalam cahaya redup, kehilangan penglihatan periferal, dan kadangkala menyebabkan kebutaan.

Kajian kes meneliti kerosakan yang berpotensi dilakukan oleh viagra pada retina.

Sekiranya ia diambil melebihi dos yang disyorkan, pil biru ini mungkin membuat anda mengalami penglihatan berwarna merah.

Terdapat beberapa kesan sampingan visual kurang serius yang biasa berlaku dalam kalangan pengguna. Ini termasuk:

  • Penglihatan kabur
  • Sensitif terhadap cahaya
  • Kesukaran membezakan warna seperti biru dan hijau
  • Penglihatan warna menurun

Kesan sampingan ini bersifat sementara dan tidak terbukti memberi kesan buruk kepada penglihatan anda.

Sekiranya kesan sampingan berlanjutan, segera hubungi doktor anda.

Penglihatan berwarna merah

Penyelidik dari Icahn School of Medicine di Mount Sinai, New York, baru-baru ini telah menerbitkan satu kajian kes dalam jurnal berjudul Retinal Cases and Brief Reports.

Mereka menyimpulkan bahawa pengambilan pil viagra dalam dos yang lebih tinggi akhirnya boleh menyebabkan kerosakan penglihatan jangka panjang yang ketara.

Penyelidik utama, Dr Richard Rosen mendakwa, dengan penggunaan dalam dos yang tinggi daripada yang disarankan mungkin boleh mempengaruhi penglihatan warna seseorang lelaki.

Kesimpulan dibuat berdasarkan kajian pada seorang lelaki berusia 31 tahun yang mengadu mengalami penglihatan berwarna merah pada kedua-dua belah ma, yang sudah berlangsung selama 2 hari.

Setelah disiasat, masalah penglihatannya didapati bermula setelah mengambil ubat sildenafil sitrat, yang telah dibeli daripada Internet.

Rumusan

Dapat disimpulkan, dengan pengambilan apa-apa ubatan secara berlebihan atau melebihi dos yang disarankan mampu memberikan kesan yang negatif kepada kesihatan secara menyeluruh.

Oleh itu, bagi kes ini, sekiranya pil biru ini diambil mengikut saranan dos yang disyorkan oleh doktor, kesan tidak diingini mampu dielakkan.

Jika anda seseorang yang bergelut dengan masalah ereksi, dapatkan khidmat nasihat doktor atau golongan profesional terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk mengambil ubat ini.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.health.harvard.edu/newsletter_article/ed-pills-and-eyes
  2. https://www.aao.org/eye-health/drugs/erectile-dysfunction-medication-your-eyes-vision
  3. https://www.aao.org/eye-health/news/viagra-sildenafil-overdose-vision-side-effects
  4. https://www.nhs.uk/news/medication/viagra-may-cause-visual-disturbance-in-some-men/#:~:text=%22Viagra%20may%20permanently%20damage%20vision,inherited%20eye%20condition%20retinitis%20pigmentosa.
  5. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/12207947/
  6. https://iovs.arvojournals.org/article.aspx?articleid=2181929

Versi Terbaru

22/06/2021

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nisreen Nadiah


Artikel Berkaitan

Jaga-jaga Si Rabun, Masalah Mata Boleh Buat Anda Berisiko Jadi Nyanyuk Di Usia Tua Nanti!

Viagra Bukan Penting Untuk Rawat Masalah Lelaki Sahaja, Ada Fungsi Lain!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 22/06/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan