backup og meta

Bongkar 5 Mitos Tentang Sperma, Paling Popular Adalah Seluar Dalam, Apa Kaitannya?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/12/2020

    Bongkar 5 Mitos Tentang Sperma, Paling Popular Adalah Seluar Dalam, Apa Kaitannya?

    Air mani walaupun kelihatan seperti lendir hingus, ia diketahui mengandungi jutaan sperma lelaki yang tidak kelihatan pada mata kasar.

    Mungkin anda pernah mendengar, sperma lelaki akan berenang-renang dengan lajunya untuk menuju ovum atau telur wanita apabila pasangan itu melakukan hubungan intim.

    Adakah benar sperma lelaki ini berenang-renang seperti yang kita ketahui sebelum ini?

    5 mitos berkenaan sperma lelaki yang selama ini disalah faham

    Terdapat beberapa mitos atau tanggapan yang salah wujud sebelum ini berkenaan sperma lelaki.

    Berikut disenaraikan 5 mitos paling popular berkenaan kandungan air mani lelaki yang sering disalah faham.

    #1. Sperma lelaki berenang-renang menuju ovum

    sperma lelaki

    Sebelum ini kita sering mendengar, jutaan sperma lelaki akan berenang berlumba-lumba antara satu sama lain untuk menjadi satu-satunya sperma yang berjaya memasuki ovum atau telur wanita

    Jelas sekali dakwaan ini tidak benar. Mengapa?

    Sebenarnya, sperma tidak berenang secara tegak atau terus ke hadapan. Kemampuan pergerakan sperma boleh dibahagikan kepada 3 iaitu:

  • Pergerakan progresif: bergerak aktif dalam keadaan terus atau bulatan besar
  • Pergerakan tidak progresif: corak pergerakan lain selain bergerak terus
  • Tidak bergerak
  • Dr. Robert D. Martin ada menyatakan, pergerakan sperma lelaki ini adalah seperti “kursus halangan ketenteraan yang mencabar”, dan bukanlah seperti satu pertandingan larian yang sering kita fahami.

    Tambahan lagi, kebanyakan pergerakan sperma ini sebenarnya dibantu otot rahim.

    Ia menggalakkan sperma yang berada di dalam tiub fallopio untuk bergerak ke arah telur atau ovum.

    #2. Kandungan air mani pekat menunjukkan jumlah sperma yang lebih banyak

    Ini juga adalah salah satu tanggapan yang salah.

    Kandungan air mani lelaki yang pekat tidak semestinya menunjukkan tingginya jumlah sperma dalam air mani tersebut.

    Apabila sperma lelaki mula memasuki faraj wanita, ia akan berjumpa dengan lendir serviks.

    Lendir serviks ini berfungsi dalam dua keadaan, melindungi sperma atau menolak sperma. 

    Ia akan melindungi sperma daripada sifat asid faraj dan juga menolak atau menyingkirkan sperma yang tidak berkualiti dari segi bentuk dan pergerakan, daripada terus memasuki ovum.

    #3. Sperma lelaki hanya hidup dalam tempoh yang pendek selepas diejakulasi

    sperma lelaki

    Walaupun ia mungkin benar, tetapi ia tidak semestinya begitu.

    Jangka hayat sperma bergantung kepada lokasi di mana sperma itu dilepaskan selepas berejakulasi.

    Sperma yang dilepaskan ke dalam faraj selepas ejakulasi boleh terus hidup sehingga 5 hari kemudian.

    Ini disebabkan oleh kesan perlindungan yang diberikan oleh lendir serviks terhadap sperma saat ia mula memasuki faraj.

    Tetapi jika sperma mengering, biasanya ia akan terus mati.

    Sperma yang dilepaskan pada kawasan yang kering atau sejuk seperti tisu atau kain akan mati selepas beberapa minit ia melalui ejakulasi.

    Tempoh paling lama sperma ini boleh bertahan pada persekitaran seperti ini ialah selama 30 minit. Tetapi ia sangat jarang sekali berlaku.

    #4. Seluar dalam mengurangkan bilangan sperma

    Ada yang menyatakan, jika anda memakai seluar dalam yang ketat, ia akan mengurangkan jumlah sperma yang akan dikeluarkan. 

    Sebenarnya, pemakaian seluar dalam langsung tidak mempunyai kesan ke atas jumlah sperma yang akan dihasilkan.

    Kajian yang dilaksanakan pada tahun 2016 menunjukkan, hanya terdapat sedikit sahaja perbezaan jumlah sperma berdasarkan jenis seluar dalam yang dipakai.

    Walaupun ada kajian terbaharu yang menyatakan bahawa, pemakai boxer mempunyai bilangan sperma 17% lebih tinggi berbanding pemakai seluar dalam, kajian tersebut tidak melibatkan faktor lain.

    Penyelidik kajian tersebut menyatakan, kajian tidak mengambil kira faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi jumlah sperma tersebut.

    Ini termasuklah jenis seluar yang dipakai atau material kain seluar yang dipakai itu.

    Oleh itu, pemakaian boxer yang lebih longgar hanya mempunyai kesan yang amat sedikit terhadap jumlah sperma yang dihasilkan.

    Apa yang penting, pakailah seluar mengikut keselesaan anda.

    #5. Air mazi tidak mengandungi sperma

    kandungan air mani

    Secara teorinya, sememangnya air mazi atau disebut sebagai pre cum tidak mengandungi kandungan sperma.

    Namun, berkemungkinan terdapat sisa sperma yang masih lagi berada dalam saluran kencing yang mungkin akan bercampur dengan air mazi yang keluar.

    Walaupun jumlah sperma yang ada dalam air mazi ini tidaklah begitu banyak, tetapi ia masih mengandungi sejumlah sperma yang sihat.

    Kajian pada tahun 2011 menunjukkan, hampir 37% daripada sampel air mazi yang dikumpulkan daripada 27 individu mempunyai bilangan sperma yang aktif dan sihat.

    Oleh sebab itu, walaupun anda mungkin melakukan kaedah pancut luar sewaktu melakukan hubungan intim bersama pasangan, masih terdapat peluang untuk sperma ini memasuki rahim dan menyebabkan pasangan anda hamil.

    Kesimpulan

    Kesemua mitos atau tanggapan yang kurang tepat berkenaan kandungan air mani dan sperma lelaki ini masih lagi dipercayai oleh kebanyakan anggota masyarakat kita.

    Begitu juga dengan mitos-mitos lain yang perlu diberi penerangan yang jelas dan diperbetulkan agar tidak timbul isu salah faham dalam anggota masyarakat.

    Kongsikan maklumat ini jika anda rasa bahawa ia akan memberi manfaat kepada individu lain. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/12/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan