Ramai daripada kalangan kita yang tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya sedang mengalami diabetes. Ini kerana, mereka tidak menyedari tanda awal kencing manis yang berlaku. Ini 9 tanda tanda awal kencing manis yang paling kerap berlaku.
9 tanda awal kencing manis yang mungkin anda tidak sedar
Sepertimana penyakit-penyakit lain, kencing manis atau diabetes juga mempunyai beberapa tanda atau simptom apabila ia berlaku.
Tanda ini bukanlah satu tanda sahaja. Ia boleh berlaku dengan pelbagai tanda dan ia berbeza-beza mengikut individu.
Disebabkan hal ini, ramai yang tidak menyedari tanda tanda awal kencing manis kerana ia mungkin dianggap sebagai satu perkara yang normal.
Mari kita lihat 9 tanda awal kencing manis yang mungkin sedang berlaku kepada anda.
#1. Kerap rasa dahaga
Ini kerana proses pembuangan air kecil tersebut bertujuan menyingkirkan lebihan gula dalam darah.
Disebabkan proses ini, tubuh badan anda akan kehilangan lebih banyak air dan boleh menyebabkan dehidrasi.
Tidak pelik jika kesannya akan menyebabkan anda lebih mudah berasa dahaga berbanding sebelum ini.
#2. Kerap ke tandas untuk membuang air kecil
Apabila paras gula darah menjadi terlalu tinggi, buah pinggang anda akan cuba membuang lebihan gula ini dengan cara menapis darah anda.
Lebihan gula ini kemudiannya akan dibuang melalui pembuangan air kecil.
#3. Cepat berasa letih atau penat
Keletihan yang berlaku ini disebabkan oleh kandungan gula yang tidak dapat diproses oleh sel tubuh untuk dijadikan sebagai sumber tenaga badan.
Oleh itu, jika anda mudah berasa penat atau letih tanpa membuat sebarang aktiviti berat, ia mungkin tanda tanda awal kencing manis.
#4. Luka yang lambat sembuh
Paras gula darah yang tinggi juga boleh merosakkan saraf tubuh dan juga saluran darah. Ini boleh mengganggu aliran darah yang lancar.
Kesannya, sebarang luka atau parut yang dialami akan mengambil lebih banyak masa untuk sembuh.
Anda perlu berhati-hati kerana luka yang lambat sembuh boleh menyebabkan jangkitan lain yang akan memburukkan lagi keadaan anda.
#5. Kerap berasa lapar
Sistem penghadaman tubuh kita berfungsi menguraikan makanan yang dimakan kepada bentuk gula yang mudah dihadam iaitu glukosa.
Glukosa digunakan oleh tubuh badan kita sebagai sumber tenaga utama.
Namun, bagi mereka yang menghidap diabetes, glukosa ini tidak dapat diserap dengan baik oleh sel tubuh daripada aliran darah.
Kesannya, seseorang itu akan mudah dan kerap berasa lapar walaupun baru sahaja mengambil makanan.
#6. Penglihatan yang kabur
Saluran darah yang kecil pada bahagian mata anda juga boleh mengalami kerosakan disebabkan oleh paras gula yang tinggi dalam darah.
Apabila ini berlaku, ia boleh menyebabkan penglihatan anda menjadi kabur.
Kabur pada mata ini boleh berlaku sama ada pada sebelah atau kedua-dua belah mata.
Ia juga boleh berlaku dalam tempoh masa tertentu sebelum menghilang.
Jika keadaan ini tidak dirawat, ia boleh menjadi lebih buruk sehingga menyebabkan kebutaan kekal.
#7. Tompok hitam pada kulit
Anda akan menyedari kewujudan tompok kulit yang berwarna gelap atau hitam terutamanya di bahagian leher, ketiak dan celah paha.
Ia juga merupakan antara tanda tanda awal kencing manis yang kerap berlaku.
Keadaan kulit yang berwarna gelap ini mungkin berasa agak lembut.
Namun, tanda ini tidak biasa berlaku.
#8. Jangkitan yis
Gula yang tinggi dalam darah juga boleh menjadi sumber makanan bagi yis. Apabila yis semakin berkembang, ia boleh menyebabkan jangkitan yang lebih buruk.
Untuk pengetahuan anda, jangkitan yis lebih mudah berlaku pada kawasan kulit yang lembap seperti mulut, kawasan kemaluan dan juga ketiak anda.
Jika ia berlaku, anda mungkin akan berasa gatal-gatal pada kawasan tersebut.
Selain itu, ia juga boleh menyebabkan sensasi terbakar selain kemerah-merahan dan rasa sakit.
#9. Tangan berasa kesemutan atau kebas
Disebabkan aliran darah yang terganggu akibat paras gula darah yang tinggi, ia juga boleh menyebabkan rasa kesemutan atau kebas pada anggota tangan dan juga kaki.
Keadaan ini dikenali sebagai neuropati diabetes.
Jika ia tidak dirawat dengan pantas, keadaan ini akan menjadi lebih teruk dan menyebabkan komplikasi lain yang lebih buruk.
Dapatkan rawatan segera jika alami 9 tanda awal diabetes ini
Terdapat beberapa lagi tanda tanda awal kencing manis yang boleh berlaku.
Namun, sembilan tanda ini merupakan antara tanda tanda awal yang paling kerap berlaku dan sering diabaikan.
Oleh itu, jika anda alami salah satu daripada sembilan tanda-tanda ini, segera dapatkan rawatan daripada doktor bagi mengelakkan komplikasi yang lebih buruk.
[embed-health-tool-bmi]