backup og meta

Gejala Hampir Sama, Tapi Ini Beza Antara Diabetes Mellitus Dan Insipidus!

Gejala Hampir Sama, Tapi Ini Beza Antara Diabetes Mellitus Dan Insipidus!

Anda mungkin sudah mengetahui apakah maksud diabetes mellitus sebelum ini. Namun, pernahkah anda mendengar mengenai diabetes insipidus? Apakah maksud diabetes insipidus yang sebenar?

Ini perbezaan antara diabetes mellitus dan diabetes insipidus yang anda mungkin hendak tahu.

Perbezaan maksud diabetes mellitus dan insipidus

Walaupun sebutannya hampir sama dengan penggunaan perkataan diabetes, namun maksud diabetes mellitus dan maksud diabetes insipidus ialah berbeza.

Ini kerana, kedua-dua kondisi ini merupakan dua jenis keadaan atau penyakit yang berbeza.

Perbezaan utama antara diabetes mellitus dan diabetes insipidus terletak pada punca penyebabnya. 

#1. Maksud diabetes mellitus

Maksud diabetes mellitus ialah satu keadaan di mana tubuh badan manusia tidak berkemampuan untuk menghasilkan hormon insulin dengan mencukupi.

Ia juga meliputi keadaan di mana tubuh badan tidak dapat menggunakan insulin dengan baik.

Kesannya, paras gula darah akan meningkat naik dan seterusnya menyebabkan penyakit atau komplikasi lain yang lebih berbahaya.

Terdapat dua jenis keadaan diabetes mellitus iaitu diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2. 

  • Diabetes jenis 1: Sistem imun tubuh menjadi keliru dan tersilap menyerang organ pankreas sehingga menyebabkan pankreas tidak lagi berkemampuan untuk menghasilkan hormon insulin secara normal
  • Diabetes jenis 2: Sel-sel tubuh tidak memberikan respons seperti yang sepatutnya terhadap hormon insulin dan menyebabkan paras gula darah menjadi tinggi. Ia lebih banyak disebabkan oleh cara pemakanan, diet dan juga faktor obesiti

#2. Maksud diabetes insipidus

Diabetes insipidus pula berlaku apabila ginjal atau buah pinggang menghasilkan urin atau air kencing secara berlebihan.

Keadaan ini berpunca daripada masalah pada hormon vasopressin (AVP) atau juga disebut hormon diuretik (ADH).

Untuk pengetahuan anda, otak manusia akan menghasilkan hormon vasopressin bagi tujuan menyekat penghasilan air kencing agar tubuh badan dapat menampung atau menahan air kencing.

Apabila penghasilan hormon ini terganggu, maka buah pinggang kita akan terus mengeluarkan air kencing sehingga mencapai tahap maksimumnya.

Pada kebiasaannya, buah pinggang akan menghasilkan antara 1 hingga 2 liter air kencing dalam sehari.

Namun, bagi mereka yang menghidap keadaan diabetes insipidus, mereka berkemampuan untuk mengeluarkan air kencing antara 3 hingga 20 liter sehari. 

Anda sudah tahu maksud diabetes mellitus dan diabetes insipidus, ini pula beza simptomnya

maksud diabetes mellitus

Walaupun punca penyebab bagi kedua-dua penyakit ini berbeza, namun gejala atau simptom yang ditunjukkan hampir sama.

Berikut merupakan perbezaan gejala antara diabetes mellitus dan diabetes insipidus:

#1. Berasa haus atau dahaga

Bagi penyakit diabetes mellitus, anda akan berasa dahaga disebabkan paras gula darah yang tinggi.

Memandangkan tubuh ingin menyingkirkan lebihan gula dalam darah, maka tubuh memerlukan lebih banyak kandungan air untuk memprosesnya.

Oleh itu, anda akan kerap berasa dahaga jika menghidap penyakit ini walaupun sudah banyak minum air.

Bagi diabetes insipidus pula, anda akan berasa dahaga disebabkan tubuh telah banyak kehilangan kandungan air melalui pengeluaran air kencing. 

#2. Penglihatan menjadi kabur

Bagi penyakit diabetes mellitus, paras gula darah yang tinggi berpotensi merosakkan saluran pembuluh darah pada mata.

Ia kemudiannya boleh menyebabkan komplikasi yang dikenali sebagai retinopati diabetik.

Hal inilah yang boleh menyebabkan gangguan pada penglihatan anda.

Bagi diabetes insipidus pula, penglihatan yang kabur berlaku disebabkan oleh keadaan dehidrasi yang berpanjangan. 

#3. Berasa letih atau penat

Diabetes mellitus boleh menyebabkan seseorang berasa sangat letih disebabkan paras gula darah yang terlalu tinggi atau terlalu rendah.

Bagi keadaan diabetes insipidus pula, rasa letih yang dialami berpunca daripada keadaan tubuh yang mengalami kekurangan air atau dehidrasi.

Tubuh mudah berasa penat disebabkan kekurangan kandungan elektrolit yang terbuang bersama-sama dengan air kencing. 

Baca juga:

Kaedah rawatan bagi diabetes mellitus dan insipidus

maksud diabetes mellitus

Untuk pengetahuan anda, kedua-dua penyakit diabetes mellitus dan diabetes insipidus tidak dapat disembuhkan.

Namun, anda boleh mengawal keadaan yang dialami melalui cara-cara di bawah ini:

#1. Diabetes mellitus

Bagi penghidap diabetes jenis 1, anda semestinya memerlukan suntikan insulin secara berkala bagi mengawal gejala diabetes anda.

Selain itu, anda juga perlu sentiasa mengambil ubat-ubatan diabetes seperti yang telah disarankan oleh doktor.

Bagi penghidap diabetes jenis 2 pula, anda juga mungkin memerlukan suntikan insulin bergantung kepada keadaan diabetes anda.

Selain insulin dan ubat-ubatan, anda juga perlu mengekalkan gaya hidup yang aktif dan sihat, selain mengawal gaya pemakanan anda.

Cuba turunkan berat badan anda jika anda seorang yang obes.

Selain itu, biasakan diri memantau paras gula darah dengan cara memeriksa gula darah setiap hari. 

#2. Diabetes insipidus

Bagi diabetes insipidus pula, terdapat empat cara yang boleh dibuat bagi mengawal keadaan ini bergantung kepada jenis diabetes insipidus yang dialami:

  • Sentral: Pemberian hormon desmopressin sintetik melalui kaedah pil, suntikan atau semburan hidung bagi menggantikan hormon vasopressin
  • Nefrogenik: Pengambilan ubat diuretik dan aspirin atau ibuprofen untuk mengurangkan gejala yang dialami
  • Gestasi: Pemberian hormon desmopressin sintetik
  • Polidipsia primer: Tiada kaedah khusus bagi menangani masalah ini melainkan dengan mengurangkan pengambilan cecair

Maksud diabetes mellitus dan diabetes insipidus sangat berbeza

Kini anda telah mengetahui apakah diabetes mellitus dan insipidus.

Walaupun kedengaran hampir sama, kedua-duanya ternyata jenis penyakit yang amat berbeza.

Selepas ini, diharapkan anda tidak lagi keliru, ya!

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Diabetes: An Overview. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/7104-diabetes-mellitus-an-overview. Accessed on December 11, 2021.

What is diabetes?. https://www.cdc.gov/diabetes/basics/diabetes.html. Accessed on December 11, 2021.

Diabetes Insipidus. https://www.niddk.nih.gov/health-information/kidney-disease/diabetes-insipidus. Accessed on December 11, 2021.

Diabetes insipidus: symptom & causes. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/diabetes-insipidus/symptoms-causes/syc-20351269. Accessed on December 11, 2021.

Diabetes insipidus: diagnosis & treatment. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/diabetes-insipidus/diagnosis-treatment/drc-20351274. Accessed on December 11, 2021.

Versi Terbaru

02/03/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Kenali Tanda Diabetes Jenis 1, Jika Muncul Simptom Ini, Jangan Berlengah Jumpa Doktor

Sudah Gosok Gigi, Tapi Masih Ada Masalah Bau Mulut? Ini Mungkin Petanda Diabetes


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/03/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan