Bacaan normal gula dalam darah perlu diketahui setiap masa oleh pesakit kencing manis. Tetapi, bila dan bagaimana untuk mengetahui bacaan gula dalam darah normal? Antara cara yang boleh dilakukan untuk melihat bacaan gula darah setiap hari ialah melalui ujian gula darah rawak atau ringkasnya RBS (random blood sugar). Ikuti penerangan lanjut di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.
Ujian gula darah rawak: Periksa bacaan normal gula dalam darah
Jika anda menghidap diabetes, ujian gula darah rawak atau RBS mungkin disyorkan dari semasa ke semasa.
Ujian ini melibatkan pengambilan sampel darah yang kecil untuk mengukur paras glukosa anda secara rawak, tanpa mengira jenis pengambilan makanan anda.
Berbeza dengan ujian gula darah puasa atau FBS di mana pesakit perlu berpuasa lebih kurang 8 jam, RBS boleh dilakukan pada bila-bila masa walaupun selepas waktu makan.
Untuk pengetahuan anda, ujian bacaan normal gula dalam darah ini sebenarnya agak mudah untuk dilakukan walaupun sedikit invasif kerana ia memerlukan tusukan kecil jari bagi mendapatkan sampel darah.
Walau bagaimanapun, risiko untuk anda terluka disebabkan oleh jarum yang digunakan semasa prosedur ini adalah sangat rendah.
Selain itu, ujian gula darah rawak ini agak pantas, selamat dan tepat selagi mana anda mempunyai glukometer dan jalur ujian yang berfungsi dengan baik dan anda menggunakannya dengan betul.
Apa yang berlaku sewaktu membuat ujian bacaan normal gula dalam darah?
Ujian gula darah rawak ini merupakan satu kaedah ujian yang sangat mudah dan tidak memerlukan kos yang tinggi.
Apa yang anda perlukan hanyalah alat glukometer berserta jalur ujiannya. Jika anda mempunyai kedua-duanya, anda boleh melakukan ujian ini di rumah sahaja.
Prosedur ujian ini sama sahaja dengan ujian yang dijalankan di klinik, di mana doktor akan membuat satu tusukan kecil pada jari dan mengambil sedikit sampel darah pada tusukan tersebut. Sampel darah akan diletakkan pada jalur ujian dan kemudiannya dimasukkan ke dalam alat glukometer.
Hasil ujian darah ini akan ditunjukkan secara automatik dalam tempoh beberapa saat sahaja.
Keputusan yang diperoleh biasanya bergantung kepada waktu kali terakhir anda makan.
Jika anda melakukan ujian sejurus selepas makan, keputusan yang ditunjukkan mungkin akan menjadi lebih tinggi. Keputusan ujian bacaan normal gula dalam darah adalah sehingga 7.8 mmol/dL.
Keputusan yang menunjukkan bacaan 11.1 mmol/dL pula mungkin menunjukkan anda menghidap diabetes yang tidak terkawal.
Adakah ujian ini penting?
Ramai yang bertanya, adakah ujian gula darah rawak ini penting untuk dilakukan setiap masa.
Tahukah anda, untuk mengetahui bacaan gula dalam darah, ia hanya boleh dilakukan melalui ujian darah seperti ini.
Ujian ini juga disarankan kerana ia merupakan antara ujian gula darah yang paling mudah, pantas dan boleh dilakukan sendiri di rumah.
Walau bagaimanapun, bagi individu yang sudah mengetahui tentang keadaan diabetes mereka, mereka mungkin hanya menggunakan ujian ini jika mengalami gejala yang berkaitan dengan kencing manis, seperti:
- Peningkatan berat badan tanpa sebab yang jelas
- Kerap membuang air kecil
- Kekeliruan atau berlakunya perubahan mendadak pada cara pesakit bercakap atau berkelakuan
- Pengsan
- Penglihatan menjadi agak kabur atau tidak jelas
- Sawan (kali pertama)
- Tidak sedarkan diri
Oleh itu, jika anda mengalami salah satu daripada simptom ini, sebaiknya dapatkan glukometer dengan segera, periksa gula darah dan dapatkan bacaan normal gula dalam darah dengan segera.
Untuk tindakan yang lebih baik, maklumkan kepada ahli keluarga dan mereka yang tinggal bersama anda untuk terus melakukan ujian gula darah ini jika anda mengalami simptom-simptom di atas.
Kesimpulan
Bagi penghidap diabetes, ujian ini boleh memaklumkan bacaan gula darah semasa dengan pantas dan mudah.
Manakala bagi mereka yang tidak menghidap penyakit kencing manis, ujian gula darah rawak boleh bertindak sebagai langkah saringan awal penyakit ini.
[embed-health-tool-bmi]