backup og meta

Dah Vaksin Anak Ke Belum? Ini 5 KEPENTINGAN Vaksin Kanak-Kanak, Mak Ayah Mesti Tahu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 21/06/2022

    Dah Vaksin Anak Ke Belum? Ini 5 KEPENTINGAN Vaksin Kanak-Kanak, Mak Ayah Mesti Tahu!

    Sejak kemunculan virus COVID-19, orang awam mula mengetahui dan sedar akan kepentingan vaksin dan imunisasi dalam pencegahan penyakit berjangkit. Kepentingan mengambil vaksin ini bukan sahaja melibatkan penyakit baharu seperti COVID-19, tetapi juga jenis penyakit yang telah wujud sejak sekian lama.

    Langkah pencegahan melalui vaksin ini amat penting terhadap golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak. Jadi, apakah kepentingan khusus pengambilan vaksin terhadap golongan ini? 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini.

    Apa itu vaksin dan bagaimana ia berfungsi?

    Vaksin, atau juga disebut sebagai imunisasi, merupakan salah satu kaedah untuk membina pertahanan tubuh secara semula jadi daripada serangan penyakit sebelum seseorang itu mula jatuh sakit.

    Ini boleh mencegah anda daripada dijangkiti dan menjangkiti individu lain.

    Bagi sesetengah jenis vaksin, virus yang telah dilemahkan akan disuntik pada bahagian tubuh seperti lengan dan juga kaki.

    Tubuh badan kemudiannya akan mengesan pencerobohan virus ini dan seterusnya menghasilkan antibodi bagi melawan kehadiran virus tersebut.

    Antibodi ini kemudiannya akan terus kekal dalam tempoh jangka masa yang lama dalam tubuh manusia.

    Oleh itu, sekiranya anda dijangkiti oleh penyakit yang disebabkan oleh jenis virus yang sama, tubuh badan akan melawan jangkitan tersebut bagi mengelakkan anda jatuh sakit. 

    Ini 5 kepentingan vaksin dan imunisasi kepada kanak-kanak

    kepentingan vaksin dan imunisasi

    Kanak-kanak merupakan antara golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti dengan sesuatu penyakit disebabkan sistem imun mereka yang masih rendah.

    Disebabkan itu, pelbagai jenis vaksin telah diusahakan sejak sekian lama bagi mencegah penularan wabak penyakit yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

    Berikut merupakan lima kepentingan vaksin dan imunisasi kepada kanak-kanak:

    #1. Kepentingan mengambil vaksin: Vaksin sangat selamat dan berkesan

    Vaksin hanya akan diberikan kepada kanak-kanak setelah ia menjalani penilaian dan analisis yang panjang dan berhati-hati oleh para saintis, doktor dan pakar profesional yang lain.

    Suntikan vaksin mungkin akan menyebabkan kesan sampingan yang kecil seperti sakit pada tempat suntikan, kemerahan dan juga bengkak kecil.

    Kesan sampingan ini hanyalah bersifat sementara jika dibandingkan dengan kesan sampingan jangkitan penyakit jika kanak-kanak tidak divaksin.

    Ada juga beberapa kesan sampingan yang agak teruk seperti reaksi alahan, namun ia amat jarang berlaku. 

    #2. Vaksin boleh menyelamatkan nyawa anak anda

    Kemajuan dalam bidang sains perubatan pada masa kini telah berupaya menyelamatkan kanak-kanak daripada pelbagai jangkitan penyakit di era-era sebelumnya.

    Untuk pengetahuan anda, terdapat jenis penyakit yang telah meragut ribuan nyawa sebelum ini, tetapi kini telah pupus sepenuhnya disebabkan kewujudan vaksin sebagai pencegah.

    Ada juga beberapa jenis penyakit yang kini sudah hampir pupus dan lenyap disebabkan keberkesanan liputan vaksin yang menyeluruh.

    Antara jenis penyakit yang kini sudah pupus disebabkan keberkesanan vaksin ialah penyakit polio

    #3. Vaksin membantu menjimatkan kos rawatan penyakit

    kepentingan vaksin dan imunisasi

    Antara kepentingan vaksin dan imunisasi ialah penjimatan kos rawatan penyakit kanak-kanak.

    Sesetengah penyakit yang boleh dicegah melalui suntikan vaksin berpotensi menyebabkan kecacatan yang berpanjangan kepada kanak-kanak.

    Jika ini berlaku, ia boleh menyebabkan pertambahan kos rawatan dan penjagaan kanak-kanak tersebut, selain mengganggu waktu kerja anda sendiri untuk menjaga mereka.

    Oleh sebab itu, suntikan vaksin boleh dikatakan sebagai satu pelaburan jangka masa panjang untuk kesihatan anak-anak anda. 

    #4. Kepentingan mengambil vaksin: Melindungi nyawa orang lain

    Bayi dan kanak-kanak yang masih muda tidak sesuai untuk mengambil vaksin.

    Oleh itu, bagi melindungi kelompok ini daripada jangkitan penyakit, mereka yang berada di sekelilingnya perlulah divaksin bagi mewujudkan imuniti kelompok yang boleh diibaratkan seperti “payung” perlindungan.

    Apabila individu-individu lain seperti ibu bapa dan remaja telah divaksin, ia boleh mencegah penyakit tersebut daripada menjangkiti bayi dan kanak-kanak yang masih muda.

    Jadi, kepentingan vaksin dan imunisasi ini bukan hanya melibatkan manfaat kepada individu, tetapi kepada komuniti secara berkelompok. 

    #5. Kepentingan vaksin dan imunisasi: Melindungi generasi baharu akan datang

    Sejarah telah membuktikan bahawa kewujudan dan pelaksanaan vaksin telah berjaya melenyapkan penyakit-penyakit berjangkit berbahaya yang sebelum ini telah mengorbankan jutaan manusia.

    Antaranya adalah seperti penyakit polio dan juga cacar (smallpox).

    kepentingan vaksin dan imunisasi

    Kini, hampir kesemua daripada kita tidak lagi perlu mendapatkan vaksin cacar (smallpox) disebabkan penyakit ini tidak lagi wujud.

    Jika kita terus mendapatkan vaksin untuk melawan penyakit berbahaya, bukanlah sesuatu yang mustahil jika generasi akan datang tidak perlu lagi berhadapan dengan jangkitan penyakit tertentu kerana ia sudah pupus. 

    Pastikan anak mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan

    Kementerian Kesihatan Malaysia telah merangka Jadual Imunisasi Kebangsaan bagi memudahkan ibu bapa mengatur suntikan vaksin untuk bayi dan anak kecil mereka.

    Antara vaksin yang perlu diambil oleh bayi dan kanak-kanak di Malaysia ialah seperti BCG, Hepatitis B, DTap, demam campak, pneumokokal dan HPV.

    Jadi, jangan abaikan penjagaan kesihatan anak dan buatlah keputusan yang bijak untuk memvaksinkan anak-anak anda.

    Kini anda telah jelas akan lima kepentingan vaksin dan imunisasi kepada kanak-kanak.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan