backup og meta

Mainan Anak Punca Penyakit! Mama, Pernah Cuci Tak Trak Mainan & 'Teddy Bear' Si Kecil?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 23/06/2021

    Mainan Anak Punca Penyakit! Mama, Pernah Cuci Tak Trak Mainan & 'Teddy Bear' Si Kecil?

    Anak sudah masuk usia 5 tahun, barang permainan pun semakin banyak. Tetapi pernah tak ibu ayah membasuh mainan kanak kanak walaupun sekali? Eh…perlu ke untuk mencuci barang permainan si kecil?

    Perlu ke membasuh mainan kanak kanak?

    Pastinya ada dalam kalangan ibu bapa yang keliru, sama ada perlu atau tidak untuk mencuci barang permainan si kecil, bukan? Malahan, mesti terdapat ibu bapa yang berasakan tiada keperluan pun untuk basuh mainan kanak-kanak, kan?

    Kebanyakan ibu bapa sering memandang remeh isu ini. Tetapi adakah anda terlupa bahawa bakteria dan kuman boleh berkumpul pada barang mainan si kecil?

    Apatah lagi jika si manja mempunyai tabiat memasukkan mainan ke dalam mulut, khususnya bayi. Sudah tentu keadaan seperti itu memudahkan sebarang jangkitan bakteria dan kuman untuk menyerang si kecil. 

    Kekerapan untuk mencuci permainan tidak perlulah dilakukan setiap hari. Namun terdapat beberapa keadaan yang amat disarankan untuk proses membersihkan barang permainan dilakukan, seperti:

    • Barang permainan nampak kotor, khususnya apabila selepas dibawa main di luar rumah atau dikotori dengan makanan yang tumpah
    • Anak anda baru sembuh daripada sebarang keadaan kesihatan seperti demam atau selesema mahupun cirit-birit
    • Si kecil memasukkan barang permainan ke dalam mulut
    • Membersihkan sekurang-kurangnya sekali setiap hujung minggu/ bulan

    Kaedah membasuh mainan kanak-kanak

    Barang permainan, terutamanya seperti patung boneka seperti teddy bear sememangnya merupakan kegemaran si kecil. Walau bagaimanapun, permainan seperti itulah yang kerap menjadi tumpuan bakteria dan kuman. 

    Sebenarnya untuk mencuci permainan seperti patung boneka adalah mudah. Namun adakalanya sesetengah barang mainan kanak kanak memerlukan cara pembersihan yang lebih khusus. 

    Jadi berikut dikongsikan kaedah mencuci barang permainan si kecil yang boleh dicuba:

    mainan kanak kanak

    1. Membasuh mainan anak dengan mesin basuh

    Patung seperti patung beruang atau arnab boleh dicuci dengan menggunakan mesin basuh dan sudah tentu ia merupakan 1 perkara paling menyenangkan bagi kebanyakan ibu bapa. Namun terdapat beberapa risiko yang perlu dihadapi.

    Perkara paling utama sebelum membasuh mainan anak adalah dengan membaca arahan penjagaan pengeluar yang terdapat pada tag mainan si kecil, terutamanya permainan yang mempunyai butang.

    Jika anda memilih menggunakan mesin basuh:

    1. Pilih menggunakan kitaran lembut bersama air sejuk atau mungkin anda boleh menggunakan air panas (bergantung kepada kesesuaian barang permainan.
    2. Masukkan bahan pencuci ringan yang tidak dicampur pewangi dan mempunyai bahan antibakteria. Jika tiada, anda boleh menggunakan sabun pencuci baju si kecil. Ikut arahan cucian pada botol sabun dan elakkan daripada menggunakannya dalam kuantiti yang banyak. 
    3. Jika saiznya muat, anda boleh memasukkan barang mainan ke dalam beg pakaian dobi jenis netting (netting laundry bags). Ia dapat membantu menjaga bahagian-bahagian tertentu pada permainan seperti mata dan rambut. 

    Secara umumnya, penggunaan mesin pengering untuk mengeringkan permainan anak dibolehkan untuk sesetengah jenis mainan seperti patung boneka walaupun ia bukanlah pilihan terbaik. 

    Ini kerana sesetengahnya mungkin mengandungi bahagian bergam atau bahagian plastik yang tidak dapat menampung haba panas daripada mesin pengering.

    Namun, jika masih ingin menggunakan mesin pengering, pilih tetapan suhu panas yang rendah atau tidak panas.

    Anda juga boleh memilih untuk menjemurkannya di bawah sinaran matahari atau berhampiran kipas untuk memastikan patung boneka tersebut cepat kering. 

    2. Mencuci mainan kanak-kanak dengan tangan

    Tidak semua permainan direka dengan cara yang sama. Ada sesetengahnya lebih sesuai dicuci menggunakan tangan, seperti lego atau barangan kitchen pretend play seperti pinggan mangkuk plastik.

    Untuk membasuh barang permainan atau patung boneka menggunakan tangan, 3 perkara yang anda perlukan:

    #Bekas yang cukup untuk mengisi air bagi menenggelamkan setiap permainan dan patung boneka, seperti baldi besar.

    #Sabun pencuci ringan. Anda boleh memilih menggunakan sabun pencuci baju si kecil atau sabun pencuci botol susu bayi

    #Kain bersih yang kering.

    Berikut adalah cara-cara untuk mencuci:

    1. Untuk memulakan membasuh mainan anak menggunakan kaedah ini, anda perlu memenuhkan bekas yang anda ingin gunakan dengan air sejuk atau air panas suam. Pastikan ia cukup untuk menenggelamkan setiap permainan anak anda. 
    2. Masukkan sesudu sabun pencuci bagi setiap per galon air.
    3. Tenggelam timbulkan setiap permainan, supaya ia larut sekata antara air dengan sabun pencuci. 
    4. Rendamkan permainan untuk tempoh antara 15 minit hingga sejam, sebelum mencuci, bergantung kepada kesesuaian barang permainan.
    5. Untuk mencuci, anda boleh memilih untuk menggunakan secara terus air daripada paip atau membuang air dalam bekas dan digantikan dengan air bersih. Cuci menggunakan kaedah tenggelam timbul, sama seperti untuk merendamkan mainan tadi sehingga hilang sabunnya. 

    Untuk mengeringkan patung boneka, anda boleh memicitnya beberapa kali untuk mengeluarkan air kemudian balut dengan kain bersih. Kaedah ini dapat membantu mengeluarkan lebihan air. Kemudian jemur atau keringkan berhampiran kipas.

    Bagi barang permainan plastik seperti lego pula, lapkan dengan kain yang bersih sehingga kering. 

    barang permainan

    3. Barang permainan kanak-kanak dengan komponen elektronik

    Mencuci bahagian tertentu merupakan 1 cara membasuh mainan yang tidak boleh ditenggelamkan dalam air kerana mempunyai komponen elektronik atau muzik. Sudah tentu ia untuk mengelakkan sebarang kerosakan.

    Kaedah ini hanya melibatkan proses mencuci bahagian permukaan mainan dengan mengelap luarannya menggunakan kain lembap bersama sabun pencuci lembut. Anda boleh menggunakan sabun pencuci pakaian bayi atau sabun pencuci pinggan biasa. 

    Paling penting, elakkan daripada menyebabkan bahagian komponen elektronik atau muzik terkena air.

    Akhir kata

    Sebenarnya tidaklah sukar untuk membersihkan barang mainan si kecil, bukan? Ia cuma memerlukan kerajinan dan kesabaran untuk mengendalikan barangan yang bersaiz kecil. 

    Walau apa pun, cuba untuk mencuci barangan permainan si kecil sekurang-kurangnya sebulan sekali, okay? Sudah tentu ia dapat menjamin tahap kebersihan barangan si manja.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 23/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan