Jika anda masih ingin bertanyakan soalan kepada mereka, anda boleh mulakan dengan sesuatu yang positif, seperti “Anak mama nampak ceria hari ini, mesti ada yang best dekat sekolah.”
- Bekalkan snek
Rasa lapar boleh menyebabkan seseorang hilang mood, begitu juga keadaannya dengan si kecil. Keadaan itu boleh menyebabkan anak tantrum. Anda boleh persiapkan sebarang snek dan juga minuman kegemaran mereka untuk menyambut kepulangan si manja dari sekolah.
Tetapi pastikan pemilihan makanan dan minuman itu adalah sihat dan kaya dengan nutrisi yang baik untuk tumbesaran si manja, seperti buah-buahan kegemaran anak dan jus segar.
- Meluangkan masa bersama
Seharian menghadap buku, tugasan sekolah dan rakan-rakan, sudah pasti si anak juga mahu meluangkan masa bersama anda.
Paling tidak, pastikan semasa waktu makan anda dapat berkumpul bersama-sama. Sudah tentu ia dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Dalam masa yang sama, anda boleh berbual bersama-sama si kecil.
Tetapi elakkan sebarang pertanyaan berkaitan perihal sekolah sekiranya anda melihat anak anda seperti tidak mempunyai mood. Ini kerana ia berisiko menyebabkan si anak kembali tantrum.

- Berikan anak ruang
Jika anak anda masih buat perangai seperti marah-marah atau menjerit, perkara terakhir yang boleh anda lakukan adalah dengan memberikan mereka ruang untuk meluahkan apa yang dirasakan.
Tidak semua hari yang dilalui indah belaka, bukan? Itulah juga keadaannya dengan si anak, mereka mungkin menghadapi hari yang sukar di sekolah. Jadi apa yang mereka perlukan hanya ruang menzahirkan apa yang terbuku di hati mereka.
Mainkan peranan anda menenangkan mereka dengan mengeluarkan ungkapan seperti, “Mama percaya anak mama ini tabah walau sesukar mana cabarannya,” dan berikan kucupan mesra di dahi mereka.
- Tanyakan kepada guru
Jika anda masih ingin bertanyakan perihal persekolahan anak anda, tanya sahaja kepada guru mereka. Mungkin secara tidak langsung, anda akan mengetahui punca anak anda buat perangai setiap kali balik sekolah.
Kesimpulannya
Berdepan dengan emosi anak selepas balik dari sekolah sememangnya sukar. Adakalanya tantrum atau perangai yang dilakukan mereka seakan-akan mencabar tahap kesabaran anda. Namun, anda tidak harus terikut dengan flow tantrum mereka itu.
Kunci utama dalam melayan kerenah anak yang mempunyai tantrum adalah dengan bersabar dan sentiasa bertenang. Jika anda hampir-hampir marah, tarik nafas sedalamnya dan senyum. Semoga anda mampu mengatasi tantrum si anak dengan sebaiknya dan pastikan anak mengetahui bahawa anda sentiasa menyayangi mereka.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.