Mengurut boleh memberikan ketenangan kepada si manja. Ia membantu mengeratkan jalinan hubungan antara ibu bapa dan anak. Jom ketahui cara urut bayi yang sesuai untuk dilakukan.
Keperluan urut bayi
Urutan yang dilakukan kepada bayi memberikan pelbagai manfaat.
Dengan setiap teknik urutan lembut, si manja akan berasa dikasihi dan disayangi, sekali gus akan mengukuhkan ikatan antara kalian berdua.
Bayi juga akan berasa lebih tenang dan santai apabila diurut. Sudah tentu ia membantu meningkatkan kualiti tidur mereka.
Anda tidak tahu cara urut bayi yang boleh dicuba?
Jangan risau, kami ada panduannya untuk anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Bayi, sila dapatkannya di sini.
Manfaat urutan kepada bayi
Menurut International Association of Infant Massage (IAIM), mengurut bayi dapat membantu merangsang sistem peredaran darah dan pencernaan mereka.
Ini mungkin dapat memberikan kesan baik kepada bayi dengan keadaan seperti:
- Gas (berangin)
- Kekejangan
- Kolik
- Sembelit
Secara amnya, mengamalkan cara mengurut bayi dapat memberikan beberapa faedah semula jadi kepada si manja, antaranya:
- Melegakan tekanan dan merehatkan otot. Keadaan itu dapat merangsang tumbesarannya dan amat berkesan untuk bayi kolik.
- Merangsang sistem saraf. Urutan yang dilakukan memberikan kebaikan kepada sistem saraf bayi dan meningkatkan perkembangan kemahiran motorik mereka.
- Menjadikan tidur bayi lebih lena.
- Meningkatkan kualiti hidup bagi bayi dengan kelainan upaya. Urutan dapat menenangkan bayi dengan sindrom Down atau cerebral palsy. Bayi pramatang juga menunjukkan perkembangan motor lebih baik apabila diurut secara berkala. Bahkan pertambahan berat badan adalah lebih cepat berbanding bayi pramatang yang tidak diurut.
Sekiranya bayi anda mempunyai masalah kesihatan, dapatkan rundingan dan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang urutan kepada si manja.
Cara urut bayi: Masa sesuai melakukannya
IAIM mencadangkan agar ibu bapa mula memperkenalkan sentuhan sebaik sahaja bayi dilahirkan.
Ia dikenali sebagai penjagaan kulit ke kulit atau kangaroo care.
Lakukannya dengan mendukung si manja (yang tidak dipakai baju) ke dada. Kemudian belai kaki dan belakang badan mereka dengan perlahan dan lembut.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Selepas beberapa minggu pertama kelahiran, anda boleh mula mengurut bayi. Walau bagaimanapun, ia adalah bergantung kepada mood si manja.
Secara amnya, bayi perlu berada dalam keadaan tenang, waspada dan puas ketika anda melakukan urutan.
Jangan sesekali melakukan sebarang teknik atau cara urut bayi yang membuatkan mereka berasa tidak selesa.
Sekiranya bayi mengalihkan pandangan atau kepala mereka daripada memandang anda mahupun mengeraskan lengan, ia bukanlah masa terbaik untuk meneruskan sebarang urutan.
Anda juga disarankan untuk menunggu sekurang-kurangnya selepas 45 minit penyusuan sebelum mengurut.
Jika anda melakukan sebarang urutan terlalu cepat selepas menyusu, mereka mungkin akan terjeluak atau muntah susu.
Teknik urutan bayi
Berikut adalah beberapa petua dan teknik yang boleh dicuba semasa melakukan urutan kepada si manja:
#1. Berikan sentuhan lembut
Bayi sangat lembut, jadi sentuhan atau tekanan yang berlebihan adalah tidak bersesuaian untuk dilakukan semasa mengurut.
Elakkan juga mengurut alat sulit dan sekitar kawasan pangkal paha bayi, okay?
#2. Emosi bayi dalam keadaan baik
Jangan sesekali mengurut bayi yang sedang meragam dan merengek.
Jika anda mendapati bayi berasa tidak selesa semasa urutan pada bahagian tertentu, hentikan dan beralih pada kawasan lain.
Cara urut bayi #3. Bercakap dengan si manja
Anda boleh tersenyum, ketawa kecil atau berbual dengan bayi semasa mengurut mereka.
Bahkan jika mahu, anda boleh menyanyi atau bersenandung untuk si kecil.
Melibatkan bayi dalam perbualan ketika urutan, dipercayai dapat membuatkan mereka lebih berminat dan gembira.
#4. Jadikan sebagai rutin harian
Jadikan urutan sebagai satu rutin kepada bayi setiap hari.
Lakukan ia pada masa yang sama dapat membantu si manja rasa lebih selesa dan bersedia bagi setiap sesi urutan.
#5. Minyak adalah pilihan
Penggunaan minyak ketika mengurut si manja adalah pilihan dan bukanlah satu kemestian.
Jika anda memilih untuk mengurut menggunakan minyak, pastikan minyak itu tidak berbau dan boleh dimakan.
Ini kerana wujud kemungkinan bayi akan memasukkannya ke dalam mulut mereka.
Sebaiknya, sebelum mula mengurut, lakukan ujian dengan menyapu sedikit minyak pada bahagian kecil kulit bayi.
Ini dapat membantu menentukan sama ada si kecil mempunyai reaksi alahan ataupun tidak.
Melakukan ujian seperti ini amat penting terutamanya jika bayi anda mempunyai kulit sensitif.
Kesimpulan
Melakukan urutan pada si manja dianggap sebagai terapi menenangkan. Malah dapat mengeratkan jalinan antara ibu bapa dan bayi.
Namun tidak dinafikan, ada sesetengah ibu bapa berasa bimbang untuk melakukannya.
Akan tetapi dengan berlatih beberapa kali, anda pasti dapat mengetahui teknik dan cara mengurut bayi yang betul.