Bagi wanita yang melakukan penyusuan susu ibu, sampai satu masa, pasti anda ingin mengetahui tips bercerai susu. Tapi timbul pula kebimbangan tentang bagaimana keperluan nutrisi anak jika mereka berhenti menyusu badan?
Bertenang, ibu! Ada cara untuk mengekalkan nutrien yang diperlukan si manja anda itu. Namun sebelum itu, ayuh kita fahami terlebih dahulu bilakah masa terbaik untuk menghentikan penyusuan susu ibu.
Sudah bersedia menghentikan penyusuan susu ibu?
Bila masa terbaik untuk menghentikan penyusuan susu ibu adalah persoalan yang sering diutara kebanyakan ibu yang mahu “bercerai susu”. Sudah tentu perkara ini merunsingkan jika si manja masih bergantung pada susu badan.
American Academy of Pediatrics (AAP) mengesyorkan penyusuan susu ibu secara eksklusif dilakukan sekurang-kurangnya selama 6 bulan pertama selepas bayi dilahirkan 1.
Ia kemudiannya diikuti dengan 6 bulan penyusuan eksklusif bersama pengambilan makanan pepejal, sehinggalah bayi mencecah usia setahun 1. Selepas itu, penyusuan berbeza-beza mengikut tempoh yang diingini ibu.
Keputusan bercerai susu badan adalah pilihan peribadi ibu
Apabila bercakap tentang keputusan bercerai susu, ia sebenarnya terletak pada keinginan ibu dan kesediaan si manja 1, bukannya pada pandangan dan saranan pihak lain. Penyusuan susu badan boleh berlangsung selama mana yang diingini, hingga ada yang sampai anak berusia dua tahun ke atas.
Namun, jika anda sudah menetapkan masa tertentu untuk bercerai susu dengan anak, jom ikuti kaedah terbaik yang dibincangkan di bawah ini untuk memulakan proses tersebut!
Cara terbaik bercerai susu badan buat ibu yang sudah bersedia agar nutrisi anak terpelihara
Kaedah yang paling mudah untuk bercerai susu adalah dengan melihat isyarat yang ditunjukkan si manja sendiri yang sudah tiba masanya mereka berhenti menyusu badan 2. Antara isyaratnya seperti mereka menyusu dalam tempoh yang lebih singkat, atau kelihatan terganggu semasa sesi penyusuan.
Situasi ini akan berlaku secara semula jadi apabila mereka mula diperkenalkan dengan makanan pepejal. Impak daripada pendedahan tersebut, mereka akan beralih ke bentuk makanan lain, demi mencari keselesaan dan tekstur makanan kegemaran mereka 3.
Tips #1 bercerai susu badan agar nutrisi anak terjaga: Ibu mulakan langkah pertama
Tapi, ada juga anak yang mungkin tidak langsung menunjukkan keinginan untuk berhenti menyusu badan. Ia akan berterusan sehinggalah mereka tidak lagi sanggup untuk duduk diam sepanjang tempoh menyusu 2.
Jika anda menghadapi situasi ini, mungkin anda sendiri yang perlu mengambil langkah pertama. Bagaimana caranya? Dan bagaimana pula dengan keperluan nutrisi anak?
Usah bimbang. Proses bercerai susu badan tidak mungkin akan berjaya dalam tempoh sehari dua. Bahkan, anda dinasihati untuk tidak melakukannya secara mengejut 4. Tindakan tersebut boleh mengakibatkan pembengkakan payudara dan meningkatkan risiko jangkitan!
Paling utama, tindakan menghentikan penyusuan eksklusif secara mengejut boleh menjejaskan emosi anak dan diri anda sendiri 4.
Tips #2 bercerai susu badan: Mulakan proses secara berperingkat untuk kekalkan nutrisi anak
Sebaliknya, lakukan proses bercerai susu badan ini secara berperingkat, bermula dengan mengurangkan kekerapan sesi penyusuan setiap hari. Cuba lakukannya pada waktu siang terlebih dahulu.
Mengapa? Kerana selepas memberi si manja hidangan makanan pepejal pada waktu makan tengah hari, mereka akan lebih aktif, lalu secara semula jadi “terlupa” untuk menyusu badan 2. Jika tips ini berjaya, ibu boleh mula mengurangkan penyusuan pada waktu lain pula.
Tapi jangan dilupa, cuba untuk tenangkan anak sambil menawarkan botol susu kepadanya. Ia penting kerana mereka masih memerlukan kasih sayang, hubungan mata, serta sentuhan kulit-ke-kulit dengan anda 5.
Jika bayi menolak pemberian botol susu, kekal bertenang dan bersabar. Anda boleh cuba mendukung mereka sambil berjalan, lalu berikan botol susu semula 5.
Tips #3 bercerai susu badan: Jangan lupa penuhi keperluan nutrisi anak
Sekiranya penyusuan susu ibu dihentikan sebelum anak berusia setahun, anda disaran untuk memberi perahan susu badan dari dalam botol atau membekalkan susu formula yang mengandungi nutrisi lengkap, supaya si manja tidak “terkejut” lalu menolaknya.
Pilihan susu formula dengan nutrisi lengkap haruslah diperkaya dengan laktoferin atau zat besi. Harus diingatkan, anak yang berumur bawah setahun tidak boleh diberikan susu lembu! 6
Memenuhi keperluan nutrisi anak sangat penting demi sistem imun mereka. Sudah tentu susu ibu adalah jawapan yang terbaik buat si manja, namun jika keadaan anda tidak mengizinkan, semak kandungan susu formula yang ingin diberi pada mereka. Pastikan ia mengandungi 7 nutrien atau nutrisi anak yang penting ini:
1. Laktoferin
Ia adalah protein pengikat zat besi 7 penting yang juga boleh ditemui dalam susu badan. Laktoferin membantu menyokong kesihatan pencernaan 8 malah berfungsi menghalang pembiakan bakteria.
Bukan itu sahaja, berdasarkan kajian klinikal, protein ini berupaya menyokong kesihatan imun si manja 9, serta memainkan peranan penting dalam perkembangan otak dan sistem kognitif bayi baru lahir, terutamanya dalam proses tumbesaran 10.
2. MFGM
Terdapat dalam setiap titisan susu ibu, MFGM membantu menyokong perkembangan kognitif anak 11. Milk fat globule membrane merupakan sumber penggalak imuniti yang juga merupakan lapisan semula jadi tinggi nutrien yang mengelilingi lemak susu.
Ia mempengaruhi tindak balas sistem imun secara positif, sekali gus menjadikan MFGM sebagai komponen terbaik dalam diet harian untuk meningkatkan imuniti tubuh 12.
3. DHA
DHA yang terdapat dalam susu adalah asid lemak omega-3 – komponen struktur otak yang penting untuk perkembangan si manja 13. Ia antara nutrien paling penting untuk tumbesaran dan perkembangan imuniti kanak-kanak 14.
Prebiotik yang mempunyai impak pada kesihatan saluran pencernaan ini juga merupakan antara makanan penggalak imuniti terbaik 15.
Nutrisi anak perlu ada #4. Kolin
Kolin adalah prebiotik yang menawarkan khasiat penting untuk perkembangan otak serta kecerdasan anak 16.
5. PDX dan GOS
PDX dan GOS juga adalah prebiotik yang berperanan membantu menyokong perkembangan sistem imun dan kesihatan usus anak 17.
Polydextrose, sejenis serat berfungsi sebagai “makanan” kepada bakteria baik untuk keseluruhan saluran usus besar 18. Ia merangsang pertumbuhan dan mengembangkan aktiviti mikroorganisma bermanfaat, terutamanya bakteria yang memenuhi usus.
Galactooligosaccharide pula adalah serat yang tidak tercerna oleh prebiotik 19. Gabungan PDX dan GOS dapat menyokong pertumbuhan bakteria baik dalam usus, sekali gus meningkatkan fungsi sistem pencernaan si manja. Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan risiko sembelit dan cirit-birit pada anak!
6. Vitamin D, C, E perlu ada untuk jaga nutrisi anak
Ketiga-tiga vitamin ini mempunyai peranan dalam perkembangan imun dan kesihatan anak.
Vitamin D penting dalam penggunaan kalsium dan fosforus tubuh. Ia berkaitan dengan imuniti dan mengawal pertumbuhan sel 20. Anak anda memerlukan vitamin D yang mencukupi untuk perkembangan tulang yang kuat dan gigi yang sihat.
Vitamin C pula berperanan dalam menyokong sistem ketahanan badan, dan sangat diperlukan bagi menjaga kesihatan tubuh, terutamanya buat perkembangan dan tumbesaran 21. Manakala vitamin E pula memberi manfaat kepada tubuh dengan bertindak sebagai antioksidan dan melindungi vitamin A dan C, sel darah merah, dan asid lemak penting daripada dimusnahkan 20.
Nutrisi anak #7. Nukleotida
Nukleotida berfungsi meningkatkan tindak balas imun dan pertumbuhan, dan pembaikan usus 22. Beberapa kajian klinikal menunjukkan suplemen ini memberi kesan baik dalam meningkatkan fungsi imun dan mikroflora usus serta mengurangkan masalah cirit-birit.
Tips #4 bercerai susu badan: Gunakan botol susu dengan bijak
Dalam usaha menghentikan penyusuan susu ibu, anda juga boleh memberikan si manja susu dari dalam botol, ataupun daripada cawan terus. Semasa memperkenalkan susu botol ini, pilih masa ketika mereka tidak terlalu lapar, atau dalam emosi yang baik.
Tidak dilupa, pilih puting dengan pengaliran yang perlahan pada mulanya. Ini kerana jika anda menggunakan puting dengan pengaliran yang terlalu kuat, anak anda boleh mengalami “kejutan” kerana perbezaan aliran susu semasa menyusu.
Tapi ibu ingatlah, proses bercerai susu ini akan menduga kesabaran anda, dan ia mungkin tidak akan berjaya dalam sekelip mata. Jika anda mempunyai pertanyaan dan kebimbangan, dapatkan rundingan dari pakar kanak-kanak.
[embed-health-tool-baby-poop-tool]