backup og meta

Doktor Kongsi Tips Lahirkan Anak Kembar 3 Secara Normal, Pertama Di Johor!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 24/05/2022

    Doktor Kongsi Tips Lahirkan Anak Kembar 3 Secara Normal, Pertama Di Johor!

    Bukan satu atau dua, tapi tiga! Orang kata melahirkan bayi kembar selalunya akan melalui kelahiran czer, namun tidak pada doktor ini! Ibu anak kembar 3 ini berkongsi pengalaman dalam aspek penjagaan, tumbesaran dan tips anak kembar. Jom terus baca artikel untuk ikuti perkongsian dari perspektif beliau.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Kelahiran normal kembar tiga pertama di Johor!

    Dr Siti Nurul Aishah Jamaludin, 36 dan pasangan Mohamad Iqbal Idris, 47 tidak pernah sangka untuk dikurniakan tiga anak kembar lelaki, namun takdir telah pun tertulis.

    Tiga bayi lelaki pasangan ini telah diberi nama Thoreeq Idris, Mateen Idris dan Hakeem Idris. Mereka lahir dengan berat 1.9 kg, 2.2 kg dan 2.6 kg pada tanggal 6 Julai 2020.

    Merupakan kelahiran normal kembar tiga pertama di Johor, Dr Siti Nurul Aishah berkata bahawa ia adalah hasil rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) yang berjaya.

    tips anak kembar
    Tiga anak kembar Dr Siti Nurul Aishah; Thoreeq Idris, Mateen Idris dan Hakeem Idris yang kini berusia 20 bulan.

    Memulakan rawatan bayi tabung uji pada tahun 2019, mereka berhasil menimang cahaya mata setahun selepas itu. Dan ia bukannya satu atau dua, tapi tiga anak kembar.

    Ini rangkuman perkongsian Dr Siti Nurul Aishah tentang tips anak kembar, cabaran dan kisah membesarkan triplets.

    Cubaan untuk hamil selama hampir dua tahun

    Pernah melalui episod keguguran, Dr Siti Nurul Aishah dan suami sudah berusaha selama dua tahun untuk cuba hamil secara semula jadi sebelum menjalani IVF.

    Sedar akan tahap kesuburan wanita yang bakal merosot apabila masuk usia 35 tahun, beliau dan suami akhirnya sepakat untuk cuba rawatan kesuburan IVF.

    “Semua berjalan dengan baik dan pada Januari 2020, doktor memaklumkan bahawa saya hamil kembar dua sekali gus menandakan ada impak positif daripada IVF. Namun selepas imbasan kehamilan yang kedua, doktor memberitahu bahawa saya sebenarnya hamil anak kembar tiga!”, jelas beliau lagi.

    Ini membuktikan bahawa rawatan bayi tabung uji itu memang alternatif yang efektif. Dipercayai bahawa 32% wanita di bawah umur 35 berjaya untuk hamil hasil kaedah ini.

    Menurutnya lagi, tidak salah untuk pasangan yang sukar hamil cuba menjalani IVF meskipun akan makan banyak wang, masa dan tenaga. Pengorbanan itu wajar dibuat.

    Tips anak kembar, ini cabaran hamil di era pandemik

    Pada penghujung tahun 2019, seantero dunia telah dilanda wabak COVID-19 dan negara kita tidak terkecuali. Ini telah memberikan kesan yang besar kepada Dr Siti Nurul Aishah.

    tips anak kembar

    “Keadaan pada ketika itu juga agak sukar angkara pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dengan situasi di mana sedang sarat hamil tiga bayi, saya sukar untuk berjalan dan bergerak sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda,” katanya mengingat kembali fasa kehamilan.

    Ditambah pula dengan keadaan perut yang sangat besar serta terpaksa berjauhan daripada ahli keluarga, beliau tidak pernah patah semangat untuk meneruskan hasil usaha itu.

    Maklum bahawa kehamilan kembar lebih daripada dua biasanya akan dilahirkan secara pembedahan, beliau telah berjaya membuktikan bahawa kelahiran normal itu tidak mustahil.

    Perkongsian kisah dan tips anak kembar

    Selepas bayi lelaki kembar tiga mereka lahir dan sudah hampir masuk usia 2 tahun kini, tidak kurang banyak ragam dan cerita yang sempat dikongsikan oleh doktor ini.

    Hello Doktor: Adakah penjagaan dan proses membesarkan anak kembar tiga ini sukar?

    Dr Siti Nurul Aishah: Jujurnya, ya memang sukar namun menyeronokkan. Bayangkan ‘huru-hara’ yang akan dibuat oleh seorang anak kecil anda itu, didarab pula dengan tiga!

    Hello Doktor: Ada ke perbezaan yang ketara di antara tiga anak kembar doktor ini?

    Dr Siti Nurul Aishah: Ya, ada. Dari aspek fizikal, Thoreeq adalah yang paling tinggi serta diikuti dengan Mateen dan Haqeem walaupun mereka lahir pada jeda 3 ke 4 minit sahaja dahulu.

    Hello Doktor: Mengenai tips anak kembar, boleh Dr kongsikan siapa di antara mereka yang mula meniarap dan merangkak terlebih dahulu?

    Dr Siti Nurul Aishah: Apa yang agak menarik, Thoreeq adalah yang terakhir boleh meniarap dan merangkak walaupun dia yang ‘sulung’ antara 3 kembar ini. Mungkin dalam hal ini, adiknya Mateen dan Haqeem itu jauh lebih advanced.

    tips anak kembar

    Hello Doktor: Bagaimana doktor lihat persaudaraan di antara Thoreeq, Mateen dan Haqeem?

    Dr Siti Nurul Aishah: Anak kembar tiga saya ini sangat rapat. Bahkan, ketika tidur pun mereka perlu berada di tempat yang sama bersentuhan di antara satu sama lain. Itu adalah tanda mereka tidak mahu atau boleh dipisahkan.

    Pesanan dan tips anak kembar untuk ibu bapa di luar sana

    Antara tips anak kembar yang doktor ini telah kongsikan adalah jangan sesekali pisahkan mereka. Mereka telah lahir bersama, jadi berpisah itu bukan jalan yang terbaik.

    Jika kurang masa dan tenaga akibat faktor belajar, bekerja atau lain-lain, boleh upah pembantu di rumah untuk menguruskan hal lain yang tidak berkaitan dengan anak.

    Apa yang paling penting dalam membesarkan anak kembar adalah jangan putus asa. Anda juga tidak keseorangan kerana ada insan seperti suami, ahli keluarga dan sahabat handai.

    “Kehidupan anda akan berubah, namun jangan lihat perubahan ini sebagai satu beban atau mudarat. Sebaliknya, anggaplah ia satu tugas atau ibadah yang diberikan oleh Ilahi,” pesanan akhir daripada Dr Siti Nurul Aishah.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 24/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan