Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
Ibu Ada Pengalaman Mengandung Uri Di Bawah? Ini Apa Anda Kena Tahu!
Bagi ibu yang sedang atau bakal hamil, pernahkah anda mendengar berkenaan pengalaman mengandung uri dibawah? Apa maksud kehamilan dengan keadaan uri bawah ini?
Adakah ia sesuatu yang kerap berlaku dan berbahaya kepada ibu hamil? Ini yang setiap ibu mengandung kena ambil maklum.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kehamilan, anda boleh klik di sini.
Pengalaman mengandung uri dibawah atau disebut sebagai placenta previa
Plasenta atau uri ialah satu struktur yang berkembang di dalam rahim anda semasa kehamilan berlangsung.
Uri berfungsi membekalkan oksigen dan nutrisi kepada bayi selain mengeluarkan bahan buangan daripada bayi anda.
Dalam kebanyakan kehamilan, plasenta akan melekat pada bahagian atas atau sisi rahim.
Pengalaman mengandung uri dibawah pula berlaku apabila uri bayi menutup sebahagian atau keseluruhan serviks ibu. Serviks merupakan saluran keluar untuk rahim.
Keadaan uri bawah ini boleh menyebabkan pendarahan teruk semasa mengandung dan juga bersalin.
Jika anda mempunyai pengalaman mengandung uri dibawah, anda mungkin akan mengalami pendarahan sepanjang kehamilan dan juga semasa bersalin.
Doktor juga mungkin akan menasihatkan anda untuk tidak melakukan aktiviti yang boleh meningkatkan risiko pendarahan, seperti berlari, mencangkung dan melompat.
Anda mungkin perlu bersalin secara Czer untuk melahirkan bayi jika plasenta previa anda tidak sembuh.
Simptom keadaan uri bawah
Antara tanda atau simptom jika anda melalui pengalaman mengandung uri dibawah ialah pendarahan faraj berwarna merah terang tanpa rasa sakit ketika separuh kedua kehamilan.
Melahirkan bayi pramatang disebabkan pendarahan yang teruk
Mengalami kejutan disebabkan kehilangan darah
Janin bermasalah disebabkan kekurangan oksigen
Menyebabkan risiko kesihatan jika bayi dilahirkan pramatang
Menjalani pembedahan Czer kecemasan bagi menyelamatkan bayi dalam kandungan
Kematian
Diagnosis masalah uri bawah
Prosedur ultrabunyi untuk memeriksa lokasi uri.
Masalah previa plasenta ini boleh dikesan atau didiagnosis melalui ultrasound.
Kebanyakan kes previa plasenta didiagnosis semasa ujian ultrasound pada trimester kedua.
Diagnosis mungkin memerlukan gabungan ultrasound abdomen dan ultrasound transvagina.
Ia akan dilaksanakan dengan menggunakan sejenis alat atau peranti berbentuk seperti tongkat yang diletakkan di dalam faraj anda.
Doktor yang merawat akan menjaga kedudukan alat ini dalam faraj anda agar ia tidak mengganggu uri atau menyebabkan pendarahan.
Doktor akan mengelakkan pemeriksaan faraj rutin untuk mengurangkan risiko pendarahan yang banyak.
Anda juga mungkin memerlukan ultrasound tambahan untuk memeriksa lokasi uri anda semasa kehamilan.
Ini bertujuan untuk melihat sama ada keadaan uri bawah itu sudah kembali normal atau tidak.
Rawatan bagi mereka yang melalui pengalaman mengandung uri dibawah
Tidak terdapat rawatan atau pembedahan khusus bagi menyembuhkan masalah ini.
Namun, terdapat beberapa kaedah yang digunakan oleh doktor bagi mengawal pendarahan akibat previa plasenta ini.
#1. Bagi pendarahan yang sedikit
Doktor mungkin mengesyorkan anda untuk banyakkan berehat.
Selain itu, anda juga dinasihatkan untuk mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan pendarahan, seperti aktiviti seks dan senaman.
Bersedia untuk mendapatkan rawatan perubatan kecemasan jika anda mula berdarah. Anda perlu pergi ke hospital dengan segera jika pendarahan tersebut berterusan atau bertambah teruk.
#2. Bagi pendarahan yang banyak
Pendarahan yang banyak memerlukan bantuan perubatan kecemasan dengan segera dan mungkin memerlukan pemindahan darah.
Doktor berkemungkinan akan merancang pembedahan Czer jika bayi boleh dilahirkan dengan selamat, seeloknya selepas 36 minggu kehamilan.
Walau bagaimanapun, anda mungkin perlu bersalin lebih awal jika pendarahan berat berterusan atau jika anda mengalami beberapa episod pendarahan.
#3. Bagi pendarahan yang tidak berhenti
Jika pendarahan yang dialami tidak terkawal atau janin mengalami masalah, maka anda perlu menjalani pembedahan Czer kecemasan walaupun terpaksa melahirkan bayi pramatang.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Placenta previa. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/placenta-previa/symptoms-causes/syc-20352768. Accessed on February 15, 2022.
Placenta previa. https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/healthyliving/placenta-previa#possible-complications. Accessed on February 15, 2022.
Placenta Previa. https://americanpregnancy.org/healthy-pregnancy/pregnancy-complications/placenta-previa/. Accessed on February 15, 2022.
Placenta previa. https://medlineplus.gov/ency/article/000900.htm. Accessed on February 15, 2022.
Placenta Previa. https://www.marchofdimes.org/complications/placenta-previa.aspx. Accessed on February 15, 2022.
Versi Terbaru
09/01/2025
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman