backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Suara Sengau Bukan Penghalang Untuk Berjaya! Tapi, Apa Penyebab & Rawatan Masalah Ini?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 12/07/2022

    Suara Sengau Bukan Penghalang Untuk Berjaya! Tapi, Apa Penyebab & Rawatan Masalah Ini?

    Suara yang sengau pasti akan membuat kalian berasa malu atau takut untuk bersuara dan bernyanyi di khalayak ramai bukan?

    Sebenarnya, ia bukanlah satu penghalang untuk anda berjaya kerana kondisi ini bukannya satu kecacatan namun kelainan yang unik!

    Persoalannya, apa penyebab dan rawatan kepada suara sengau ini? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut!

    Suara, penting untuk komunikasi

    Sama seperti cap jari, setiap individu di muka bumi ini pasti akan mempunyai suara yang berbeza di antara satu sama lain.

    Untuk pengetahuan anda, suara dihasilkan apabila udara dari paru-paru menggetarkan pita suara lantas mengeluarkan bunyi daripada mulut.

    Apabila bercakap atau bernyanyi, lelangit akan terangkat lantas mencipta ruang untuk udara melepasinya bagi mengeluarkan bunyi atau suara.

    Suara ini adalah sangat penting untuk manusia berkomunikasi di antara satu sama lain. Namun bagaimana jika ia kedengaran agak pelik seperti sengau?

    pita suara manusia

    Apa maksud suara sengau?

    Suara sengau adalah satu bunyi yang boleh dikatakan agak nyaring dan bingit ekoran nadanya yang mungkin lebih tinggi berbanding suara biasa.

    Suara sebegini dikaitkan dengan pengeluaran udara daripada rongga hidung dan bukannya rongga mulut seperti mana keadaan yang normal.

    Terdapat 2 kategori suara sebegini iaitu:

    • Hyponasal – Berlaku disebabkan oleh terlalu sedikit udara yang melalui rongga hidung ketika bercakap atau bernyanyi. Akibatnya, bunyi yang terhasil akan kurang bergema
    • Hypernasal – Berlaku disebabkan oleh terlalu banyak udara yang melalui rongga hidung ketika bercakap atau bernyanyi. Akibatnya, bunyi yang terhasil akan lebih bergema

    Sebenarnya, kedua-dua jenis suara ini adalah suara yang akan kedengaran sengau cuma tahap keterukannya sahaja yang berbeza.

    Jika anda berasakan bahawa suara kalian kedengaran agak sengau atau pelik, segera berjumpa doktor untuk berkonsultasi dengannya.

    Apa punca suara sengau?

    Terdapat beberapa faktor yang akan mengawal kualiti suara atau bunyi yang terhasil daripada pita suara anda termasuklah saiz dan bentuk mulut, hidung atau tekak.

    Selain itu, ia juga mungkin diakibatkan oleh mukus yang menyekat aliran udara seperti hingus dalam hidung atau kahak dalam tekak akibat jangkitan atau alahan.

    Buat mereka yang dikategorikan sebagai hyponasal, berikut mungkin penyebabnya:

    • Tonsil
    • Adenoid
    • Polip
    • Kelainan septum

    Untuk mereka yang dikategorikan sebagai hypernasal, ini mungkin pencetusnya:

    • Pembedahan adenoid
    • Bibir sumbing
    • Lelangit rendah
    • Sindrom DiGeorge
    • Kecederaan otak
    • Penyakit neurologi
    • Kesalahan dalam pembelajaran semasa zaman kanak-kanak

    Tidak kira anda menghidapi jenis yang mana satu, kedua-duanya akan mengakibatkan suara kalian kedengaran sengau dan pelik.

    Jadi adalah wajar untuk kalian mendapatkan khidmat doktor untuk rawatan susulan secepat mungkin bagi memperbaikinya segera.

    Apa rawatan yang boleh dibuat?

    Selepas berjumpa dengan doktor pakar, mereka berkemungkinan akan mencadangkan agar penderita melakukan perkara berikut:

    hidung gatal sengau

    #1. Ubatan

    Ubatan seperti decongestants, antihistamin, antibiotik dan spray steroid nasal mungkin boleh membantu melegakan kebengkakan atau kesumbatan yang berlaku dalam rongga hidung.

    Kondisi yang berlaku akibat jangkitan dan alahan ini mungkin adalah antara punca suara menjadi sengau, dan mengambil ubatan berikut adalah jalan terbaik untuk merawatnya.

    #2. Pembedahan

    Kadangkala, suara yang sengau adalah bersifat kekal dan disebabkan oleh kelainan pada rongga hidung atau mulut individu itu sejak lahir.

    Maka kaedah pembedahan untuk memperbaiki struktur rongga oral adalah jalan yang terbaik. Berikut adalah antara pembedahan yang boleh dilakukan:

    • Membuang tonsil
    • Membuang adenoid
    • Membuang polip
    • Membaiki septum
    • Memanjangkan lelangit rendah
    • Menjahit bibir sumbing

    #2. Terapi

    Anda sebenarnya boleh melakukan terapi ini sebelum atau selepas kalian menjalani pembedahan (jika perlu).

    Pakar terapi akan mencadangkan kaedah yang terbaik buat anda belajar bagaimana untuk menggerakkan bibir, lidah dan rahang agar suara tidak lagi kedengaran sengau.

    Dalam pada itu, anda juga mungkin akan ditemukan dengan pakar kaunseling bagi mencipta dan memberi keyakinan di dalam diri untuk berani tampil berkomunikasi.

    Ia bukan alasan untuk tidak berjaya

    Ya, suara sengau bukan alasan untuk tidak berjaya di dalam kehidupan seharian kita asalkan mempunyai keyakinan dan kegigihan yang kuat.

    Di Malaysia, ada seorang penyanyi bernama Azmira Arif yang agak popular dan telah membuka kelas vokal bagi mereka yang minat menyanyi.

    Apa yang mengejutkan mengenai penyanyi ini adalah beliau memiliki suara yang sengau!

    Ini merupakan salah satu contoh individu yang berjaya dalam kehidupan mereka walaupun mempunyai sedikit kelainan dalam diri.

    Seharusnya, kisah sebegini dijadikan sebagai satu tauladan yang baik kerana tidak ada yang perlu dimalukan atau ditakuti jika suara kalian berbeza.

    Cuba tanamkan di dalam diri bahawa ia adalah satu kelainan dan bukannya kecacatan. Nescaya, kalian akan berjaya dalam hidup kelak!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 12/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan