backup og meta

Ada 7 Cara Nak Atasi Kalau Hidung Asyik Rasa Gatal, Minum Air Kosong Tip Paling Mudah!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 21/09/2023

    Ada 7 Cara Nak Atasi Kalau Hidung Asyik Rasa Gatal, Minum Air Kosong Tip Paling Mudah!

    Anda kerap rasa hidung gatal? Tak pasti apa sebenarnya punca di sebalik kegatalan yang anda alami? Adakah ia reaksi alergi ataupun bukan?

    Untuk pengetahuan anda, ada banyak perkara yang boleh buatkan anda rasa hidung gatal. Kadangkala, kegatalan tersebut boleh disebabkan oleh penyakit, alergi, atau kulit kering.

    Hidung merupakan laluan utama yang akan dilalui oleh alergen sebelum ia masuk ke dalam saluran pernafasan. Selepas itu, udara yang anda hidu akan ditapis oleh bulu-bulu kecil di dalam hidung yang bertindak memerangkap sebarang debu, kotoran atau debunga.

    Semua ini adalah alergen yang boleh dijumpai di sekeliling kita. Kekotoran yang sama juga boleh menyebabkan hidung anda menjadi gatal.

    Selain itu, hidung yang terlalu kering juga boleh menyebabkan anda rasa gatal! Bahagian dalam hidung kita dilapisi oleh mukus yang boleh mengering jika cuaca terlalu panas atau ketika anda jatuh sakit.

    Tetapi, apa sebab sebenar yang membuatkan anda hidung gatal? Jom ikuti penjelasan kami di bawah untuk tahu lebih lanjut mengenai kondisi ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Alahan, sila dapatkannya di sini.

    Mengapa hidung gatal?

    hidung gatal

    Hidung anda boleh jadi gatal disebabkan banyak perkara. Untuk pengetahuan anda, kondisi ini mempunyai namanya yang tersendiri iaitu alergi rhinitis.

    Alergi rhinitis berlaku apabila anda menghidu sesuatu yang akan membuatkan anda diserang alergi. Contohnya, anda mungkin akan terkena reaksi alergi hidung gatal apabila anda terdedah dengan debu, bulu binatang ataupun debunga.

    Kadangkala, makanan juga boleh membuatkan anda diserang alergi rhinitis.

    Jika anda sering gatal hidung, mungkin anda sebenarnya telah terhidu sesuatu yang telah memicu reaksi alergi anda. Antara penyebab gatal hidung ialah:

    • Debunga – Pokok, rumput dan kulat merupakan penyumbang utama pollen atau debunga di sekeliling kita. Debunga boleh menyebabkan reaksi alergi dan ia sukar untuk dielakkan kerana terampai dengan bebas di dalam udara yang kita hidu
    • Haiwan peliharaan – Alergen juga boleh berasal daripada bulu haiwan peliharaan anda. Selalunya, individu yang alergi terhadap binatang peliharaan tidak akan membela sebarang binatang
    • Debu di kawasan rumah – Debu mengandungi banyak alergen yang tidak nampak dek mata kasar. Jika anda tinggal di tempat yang lembap, besar kemungkinan untuk rumah anda turut menjadi tempat pembiakan kulat. Untuk pengetahuan anda, debu dan kulat di kawasan rumah boleh membuatkan anda menghidap reaksi alergi sepanjang tahun. Penyakit ini turut dikenali dengan nama perennial allergic rhinitis
    • Bahan lain – Asap rokok, bau yang kuat daripada minyak wangi, bau bahan pencuci ataupun bau penyegar rumah juga boleh menyebabkan hidung anda gatal-gatal

    Bagaimana untuk hilangkan rasa hidung gatal?

    hidung gatal

    Gatal pada kawasan hidung boleh menyebabkan anda rasa tidak selesa. Jika anda alami kegatalan dalam satu tempoh masa yang panjang, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin.

    Namun, jika anda ingin lakukan sesuatu di rumah, anda boleh cuba tip yang kami berikan di bawah:

  • Jika anda alami alergi, pastikan anda tidak berada dekat dengan punca alergi anda. Jauhkan diri anda sebelum alergi anda jadi semakin teruk.
  • Makan ubat alergi yang boleh dibeli secara OTC (over the counter). Ada banyak pil dan juga alat penyembur yang boleh dibeli tanpa sebarang preskripsi.
  • Jika doktor membenarkan, anda boleh ambil ubat demam yang boleh dibeli di farmasi yang berdekatan untuk melegakan hidung tersumbat. Mungkin ubat tersebut boleh melegakan kegatalan yang anda alami.
  • Jangan hembus hidung anda terlalu kerap. Dinding dalam hidung anda boleh terluka dan gatal jika anda selalu menghembus hidung.
  • Jangan sesekali cuba garu gatal dalam hidung anda menggunakan Q-tip.
  • Gunakan pelembap udara untuk bantu anda bernafas dengan lebih baik.
  • Minum banyak air untuk pastikan anda sentiasa hidrat. Badan yang hidrat lebih kuat dalam menentang jangkitan kuman atau virus.
  • Kesimpulan

    hidung gatal

    Hidung gatal selalunya bukanlah satu masalah yang serius. Malah, kegatalan tersebut selalunya akan hilang dengan sendirinya.

    Namun, jika kegatalan yang anda rasa itu berlangsung dalam satu jangka masa yang panjang, anda mungkin perlu berjumpa doktor dalam kadar segera.

    Tambah lagi jika yang mengalami reaksi alergi tersebut merupakan seorang kanak-kanak. Selalunya, kanak-kanak sukar untuk menjelaskan simptom yang mereka alami kepada ibu bapa.

    Namun, jika anak anda mengalami mood swing dan sentiasa muram, mungkin anda perlu bawa anak anda berjumpa doktor secepat mungkin. Lebih-lebih lagi jika semua ubat yang anda berikan kepada si kecil tidak mendatangkan apa-apa kesan.

    Jika anda mempunyai alergi terhadap debunga, pastikan anda kekal berada di dalam rumah apabila angin bertiup dengan kuat.

    Selain itu, jika simptom yang anda alami tidak berkurangan walaupun selepas melakukan tip yang kami berikan di atas, pastikan anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 21/09/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan