Apakah itu barah ovari?
Kanser atau barah ovari berpunca daripada ovari. Kebanyakan masa, ia tidak didiagnosis sehingga sel-sel kanser telah merebak ke pelvis dan abdomen, yang menjadikannya sukar untuk dirawat, bahkan boleh membawa maut.
Simptom barah ovari termasuk ovari bengkak?
Sebenarnya, pada peringkat awal, kanser ovari sangat jarang menunjukkan sebarang simptom. Malahan, ovari bengkak juga bukanlah petanda anda terkena barah ovari.
Sekiranya ia menimbulkan simptom-simptom, ia biasanya disalah erti sebagai tanda keadaan tidak berbahaya seperti sembelit. Jadi, jangan salah sangka ovari bengkak petanda anda dapat kanser.
Simptom biasa bagi barah ovari termasuk:
- Kembung perut
- Bengkak pada kawasan abdomen
- Cepat kenyang
- Kurang berat badan
- Ketidakselesaan pelvis
- Masalah dengan pergerakan usus
- Kekerapan kencing
Sekiranya anda mengalami sebarang simptom yang membuatkan anda bimbang, segera pergi berjumpa doktor anda, terutamanya jika anda mempunyai sejarah keluarga yang menghidap barah ovari dan kanser payudara.
Bagaimana untuk mendiagnosis kanser ini?
Anda perlu melakukan pemeriksaan fizikal di mana doktor akan memeriksa kawasan pelvik anda. Doktor anda juga perlukan ujian pengimejan, ujian darah mahupun biopsi untuk diagnosis yang tepat.
Pilihan rawatan untuk penyakit ini
Bergantung pada peringkat barah ovari anda ketika didiagnosis, pilihan rawatan anda mungkin berbeza-beza.
Terdapat 4 peringkat barah ovari:
- Peringkat 1: Kanser terhad pada 2 ovari
- Peringkat 2: Sel kanser telah merebak ke kawasan pelvik lain
- Peringkat 3: Sel kanser telah merebak ke kawasan abdomen
- Peringkat 4: Sel kanser telah merebak ke luar kawasan pelvik dan abdomen
Pilihan rawatan termasuk pembedahan dan kemoterapi
- Pembedahan melibatkan penyingkiran kedua-dua ovari, tiub falopian, uterus dan mana-mana kawasan sekitar yang terdapat sel kanser. Sekiranya anda didiagnosis kanser pada peringkat awal, anda mungkin perlu membuang sahaja ovari dan tiub falopian yang terjejas. Jangan risau, anda masih mampu mendapat anak selepas itu
- Kemoterapi diperlukan selepas pembedahan bagi membuang sebarang lebihan sel kanser. Ubatan kemoterapi boleh diberikan melalui intravena atau secara terus ke dalam ruang abdomen atau keduanya. Wanita yang menghidap kanser ovari lanjutan memerlukan kemoterapi sebagai rawatan permulaan
Menghadapi kanser ovari
Didiagnosis dengan kanser ovari mungkin salah satu pengalaman paling dahsyat dalam hidup anda. Jadi, penting untuk anda mencari seseorang yang anda percayai untuk membicarakan tentangnya.
Sekiranya anda tidak selesa berkongsi dengan keluarga atau rakan anda, cari kumpulan sokongan di mana anda boleh bertemu dan berbincang dengan orang yang memahami apa yang sedang anda hadapi.
Melawan kanser sangat meletihkan. Anda perlu membiarkan orang lain membantu anda dengan apa cara yang mereka boleh.
Di samping itu, ia membantu untuk memastikan matlamat anda realistik supaya anda tidak hanyut.
Akhir sekali, cuba yang terbaik untuk berpegang kepada diet yang sihat, dan dapatkan rehat yang cukup untuk menguruskan tekanan serta keletihan yang datang dengan rawatan kanser.