Kanser usus (kanser kolorektal) merupakan kanser ketiga lazim didiagnosis dalam kalangan lelaki dan wanita di seluruh dunia.
Pada tahun 2018, jumlah kes baharu yang didiagnosis adalah pada sekitar 1.8 juta, membuatkan ia merangkumi 10.6% daripada keseluruhan kes kanser di seluruh dunia.
Kanser usus perut kebanyakannya didiagnosis dalam kalangan mereka yang berusia lanjut, namun sejak kebelakangan ini, pesakit daripada golongan berusia muda semakin meningkat.
Jika dilihat pada statistik, walaupun peratusan insiden (jumlah kes baharu) berkurangan sebanyak 3.6% dalam kalangan mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas, namun jumlah mereka yang didiagnosis dalam kalangan individu berusia 55 tahun ke bawah meningkat sebanyak 2% setiap tahun.
Keadaan ini membuatkan kanser kolorektal antara kanser yang berbahaya di seluruh dunia berikutan peningkatan tersebut dan mereka yang menghidapnya pada peringkat awal tidak menunjukkan sebarang simptom.
Artikel ini akan membincangkan prognosis (potensi kesembuhan) dan kadar kelangsungan hidup bagi penghidap sakit usus perut (kanser).
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.
Apa yang dimaksudkan dengan kadar kelangsungan hidup 5 tahun bagi penghidap kanser usus?
Seringkali kita mendengar istilah kadar kelangsungan hidup 5 tahun bagi pesakit kanser yang disusuli dengan nilai peratusan.
Namun tahukah anda, apakah yang cuba disampaikan oleh nilai peratusan tersebut?
Kadar kelangsungan adalah satu nilai yang relatif. Ia boleh berubah mengikut faktor berdasarkan kepada apa yang dijumpai semasa pemeriksaan klinikal atau sepanjang anda menjalani rawatan kanser usus perut.
Secara umumnya, apabila anda dikatakan mempunyai peratusan tertentu sebagai nilai kadar kelangsungan hidup 5 tahun, ia bermakna peratusan anda untuk hidup adalah berdasarkan kepada populasi yang menghidap kanser tersebut.
Sebagai contoh, bagi kanser kolorektal, kadar kelangsungan hidup 5 tahun bagi masalah ini adalah sekitar 80%.
Ini bermakna, jika anda didiagnosis dengan kanser kolorektal, anda mempunyai peluang sekitar 80% untuk hidup sekurang-kurangnya 5 tahun selepas didiagnosis.
Namun, itu hanyalah contoh umum. Setiap kanser mempunyai peringkat yang berbeza dan setiap peringkat mempunyai kadar kelangsungan hidup yang berlainan.
Bagaimana peratusan tersebut ditentukan?
Statistik kelangsungan hidup bagi pesakit kanser usus perut dibuat berdasarkan kepada pemerhatian terhadap kes semasa yang direkodkan di dalam pangkalan data seperti SEER (Survaillance, Epidemiology and End Results).
SEER adalah pangkalan data bagi pesakit kanser di Amerika dan ia diuruskan oleh Institut Kanser negara tersebut.
Berdasarkan kepada kes dan kajian semasa, ia akan mengemas kini data berkaitan dengan kadar kelangsungan hidup yang boleh digunakan oleh doktor untuk membuat prognosis (potensi kelangsungan hidup) kanser kolorektal.
Anda perlu faham, apabila ia berkait dengan nilai peratusan kelangsungan hidup, ia tidak membawa maksud perkara yang akan berlaku itu bersifat mutlak.
Terdapat 3 perkara yang anda perlu tahu jika doktor memaklumkan kadar kelangsungan hidup bagi pesakit kanser kolorektal untuk tempoh 5 tahun adalah 80%:
- Nilai tersebut hanya terpakai untuk mereka yang pertama kali didiagnosis. Ia tidak lagi terpakai bagi kes kanser yang semakin teruk atau mereka yang didiagnosis semula selepas mengalami remisi kanser.
- Nilai tersebut tidak mengambil kira faktor penting yang lain. Ia hanya dikelaskan dan direkodkan berdasarkan kepada sejauh mana kanser telah tersebar. Ia tidak mengambil kira faktor usia, tahap kesihatan keseluruhan, tindak balas terhadap rawatan dan faktor lain yang boleh mempengaruhi potensi kesembuhan kanser.
- Oleh sebab teknologi perubatan semakin maju dan pemahaman manusia terhadap sakit usus perut (kanser) semakin mendalam, jadi nilai kadar kelangsungan hidup 5 tahun berubah-ubah setiap masa.
Konklusi
Jika anda berasa sakit usus perut dan didiagnosis dengan masalah kanser kolorektal, usah bimbang akan kadar kelangsungan hidup yang dimaklumkan oleh doktor.
Prognosis anda boleh berubah mengikut kepada beberapa faktor yang telah penulis sebutkan di atas.
Malah, tahap keberkesanan rawatan meningkat bagi masalah kanser ini apabila kita semakin memahami proses patologi penyakit dengan lebih mendalam.
Jika anda mengalami sebarang simptom berkait dengan sakit usus perut, dapatkan pemeriksaan dan khidmat nasihat daripada doktor perubatan bertauliah.