brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Ingat Anjing Je Boleh Kena Rabies? Kucing Pun Tak Terkecuali!

Ramai orang menyangka rabies kucing jarang berlaku kerana penyakit ini sering dikaitkan dengan anjing. Malah, gambaran anjing agresif dengan mulut berbuih sudah lama mempengaruhi persepsi masyarakat tentang rabies.

Ingat Anjing Je Boleh Kena Rabies? Kucing Pun Tak Terkecuali!

Namun, tahukah anda bahawa kucing juga boleh dijangkiti virus rabies dan menyebarkannya kepada manusia? Di Malaysia, khususnya Sarawak, risiko jangkitan melalui kucing turut mendapat perhatian pihak berkuasa kesihatan.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Haiwan Peliharaan, sila dapatkannya di sini. 

Kenapa ramai sangka rabies hanya berkaitan anjing?

Persepsi ini terbentuk kerana kebanyakan kes rabies dalam kalangan manusia di seluruh dunia berpunca daripada anjing.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga 99% kes rabies manusia berkaitan dengan penularan virus daripada anjing.

Selain itu, gambaran anjing ganas dalam filem dan media menyebabkan ramai menganggap kucing kurang berisiko, sedangkan kedua-duanya boleh dijangkiti virus ini.

Fakta sebenar, kucing juga boleh dijangkiti

Rabies adalah penyakit berjangkit yang menyerang sistem saraf pusat mamalia, termasuk kucing, anjing dan manusia.

Rabies kucing boleh berlaku apabila haiwan ini digigit atau terdedah kepada air liur haiwan yang dijangkiti melalui luka terbuka atau membran mukus seperti mata dan mulut.

Haiwan peliharaan yang tidak menerima vaksin anti-rabies dan sering berkeliaran di luar rumah mungkin lebih terdedah kepada haiwan yang membawa virus tersebut.

Situasi rabies kucing di Malaysia

Di Sarawak, virus ini masih menjadi isu kesihatan awam yang memerlukan perhatian, bukan sahaja melibatkan anjing tetapi juga kucing.

Menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, sebanyak 59.41% daripada 12,359 kes gigitan haiwan yang direkodkan antara Januari hingga 16 Ogos 2025 melibatkan gigitan atau cakaran kucing.

Walau bagaimanapun, angka ini merujuk kepada laporan gigitan dan cakaran, bukannya jumlah kucing yang disahkan positif rabies.

Keadaan ini menunjukkan pentingnya kesedaran tentang risiko jangkitan daripada kedua-dua haiwan tersebut.

Kenapa kucing sering terlepas pandang?

Antara faktor yang menyebabkan risiko rabies pada kucing kurang diberi perhatian ialah:

  • Dianggap lebih selamat: Kucing jarang dikaitkan dengan rabies berbanding anjing.
  • Vaksinasi diabaikan: Sesetengah pemilik tidak menyedari kepentingan vaksin anti-rabies untuk kucing.
  • Bebas berkeliaran: Kucing yang keluar tanpa pengawasan berisiko bersentuhan dengan haiwan dijangkiti.
  • Kucing terbiar: Interaksi dengan kucing yang tidak diketahui status kesihatan atau vaksinasinya boleh meningkatkan risiko pendedahan.
rabies kucing
Vaksin antara langkah cegah rabies pada si comel.

Adakah simptom rabies pada kucing sama seperti anjing?

Secara umum, simptom rabies pada kucing hampir sama seperti anjing kerana kedua-duanya mengalami gangguan sistem saraf.

Antara tanda yang boleh diperhatikan termasuk:

  • Perubahan tingkah laku secara tiba-tiba.
  • Menjadi agresif, gelisah atau suka menyendiri.
  • Air liur berlebihan dan kesukaran menelan.
  • Kelemahan otot, sawan atau kelumpuhan.

Namun, tidak semua kucing yang dijangkiti menunjukkan tingkah laku agresif. Pemeriksaan veterinar diperlukan untuk menilai haiwan yang disyaki dijangkiti.

Adakah gigitan kucing bahaya kepada manusia?

Ya, terutamanya jika kucing tersebut dijangkiti rabies.

Bahaya rabies kucing pada manusia berlaku apabila virus daripada air liur haiwan dijangkiti memasuki badan melalui gigitan, cakaran yang tercemar atau luka terbuka.

Berapa lama gejala rabies muncul pada manusia? Tempoh inkubasi biasanya sekitar dua hingga tiga bulan, tetapi boleh berbeza daripada seminggu hingga setahun.

Oleh itu, jangan tunggu sehingga simptom muncul sebelum mendapatkan rawatan. Rabies hampir selalu membawa maut apabila simptom klinikal bermula.

Apa yang perlu dilakukan pemilik kucing?

Untuk mengurangkan risiko jangkitan:

  1. Pastikan kucing menerima vaksin anti-rabies mengikut jadual yang disyorkan doktor veterinar.
  2. Elakkan kucing berkeliaran bebas atau bersentuhan dengan haiwan yang tidak diketahui status kesihatannya.
  3. Basuh luka gigitan atau cakaran dengan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit.
  4. Dapatkan rawatan perubatan segera untuk penilaian risiko dan keperluan vaksin rabies selepas pendedahan.

Kesimpulan

Rabies kucing bukan sekadar kemungkinan, sebaliknya risiko sebenar yang tidak boleh dipandang ringan.

Walaupun virus ini lebih sinonim dengan anjing, kucing juga boleh dijangkiti dan menyebarkan virus kepada manusia.

Justeru, pastikan kucing peliharaan menerima vaksinasi yang disyorkan, elakkan ia berkeliaran bebas dan dapatkan rawatan segera sekiranya berlaku gigitan atau cakaran yang berisiko.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 5 hari lalu