brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Simptom Penyakit Rabies Pada Haiwan Anjing, Kucing & Lain-Lain! Ada 3 Peringkat?

Anda nampak si bulus yang comel kat tepi jalan dan ingin sentuh? Nanti dulu, jangan sembarang sentuh. Anda ada risiko dijangkiti rabies nanti! Simptom rabies yang tidak kelihatan secara kasar mungkin ada pada haiwan tersebut. 

Simptom Penyakit Rabies Pada Haiwan Anjing, Kucing & Lain-Lain! Ada 3 Peringkat?

Dengan kadar kematian hampir 100% pada manusia dan haiwan, rabies kekal sebagai ancaman global, membunuh kira-kira 59,000 orang setiap tahun. Anjing adalah punca utama penyakit ini. Oleh itu, kita perlu tanganinya dari sumber haiwannya.

Untuk baca lebih banyak informasi tentang Haiwan Peliharaan, anda boleh klik di sini.

Apakah itu penyakit anjing gila? Kenapa ia berbahaya?

Tahukah anda, rabies atau penyakit anjing gila ini disebabkan oleh jangkitan Lyssavirus yang menyerang sistem saraf pusat. Ia berjangkit melalui air liur haiwan yang dijangkiti, biasanya melalui gigitan, cakaran atau sentuhan langsung dengan mukosa contohnya melalui mata, mulut atau luka terbuka.

Rabies akan menjejaskan sistem saraf pusat, membawa kepada penyakit otak yang teruk dan kematian jika rawatan perubatan tidak diterima sebelum gejala bermula.

Jadi, jangan pandang rendah dengan gigitan daripada si bulus!

Tiga peringkat penyakit rabies pada haiwan peliharaan

Semua mamalia, termasuk anjing, kucing dan kelawar, haiwan yang terdedah kepada jangkitan virus rabies. Tetapi anjing adalah haiwan utama yang menjadi punca penyebaran penyakit anjing gila ini.

Berita baiknya, ikan, burung, reptilia dan amfibia tidak mendapaat rabies.

Berikut adalah aturan mudah untuk anda fahami peringkat rabies ini berlaku:

1. Peringkat prodromal 

Tanda paling awal dan sering diabaikan ialah perubahan tingkah laku mendadak berbanding kebiasaan. Si bulus yang biasanya mesra dan tenang tiba-tiba menjadi resah atau menyendiri. Atau haiwan peliharaan anda yang biasanya pemalu boleh menjadi lebih agresif atau berani mendekati manusia tanpa sebab.

2. Peringkat ganas (furious stage), antara simptom rabies

Peringkat ini merbahaya kerana haiwan menjadi sangat agresif dan berisiko tinggi menggigit atau mencederakan sesiapa di sekelilingnya:

simptom rabies
Air liur yang berlebihan antara simptom rabies.
  • Tingkah laku sangat teruja, gelisah dan cepat panik.
  • Menggigit tanpa provokasi, termasuk menggigit objek atau haiwan lain.
  • Air liur berlebihan (mulut berbuih) akibat kesukaran menelan.
  • Sawan atau kekejangan otot pada sesetengah kes.

3. Peringkat lumpuh (paralytic stage)

Peringkat lumpuh ialah peringkat akhir sebelum kematian haiwan tersebut:

  • Kelumpuhan berperingkat, sering bermula pada kawasan luka, rahang dan tekak.
  • Kesukaran bernafas dan menelan.
  • Haiwan jatuh koma dan mati, biasanya dalam masa 7 hingga 10 hari selepas tanda pertama muncul.
  • Sering di salah diagnosis sehingga menyumbang kepada kekurang data di peringkat ini.

Simptom rabies pada kucing, anjing dan haiwan lain

1. Anjing

Bahaya rabies pada anjing menunjukkan simptom yang jelas iaitu menggigit tanpa sebab, gonggongan atau lolongan yang berubah akibat kelumpuhan kotak suara, serta mata kelihatan liar atau tidak fokus.

Namun, ramai anjing turut mengalami yang sebaliknya iaitu menjadi lebih senyap, di mana ia kelihatan lesu dan mulut terkulai tanpa sifat agresif ketara.

2. Kucing

Antara simptom rabies pada kucing ialah perubahan personaliti dan air liur berlebihan. Kucing ada ciri unik seperti anak mata membesar (dilated pupils) yang kekal sepanjang hampir keseluruhan tempoh penyakit.

3. Haiwan peliharaan lain

Rabies jarang dilaporkan pada arnab, hamster, atau haiwan kecil lain kerana kebarangkalian mereka digigit haiwan liar pembawa rabies adalah rendah berbanding anjing dan kucing yang sering keluar rumah. Namun, sebarang haiwan mamalia peliharaan yang terdedah kepada gigitan haiwan liar tetap berisiko dan perlu diperiksa doktor veterinar.

Haiwan peliharaan di rumah juga terdedah bahaya rabies?

Ramai menyangka penyakit rabies hanya berjangkit haiwan liar, tetapi menerusi vaksinasi kepada haiwan peliharaan dapat membendung si bulus daripada menjangkiti virus rabies.

Anda perlu tahu bahawa vaksinasi anti-rabies untuk semua haiwan peliharaan adalah satu langkah pencegahan yang tidak boleh dipandang ringan, walaupun haiwan tersebut jarang dibawa keluar rumah.

Apa perlu buat jika digigit atau dicakar haiwan yang ada simptom rabies?

  1. Bersihkan gigitan atau calar dengan sabun dan air mengalir selama 15 minit.
  2. Dapatkan rawatan perubatan serta-merta untuk penilaian vaksin anti-rabies.
  3. Laporkan kejadian kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau pihak berkuasa tempatan.

Kesimpulan

Simptom rabies pada haiwan peliharaan bermula dengan perubahan personaliti mendadak, sebelum berkembang kepada tingkah laku ganas atau kelumpuhan yang membawa maut. Oleh itu, pastikan anda telah dapatkan vaksin kepada si bulus bagi mengelakkan perkara ini terjadi.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Norhanan Abdul Latip · Disemak pada 4 hari lalu