backup og meta

6 Panduan Asas Guna Alat Pemadam Api Dengan Betul, Amal Prinsip PASS!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/06/2022

    6 Panduan Asas Guna Alat Pemadam Api Dengan Betul, Amal Prinsip PASS!

    Relaks, jangan cepat panik bila ada kebakaran! Apa yang anda perlu buat adalah kekal tenang, hubungi talian kecemasan dengan segera, jauhkan diri dari tempat ia berlaku dan gunakan alat pemadam api jika anda tahu cara untuk menggunakannya.

    Mungkin masih ramai yang belum tahu cara atau jenis alat pemadam api yang wujud. Disebabkan itu pula, kami akan ajar anda asas untuk menggunakannya menerusi artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Habit Sihat , sila dapatkannya di sini.

    Apa perlu tahu tentang alat pemadam api?

    Untuk pengetahuan anda semua, ia adalah alat perlindungan kebakaran yang digunakan untuk mengawal atau memadam api yang kecil atau sederhana dalam situasi kecemasan.

    Maksudnya di sini ia hanya untuk situasi kecemasan sahaja dan tidak boleh digunakan apabila kebakaran sudah di luar kawalan; yakni akan membahayakan keselamatan individu.

    Tidak semua situasi membolehkan anda menggunakan alat ini, kena tahu perkara berikut dulu ya!

    alat pemadam api

    Pelbagai tahap atau tingkat kebakaran

    Sebelum pergi lebih lanjut, anda perlu tahu tentang tahap atau tingkat kebakaran yang berikut:

    • Kelas A – Api yang melibatkan bahan pejal mudah terbakar seperti kertas, kain atau kayu
    • Kelas B – Api yang melibatkan cecair mudah terbakar seperti petrol atau diesel
    • Kelas C – Api yang melibatkan gas mudah terbakar seperti ammonia atau hidrogen
    • Kelas D – Api yang melibatkan logam mudah terbakar seperti aluminum atau titanium
    • Kelas E – Api yang melibatkan arus elektrik seperti wayar, suis, fius atau litar
    • Kelas F – Api yang melibatkan barang dapur seperti minyak, gris dan lemak makanan

    Setiap kelas kebakaran di atas ini akan memerlukan panduan yang berbeza dalam usaha untuk mengawal atau memadam api. Ia sangat penting untuk keselamatan diri anda juga.

    Variasi jenis alat pemadam api yang wujud

    Usai faham tentang kelas kebakaran, anda juga perlu kenal dengan variasi jenis alat ini iaitu:

    • Jenis air – Digunakan untuk api kelas A
    • Jenis bahan kimia basah – Digunakan untuk api kelas A, B dan F
    • Jenis buih – Digunakan untuk api kelas A dan B
    • Jenis karbon dioksida (CO2) – Digunakan untuk api kelas B dan E
    • Jenis serbuk – Digunakan untuk api kelas A, B, C, D dan E
    • Jenis selimut – Digunakan untuk api kelas F

    Penggunaan jenis alat ini yang tidak sesuai dengan kelas kebakaran atau situasi mungkin boleh menyebabkan api itu lebih marak sekali gus membahayakan keselamatan diri anda dan orang lain.

    Ini dia asas untuk guna alat pemadam api!

    alat pemadam api

    Bayangkan situasi di mana jika berlaku kebakaran di rumah anda. Sila ikut langkah yang berikut:

    #1. Kenal pasti jalan keluar dari api

    Pertama, anda perlu tahu di mana laluan paling tepat untuk meloloskan diri dari tempat terjadinya kebakaran tersebut sama ada sebelum atau semasa menggunakan alat pemadam api.

    #2. Berdiri membelakangi jalan keluar

    Jika anda ingin guna alat ini, anda perlu berdiri di hadapan api membelakangi jalan keluar tadi. Pastikan jarak diri daripada api adalah sekitar 6 ke 8 kaki ketika percubaan anda itu.

    #3. Gunakan alat ini dengan prinsip betul

    Perkara paling penting, anda perlu berfikir dan bertindak dengan waras agar tidak membahayakan diri sendiri. Ketika menggunakannya, sentiasa sematkan dalam diri untuk amal prinsip PASS:

    • P: Pull – Tarik pin di atas kepala alat ini
    • A: Aim – Sasar nozel ke arah api paling dasar
    • S: Squeeze – Picit tuas untuk mengeluarkan kandungan daripada alat ini
    • S: Sweep – Geser nozel ke setiap penjuru api sehingga ia reda atau hilang

    #4. Jangan terlepas pandang daripada api

    Usai api itu mulai reda atau hilang, terus lihat pada api itu untuk memastikan ia tidak akan marak kembali. Jika ia masih lagi berulang, ulang lagi langkah sama dalam point nombor tiga di atas.

    alat pemadam api

    #5. Hubungi talian kecemasan

    Merupakan langkah awal yang patut anda buat jika tidak tahu cara guna alat ini, anda masih perlu buat tidak kira sama ada api sudah terkawal atau terpadam untuk lebih selamat.

    #6. Bergerak ke tempat yang selamat

    Apabila anda telah berjaya mengawal atau memadam api yang marak itu, bergerak ke tempat yang selamat dan sila tunggu sehingga pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian.

    Konklusinya, anda boleh amalkan 6 panduan di atas ini jika berlaku kebakaran kecil atau sederhana tidak kira di rumah atau di mana tempat anda berada. Namun, jangan pula bertindak sendirian jika api itu sudah marak kerana ia boleh membahayakan diri dan nyawa!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan