Apabila ramai anak kecil di rumah, almari baju kadangkala boleh menjadi amat bersepah disebabkan baju yang hanya disumbat tanpa dilipat terlebih dahulu. Ada kalanya, almari masih tetap berselerak walaupun baju sudah dilipat rapi kerana anak-anak mengambil pakaian tanpa berhati-hati. Ini kami kongsikan beberapa cara susun baju dalam almari agar kemas terletak dan rapi.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Habit Sihat, anda boleh klik di sini.
7 cara susun baju dalam almari
Ada kalanya baju yang telah siap dilipat akan kembali diselongkar oleh anak-anak saat mereka tidak menjumpai pakaian yang hendak dipakai.
Ini boleh membuatkan almari pakaian tetap bersepah walaupun telah berkali-kali dikemas dengan rapi.
Buat ibu-ibu di luar sana yang ingin tahu cara simpan pakaian dalam almari baju, anda boleh lihat tujuh tip yang kami kongsikan di sini.
#1. Asingkan pakaian mengikut pemilik
Perkara pertama yang perlu dilakukan sebelum meletakkan pakaian dalam almari baju adalah dengan menyusunnya mengikut pemilik pakaian.
Anda perlu mengasingkan pakaian dan meletakkannya setempat. Bakul boleh digunakan untuk memudahkan kerja-kerja pengasingan pakaian mengikut tuan empunyanya.
Jika tiada bakul, anda boleh melonggokkannya sahaja di atas lantai seperti biasa.
Cara susun baju dalam almari 2: Kumpulkan pakaian mengikut kegunaan
Setelah anda mengasingkan pakaian mengikut pemiliknya, anda boleh melakukan langkah yang seterusnya iaitu dengan mengasingkannya mengikut kegunaan.
Sebagai contoh, untuk pakaian anak anda, anda boleh mengasingkannya mengikut kategori dan jenis pakaian seperti pakaian sekolah, pakaian dalam, pakaian sukan, pakaian kokurikulum dan pakaian tidur.
Untuk suami anda pula, anda boleh mengasingkan pakaiannya mengikut jenis seperti pakaian kerja, pakaian harian, pakaian tidur dan pakaian berkebun.
Kaedah mengasingkan pakaian mengikut kegunaan ini boleh menjimatkan waktu untuk mencari pakaian dalam almari baju.
Selain itu, ia juga boleh mengelakkan pakaian dalam almari menjadi bersepah.
#3. Asingkan pakaian yang ingin dilipat dan digantung
Ada jenis pakaian yang lebih sesuai dilipat, dan ada juga yang lebih baik digantung sahaja.
Antara jenis pakaian yang sesuai digantung sahaja ialah seperti kemeja, skirt, kain tudung, jubah, dan baju kurung.
Untuk pakaian yang sesuai dilipat pula ialah seperti t-shirt, pakaian dalam, baju tidur, baju harian, stoking dan baju sukan.
Apabila anda melipat dan menggantung pakaian, ia menjadikan almari anda lebih kemas dan teratur.
Cara susun baju dalam almari 4: Letakkan laci tambahan dalam almari
Antara cara untuk memaksimumkan penggunaan ruang dalam almari adalah dengan meletakkan laci atau kotak tambahan.
Jika almari pakaian anda bersaiz besar, penggunaan kotak-kotak atau laci boleh membantu menjimatkan ruang menyimpan pakaian dan menjadikan pakaian lebih kemas.
Kebiasaannya, kotak dan laci kecil boleh digunakan untuk menyimpan pakaian yang bersaiz kecil seperti pakaian dalam, t-shirt dan stoking.
#5. Letakkan label pada kotak
Untuk memudahkan anda mengenal pasti susunan pakaian dalam almari, anda boleh melabelkan kotak dan laci anda.
Labelkannya mengikut jenis pakaian agar lebih mudah untuk anda mencari pakaian selain lebih menjimatkan masa.
Tambahan lagi, anda tidak akan mengusik susunan pakaian lain yang telah disimpan dengan baik dalam almari baju.
Cara susun baju dalam almari 6: Gunakan penyangkut tudung khas
Kain tudung boleh menjadi agak tricky untuk disimpan dalam almari disebabkan bentuk dan materialnya.
Jika tudung tersebut diperbuat daripada kain satin, ia mudah terjatuh sekiranya digantung pada penyangkut pakaian.
Oleh itu, kami cadangkan anda untuk menggunakan penyangkut khas tudung yang bukan sahaja boleh menyimpan tudung dengan rapi, tetapi juga mengelakkan tudung menjadi berkedut atau berkeronyok.
Barulah tudung sentiasa ‘on-point’ apabila dipakai nanti.
#7. Susun pakaian mengikut keperluan
Ada sesetengah pakaian yang mungkin agak jarang dipakai seperti pakaian yang hanya dipakai untuk majlis tertentu.
Bagi pakaian seperti ini, susunkannya pada bahagian belakang almari agar pakaian yang lebih kerap dipakai boleh diletakkan di hadapan.
Dengan cara ini, anda tidak perlu menyelongkar almari semata-mata untuk mencari pakaian harian anda.
Kesimpulan
Menyimpan pakaian dalam almari mungkin dilihat sebagai rutin harian yang sangat mudah.
Namun, jika tidak kena cara atau teknik yang betul, almari akan sentiasa bersepah walaupun telah dikemas berkali-kali.
Ikuti tujuh cara susun baju dalam almari ketika anda hendak mengemas semula almari pakaian anda.
[embed-health-tool-bmi]