backup og meta

Jangan Biarkan Jika Alami Stres Pasca Trauma PTSD, Penghidap Berisiko Kena Penyakit Kronik!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/10/2020

    Jangan Biarkan Jika Alami Stres Pasca Trauma PTSD, Penghidap Berisiko Kena Penyakit Kronik!

    Pernahkah anda mendengar tentang stres pasca trauma ataupun PTSD? PTSD merupakan sejenis gangguan emosi yang menyebabkan seseorang rasa amat tertekan selepas berlakunya kejadian yang traumatik.

    Pesakit PTSD mempunyai risiko yang paling tinggi untuk menghidap penyakit kronik dan masalah kesihatan yang lain.

    PTSD boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Untuk lebih memahami kondisi ini, ikuti kupasan yang kami sediakan di bawah.

    Apa itu stres pasca trauma

    Trauma merupakan reaksi seseorang dari segi emosi terhadap sesuatu tragedi seperti kemalangan, kematian, jenayah ataupun bencana alam.

    Individu yang baru sahaja mengalami trauma kadangkala akan berada dalam keadaan tidak percaya. Mereka mungkin mempunyai perasaan yang bercampur-baur antara sedih, marah, keliru dan juga buntu.

    Mereka yang menghidap trauma boleh memakan masa berbulan-bulan untuk sembuh.

    Selalunya, seiring dengan masa, individu yang trauma akan menjadi lebih tenang apabila mereka belajar untuk melupakan.

    Namun, bukan semua orang boleh lakukan perkara yang sama.

    Walaupun kejadian pahit yang terbuku di dalam ingatan telah bertahun-tahun berlalu, tapi ada yang masih lagi teringat-ingat ataupun mendapat flashback yang membuatkan mereka rasa tidak tenang.

    Apabila seseorang itu mengalami trauma dalam satu jangka masa yang panjang, individu tersebut mungkin mempunyai PTSD iaitu penyakit stres pasca trauma ataupun post-traumatic stress disorder.

    Individu yang mempunyai PTSD akan rasa amat terganggu dengan memori pahit yang mereka ingin lupakan. Mereka juga kerap berfikir dan mengalami flashback yang sering mengingatkan mereka tentang trauma yang dialami.

    Selain itu, mereka juga merasai tekanan emosi yang menyebabkan mereka rasa malu, menyesal ataupun sedih yang teramat sangat.

    Individu ini sukar untuk move-on sehinggakan gangguan emosi yang pesakit alami menyebabkannya bagaikan ‘tersangkut’ dalam kejadian tersebut dan tidak dapat memproses emosi dengan baik.

    Akibatnya, pesakit kerap teringat akan kejadian yang menyebabkan mereka diserang trauma. Selain itu, mereka juga alami mimpi ngeri dan kegelisahan yang melampau.

    Ramai yang anggap pesakit yang menderita dengan PTSD pernah melalui episod pahit seperti kematian orang yang tersayang ataupun pernah berada dalam situasi yang mengancam nyawa.

    Walau bagaimanapun, sebab seseorang itu menghidap PTSD boleh jadi berbeza-beza. Ada yang disebabkan oleh peperangan, gangguan seksual ataupun ditinggal kekasih.

    PTSD boleh berlaku kepada 1 daripada 3 orang yang mengalami trauma. Hingga hari ini, punca kondisi ini masih lagi tidak dapat dikenal pasti oleh pakar.

    Pesakit mungkin mengalami PTSD jika simptom yang mereka alami jadi semakin teruk dan berlarutan hingga bertahun-tahun lamanya.

    Trigger atau pemicu yang menyebabkan PTSD

    gangguan emosi

    Individu yang menghidap PTSD selalunya mempunyai trigger ataupun pemicu yang menyebabkan mereka diserang PTSD.

    Pemicu PTSD boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu pemicu dalaman dan pemicu luaran.

    Pemicu dalaman bermaksud apa yang anda rasa dari segi emosi. Sebagai contoh, pemicu dalaman terdiri daripada memori, emosi ataupun sensasi yang anda rasa pada badan seperti degupan jantung yang semakin pantas.

    Pemicu luaran pula terdiri daripada situasi, orang ataupun tempat yang boleh membuatkan anda teringat kepada kejadian yang pernah berlaku.

    Penting untuk individu yang mempunyai PTSD untuk mengawal trigger yang mereka alami.

    Salah satu cara yang terbaik untuk mengenal pasti trigger yang mungkin dialami adalah dengan mencatat setiap pemicu yang boleh sebabkan serangan PTSD.

    Selain itu, pesakit juga boleh elakkan trigger tersebut. Walau bagaimanapun, mustahil untuk seseorang itu lari daripada pemicu yang berbentuk dalaman. Namun, pemicu yang berbentuk luaran masih boleh dielakkan oleh pesakit.

    Selain mengelak daripada trigger, pesakit juga perlu belajar mengawal trigger mereka. Mereka boleh lakukan latihan pernafasan, amalkan kaedah mindfulness, dan cuba menyertai kumpulan sokongan yang boleh membantu untuk mengawal pemicu.

    Dengar rintihan hati individu yang mempunyai PTSD

    gangguan emosi

    Individu yang mempunyai PTSD mungkin sukar untuk meluahkan perasaan mereka kepada sesiapapun. Namun, jika mereka sudi untuk berkongsi cerita dan inginkan sokongan, cuba dengar luahan hati mereka tanpa sebarang prejudis.

    Bersabar dan cuba fahami mereka. Individu yang baru sahaja mengalami tragedi bukan sahaja dapat gangguan emosi, mereka juga mungkin dibelenggu rasa bersalah dan kesedihan yang amat sangat.

    Mungkin mereka sudahpun cuba yang terbaik dan cuma perlukan sokongan daripada insan yang mereka sayang.

    Sebagai orang yang penting dalam hidup mereka, cuba untuk bantu mereka sama ada dari segi fizikal seperti melakukan kerja rumah, ataupun mental seperti bersosial bersama mereka.

    Jika mereka jadi marah dan makan hati tanpa sebab terhadap anda, jangan terasa hati dengan tindakan mereka dan beri masa keepada individu ini untuk bersendirian.

    Kadangkala, semua ledakan emosi ini berpunca daripada stres dan trauma yang mereka alami dan bukannya disebabkan anda.

    Jika kesihatan mereka semakin merosot disebabkan gangguan emosi akibat PTSD, pastikan anda hubungi pihak hospital secepat mungkin.

    Kadangkala, golongan ini perlukan bantuan daripada pakar untuk selesaikan masalah gangguan PTSD yang dialami.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/10/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan