Umur mungkin menjadi antara punca utama lelaki mati pucuk, lebih-lebih lagi yang berumur 50 tahun dan ke atas. Namun, terdapat beberapa sebab mati pucuk lain yang mungkin kebanyakan lelaki di luar sana terlepas pandang sebelum ini.
Kami senaraikan 5 sebab mati pucuk yang sering berlaku dalam kalangan lelaki.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki sila dapatkannya di sini.
Ini 5 sebab mati pucuk yang mungkin anda tidak tahu
#1. Ubat rambut gugur dan prostat membesar
Menurut kajian dalam Journal of Sexual Medicine, ubat-ubatan seperti finasteride (dikenali dengan nama jenama Propecia dan Proscar) dan dutasteride (Avodart) dapat menghasilkan kesan sampingan seperti mati pucuk lelaki.
Ubat-ubatan ini digunakan untuk merawat keguguran rambut lelaki dan prostat yang membesar.
Selain itu, ubat seperti ini juga boleh menyebabkan kehilangan libido pada sebahagian lelaki.
Walaupun ubat-ubatan ini dapat membantu keguguran rambut dan mengurangkan gejala saluran kencing akibat pembesaran prostat, tapi perubahan hormon juga membuatkan ketidakmampuan untuk berereksi ketika senggama.
#2. Penyakit gusi sebab mati pucuk
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal yang sama, jangkitan atau penyakit pada gusi dapat meningkatkan risiko seseorang lelaki itu untuk mengalami mati pucuk.
Kajian yang dilakukan pada tikus menunjukkan hubungan antara penyakit gusi dan mati pucuk, tetapi hubungan pada manusia dan mekanisme yang menunjukkan jangkitan gusi boleh menyebabkan ED masih belum jelas.
Para penyelidik mengatakan, penyakit gusi adalah petunjuk kesihatan keseluruhan yang buruk, dan dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung.
Penyakit jantung juga adalah antara faktor risiko untuk mati pucuk lelaki.
Dr Bruce Kava, pemangku ketua urologi di University of Miami Miller School of Medicine berkata, penyakit gusi mungkin berpunca daripada masalah yang mendasari aliran darah pada gusi.
Ada kemungkinan seseorang yang menghidapinya juga mengalami masalah dengan aliran darah di bahagian tubuh yang lain seperti zakar.
#3. Sebab mati pucuk: Isteri lebih rapat dengan rakan anda berbanding diri anda sendiri
Sudah diketahui bahawa faktor psikologi boleh memainkan peranan utama dalam prestasi seksual seseorang individu.
Menurut penyelidikan terbaharu dalam American Journal of Sociology, jika isteri anda menghabiskan lebih banyak masa dengan rakan lelaki anda daripada diri anda sendiri, ia boleh menyebabkan anda berisiko untuk mendapat mati pucuk.
Kajian yang meninjau lebih daripada 3,000 orang lelaki berusia 57 hingga 85 tahun mendapati, lelaki yang isterinya terlalu rapat dengan rakannya adalah 92% lebih berisiko untuk sukar mengekalkan ereksi berbanding mereka yang tidak mempunyai situasi seperti ini.
Penyelidik mengatakan ini mungkin disebabkan oleh persepsi sosial mengenai kejantanan pada lelaki muda atau lelaki pertengahan umur.
Bagi lelaki yang berusia 70-an dan 80-an, hal ini kurang berlaku. Ini mungkin kerana lelaki yang lebih tua mempunyai persepsi yang berbeza tentang kejantanan.
#4. Aktiviti berbasikal
Berbasikal dengan jarak yang jauh juga boleh meningkatkan risiko lelaki mati pucuk.
Artikel pada tahun 2005 yang diterbitkan dalam Journal of Sexual Medicine mendapati bahawa, sebanyak 4% penunggang basikal lelaki yang menghabiskan masa sekurang-kurangnya tiga jam seminggu dengan berbasikal mengalami mati pucuk pada tahap sederhana hingga teruk.
Manakala, hanya sekitar 1% pelari (runners) dengan umur yang sama mengalami mati pucuk.
Semasa anda duduk di tempat duduk basikal, anda meletakkan beban pada saraf dan arteri yang membawa darah ke zakar.
Lama-kelamaan, salur darah ini boleh menjadi rosak lalu mengakibatkan penurunan aliran darah ke zakar dan risiko lelaki mati pucuk.
#5. Sebab mati pucuk kelima: Tekanan darah tinggi
Hipertensi yang tidak terkawal boleh merosakkan saluran darah di dalam badan, menjadikannya kurang elastik dan kurang berkemampuan untuk mengangkut darah dengan jumlah yang sama dengan cepat.
Beberapa jenis ubat yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi, seperti beta blocker dan diuretik, juga dapat meningkatkan risiko mati pucuk.
Anda tidak sepatutnya berhenti mengambil ubat tekanan darah tanpa berbincang dengan doktor.
Namun, apa yang boleh anda lakukan adalah dengan membuat perubahan gaya hidup, seperti mengambil diet yang sihat dan melakukan lebih banyak senaman supaya dapat membantu menurunkan tekanan darah anda.
Kesimpulan
Selain daripada 5 sebab mati pucuk yang telah dinyatakan seperti di atas ini, terdapat juga beberapa sebab lain yang boleh menyebabkan lelaki mati pucuk.
Ini termasuklah keresahan, kemurungan dan penyakit seperti diabetes. Namun, 5 punca yang kami nyatakan ini adalah yang agak jarang diperkatakan.