backup og meta

Anda Kena Buang Kutu Dalam Tempoh 48 Jam Bila Digigit, Elak Penyakit Lyme!

Anda Kena Buang Kutu Dalam Tempoh 48 Jam Bila Digigit, Elak Penyakit Lyme!

Tahukah anda, anda boleh mendapat penyakit Lyme dengan hanya melalui gigitan kutu? Apakah penyakit Lyme ini dan kaitannya dengan kutu?

Sempena Bulan Kesedaran Penyakit Lyme sepanjang Mei ini, kami bawakan kepada anda topik mengenai cara mencegah daripada dijangkiti penyakit ini!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Penyakit Berjangkit, sila dapatkannya di sini.

Maksud penyakit Lyme

Penyakit Lyme ialah sejenis penyakit yang berpunca daripada serangan bakteria, dan ia melibatkan empat spesies bakteria.

Bakteria Borrelia burgdorferi dan Borrelia mayonii biasa menyebabkan penyakit ini di kawasan Amerika Syarikat.

Manakala jenis bakteria Borrelia afzelii dan Borrelia garinii pula biasa menyebabkan jangkitan di kawasan Eropah dan juga Asia.

Penyakit ini boleh dikatakan sebagai penyakit bawaan kutu. Ini kerana ia merebak kepada manusia melalui gigitan parasit ini.

Dalam bahasa mudahnya, kutu berperanan sebagai agen pembawa bakteria yang boleh menjangkiti manusia lalu menyebabkan penyakit ini. 

Beberapa petanda penyakit angkara gigitan kutu ini

penyakit lyme

Terdapat pelbagai tanda atau simptom yang boleh berlaku sekiranya anda mendapat jangkitan penyakit ini.

Pada peringkat awal jangkitan, anda mungkin akan mengalami beberapa perkara seperti berikut:

  • Benjolan kecil berwarna merah seakan-akan kesan gigitan nyamuk
  • Terdapat ruam pada badan anda. Ruam ini biasanya akan muncul dalam tempoh tiga hingga 30 hari selepas mendapat gigitan kutu. Ruam ini akan semakin membesar secara perlahan-lahan dan boleh mencapai saiz sehingga 12 inci. Ruam yang anda alami ini tidak berasa gatal atau sakit
  • Mengalami demam
  • Badan berasa sejuk
  • Rasa letih
  • Sakit badan

Selain itu, dalam tempoh yang lebih panjang, penyakit ini yang tidak dirawat akan menunjukkan beberapa tanda lain seperti berikut:

  • Ruam bukan sahaja berlaku pada kawasan yang mendapat gigitan parasit ini, tetapi juga boleh merebak ke kawasan tubuh yang lain
  • Masalah berkaitan neurologi. Dalam tempoh beberapa minggu atau bulan, penyakit yang tidak dirawat boleh menyebabkan keradangan pada membran dalam otak anda
  • Radang pada sendi

Anda ada masa 48 jam untuk singkirkan gigitan kutu sebelum mula dapat jangkitan

Ada satu kajian yang dilaksanakan oleh Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), berkenaan jangkitan penyakit ini.

Mereka telah mendedahkan 160 ekor tikus kepada gigitan kutu yang mempunyai bakteria Borrelia mayonii.

Tikus-tikus ini kemudiannya telah dipantau dalam tempoh 24, 48 dan 72 jam selepas bermulanya gigitan kutu.

gigitan kutu

Selain itu, para penyelidik juga memantau keadaan tikus berkenaan selepas kutu tersebut kenyang.

Pada peringkat awal iaitu 24 dan 48 jam selepas digigit kutu, tiada sebarang tanda atau simptom jangkitan penyakit Lyme yang berlaku.

Namun, 72 jam selepas digigit kutu, terdapat 31 ekor tikus yang dijangkiti penyakit ini .

Selain itu, sekitar 57% tikus didapati telah dijangkiti penyakit ini selepas kutu menjadi kenyang.

Kajian ini menunjukkan bahawa, kita mempunyai tempoh sehingga 48 jam untuk menyingkirkan kutu tersebut daripada badan kita sebelum mula mendapat jangkitan penyakit ini .

Ini bermakna, sekiranya kita berjaya menyingkirkan lebih awal, risiko untuk mendapat penyakit Lyme amat rendah. 

Cara mengelakkan diri dari digigit kutu

Cara terbaik bagi mencegah penyakit ini adalah dengan mengelakkan diri daripada kawasan yang menjadi tempat pembiakan kutu.

Kutu amat gemar untuk menetap di kawasan berhutan, bersemak atau kawasan dengan rumput atau lalang yang panjang.

Ikuti tip di bawah ini untuk mengelakkan gigitan kutu:

  • Pakai pakaian yang lengkap dengan menutupi kawasan tubuh badan yang terdedah
  • Sapukan krim penghalau serangga pada tubuh badan anda khususnya bagi kanak-kanak 
  • Buang semak samun di rumah anda
  • Potong rumput di halaman rumah apabila telah panjang
  • Periksa pakaian anda selepas anda pulang daripada kawasan yang menjadi habitat kutu
  • Sekiranya ada kutu yang menggigit anda, buang ia dengan segera dengan menggunakan penyepit

Perlukah berjumpa doktor jika kutu disingkirkan dengan cepat?

gigitan kuku

Sebenarnya, tidak semua kutu mempunyai bakteria ini.

Hanya sebilangan kecil gigitan parasit ini sahaja yang boleh menyebabkan penyakit ini.

Apabila semakin lama kutu tersebut berada di tubuh kita, maka risiko untuk mendapat penyakit ini juga akan menjadi semakin besar.

Namun, sekiranya anda mempunyai beberapa petanda penyakit ini selepas digigit kutu, maka segeralah berjumpa dengan doktor yang berdekatan.

Pastikan anda berjumpa dengan doktor walaupun simptom-simptom yang berlaku tersebut telah reda.

Ini kerana, ada kalanya jangkitan penyakit ini boleh berlaku tanpa sebarang simptom.

Sekiranya anda membiarkan penyakit ini tanpa sebarang rawatan, ia bukan sahaja boleh menyebabkan ruam biasa, tetapi juga beberapa komplikasi lain yang lebih buruk.

Ini termasuklah penyakit arthritis dan yang berkaitan dengan sistem saraf.

Berbahaya kepada kanak-kanak dan orang dewasa

Gigitan parasit ini bukan hanya berbahaya kepada kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa.

Ia boleh menyebabkan serangan pada bahagian sendi dan otak anda sekiranya tidak dirawat.

Oleh sebab itu, jika anda berasa risau mengenai keadaan anda selepas digigit kutu, hadirkan diri ke klinik atau hospital untuk melakukan pemeriksaan bersama doktor. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Lyme disease rash, https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/lyme-disease/multimedia/lyme-disease-rash/img-20006687, Accessed Jul 29 2021.
  2. Tick Bite, https://www.seattlechildrens.org/conditions/a-z/tick-bite/, Accessed Jul 29 2021.
  3. What To Do About Tick Bites, https://www.bmhvt.org/what-to-do-when-you-have-a-tick-bite/, Accessed Jul 29 2021.
  4. HARD SCIENCE ON LYME: Ticks can transmit infection the first day, https://www.lymedisease.org/hard-science-on-lyme-ticks-can-transmit-infection-the-first-day/, Accessed Jul 29 2021.
  5. Lyme disease, https://www.nhs.uk/conditions/lyme-disease/, Accessed Jul 29 2021.

Versi Terbaru

23/05/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Gatalnya Kena Gigitan Kutu Rambut! Kenali Penyakit Bawaan Kutu

Penyakit Lyme


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/05/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan