Anda akan boleh bergerak seperti biasa. Kelumpuhan ini kebiasaannya berlaku dalam sekitar 1 hingga 3 minit. Ia tidak akan menyebabkan apa-apa masalah kesihatan melainkan pengalaman yang agak menakutkan.
Halusinasi dan makhluk halus yang menindih
Amigdala merupakan sistem saraf yang berbentuk kacang, terletak pada bahagian lobus temporal tengah. Ia adalah sebahagian daripada struktur basal ganglia dan bahagian otak yang paling aktif ketika fenomena kelumpuhan tidur kerana fungsinya adalah untuk mengawal atur memori berkaitan perasaan dan ketakutan.
Bayangkan anda mempunyai amigdala yang sedang aktif membuatkan anda takut, namun tiada apa-apa perkara di persekitaran yang mempunyai keupayaan untuk membuatkan anda takut. Ini merupakan satu paradoks dan solusi kepadanya adalah halusinasi.
Brian A. Sharpless dan Monika Klikova telah menerbitkan kajian di Jurnal Tidur pada tahun 2019 yang melibatkan 185 individu yang didiagnos dengan masalah ini.
Dapatan kajian tersebut telah mendapati bahawa 58% daripada mereka merasakan kehadiran sesuatu yang bukan manusia di dalam bilik sewaktu fenomena tersebut sedang berlaku. Halusinasi boleh berlaku dalam pelbagai jenis bentuk.
Ada individu yang melaporkan mereka merasa seolah-olah di awang-awangan, ada yang ternampak individu asing berada bersama mereka di tempat mereka tidur dan ada yang ternampak makhluk halus menindih dada mereka.