backup og meta

Biarkan Zakar & Miss V Bernafas! Ini Manfaat Jika Tak Pakai SELUAR DALAM Ketika Tidur

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 09/05/2022

    Biarkan Zakar & Miss V Bernafas! Ini Manfaat Jika Tak Pakai SELUAR DALAM Ketika Tidur

    Sesetengah orang mungkin membesar dengan pemikiran bahawa memakai seluar dalam adalah satu kewajipan tanpa mengira masa! Tetapi, ramai saja yang tidak beranggapan begitu terutamanya pada waktu malam, kerana mereka lebih gemar tak pakai seluar dalam!

    Bukan sahaja berasa lebih selesa dan ‘bebas’ di kawasan alat sulit tersebut, tapi ternyata tidur tak pakai seluar dalam juga mempunyai manfaat yang tersendiri!

    Ya, ia mungkin kedengaran agak memeranjatkan. Tidak percaya? Jom sama-sama kita selami artikel ini dengan lebih mendalam lagi!

    Apa manfaat tidur tak pakai seluar dalam yang diperkatakan?

    Bagi yang sering memakai seluar dalam ketika waktu tidur, pernahkah anda terfikir apa yang bakal terjadi jika anda hentikan tabiat ini?

    Fikiran anda mungkin akan mula terbayang-bayang kehadiran serangga menakutkan seperti cicak atau lipas merayap di sekitar tubuh, lantas ke bahagian intim, pasti menakutkan!

    Pun begitu, usah terlalu melayan fikiran negatif itu dulu kerana di sebalik kebimbangan, tersembunyi banyak lagi manfaat tidur tak pakai seluar dalam yang perlu anda ketahui.

    Antara manfaat tidur tanpa memakai seluar dalam termasuklah:

    #1 Tidur tak pakai seluar dalam membolehkan alat sulit ‘bernafas’

    tak pakai seluar dalam

    Pakar ginekologi mengatakan, kawasan alat kelamin tidak disarankan untuk kekal dalam keadaan tertutup terutamanya pada waktu tidur.

    Pun begitu, masih ramai individu yang memakainya kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko.

    Saranan ini diberikan kerana bakteria dan kulat lebih senang dan cenderung membiak di kawasan yang gelap, lembap dan hangat.

    Jika difikir-fikirkan, kawasan alat sulit anda sudahpun ditutupi seluar dalam sepanjang hari. Jika berterusan ditutup pada malam hari dengan fabrik yang tidak menyerap peluh, risiko iritasi dan jangkitan boleh berlaku!

    Sekurang-kurangnya, dengan tidak memakai seluar dalam semasa tidur akan membolehkan bahagian intim anda ‘bernafas’, di samping menjaga kebersihan alat kelamin.

    #2 Tak pakai seluar dalam – Mengurangkan risiko jangkitan pada alat sulit

    Jika ada antara pembaca yang berfikir dengan tidak memakai seluar dalam sewaktu tidur boleh memberi peluang untuk bakteria membiak, usah risau!

    Pakar menyatakan tiada bukti saintifik yang menunjukkan hubungan langsung antara tidur tanpa pemakaian seluar dalam dengan jangkitan seperti bacterial vaginosis mahupun kulat pada alat kelamin.

    Bahkan, tidur tanpanya boleh mengurangkan lagi risiko jangkitan kerana faktor pengudaraan yang bagus mengurangkan kelembapan di kawasan alat kelamin.

    #3 Melancarkan peredaran darah

    Untuk pengetahuan kalian, peredaran darah badan yang lancar termasuk bahagian intim amatlah penting.

    Apabila anda memutuskan untuk tidak lagi memakai seluar dalam saat tidur, secara tidak langsung anda juga mengurangkan risiko pengaliran darah yang terganggu dek pemakaiannya.

    Oleh itu, pengaliran darah pada bahagian intim akan jadi lebih lancar dan risiko sebarang komplikasi untuk berlaku dapat dielakkan.

    #4 Tak pakai seluar dalam boleh menjaga kualiti sperma

    Sama seperti kaum Hawa, kajian menunjukkan pemakaian seluar dalam yang ketat akan membuatkan testis sukar untuk ‘bernafas’ lantas meningkatkan suhu pada kawasan tersebut.

    Secara langsung ini akan mempengaruhi organ pembiakan dengan mengganggu pengaliran darah ke kawasan buah zakar.

    Lebih memburukkan lagi, jika tabiat ini diteruskan, ia berisiko untuk mempengaruhi kualiti serta menurunkan jumlah sperma.

    Jadi, tidur tanpa memakainya mungkin boleh membantu membuat testis lebih sejuk dan nyaman sekali gus meningkatkan kiraan sperma!

    #5 Tidur menjadi lebih nyenyak

    tak pakai seluar dalam

    Tahukah anda, tidur tanpa memakai seluar dalam atau berbogel juga boleh menjadi salah satu terapi stres?

    Bagaimana? Ini kerana tidur tanpanya membuatkan anda berasa lebih ‘bebas’ sama ada dari segi pergerakan atau aspek yang lain.

    Justeru, perasaan menyenangkan ini akan membantu kalian untuk relaks dan tidur dengan lebih nyenyak.

    Anda juga perlu tahu bahawa waktu tidur yang mencukupi akan memberi kesan positif kepada kualiti hidup anda.

    Kualiti tidur yang tidak bagus akan memberi impak kepada tenaga, memori serta kesihatan mental anda.

    #6 Menghangatkan hubungan bersama pasangan

    Bagi kalian yang sudah menikah, tidur tanpa memakai seluar dalam bahkan berbogel mampu meningkatkan kualiti hubungan di ranjang bersama pasangan tercinta!

    Seperti yang telah diketahui umum, seks adalah satu perkara yang penting dan bagus buat hubungan suami isteri. Tanpanya, kehidupan anda berdua boleh menjadi hambar.

    Pun begitu, bukan hanya seks yang mampu memberi manfaat kepada anda dan pasangan, tidur tanpa memakainya juga boleh mendatangkan kebaikan.

    Apabila sentuhan kulit ke kulit berlaku, maka pengeluaran hormon oksitosin atau lebih dikenali sebagai ‘hormon cinta’ akan terangsang.

    Sekarang, anda sudah tahu tip untuk menghangatkan hubungan kalian! Maka, apa yang ditunggu-tunggu lagi? Boleh cuba semasa tidur malam ini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 09/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan