Mati Pucuk Kerana Diabetes?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Dianggarkan sekitar 35% hingga 75% lelaki yang menghidap diabetes akan mengalami mati pucuk atau disfungsi erektil pada tempoh tertentu dalam hidup mereka.

Pesakit diabetes dalam kalangan lelaki lebih cenderung untuk mengalami mati pucuk 10 hingga 15 tahun lebih awal berbanding lelaki lain. Apabila mereka semakin berumur, masalah mencapai ereksi menjadi semakin kerap. Selepas umur 50 tahun, risiko masalah ini ialah 50% hingga 60% bagi penghidap diabetes. Bagi umur 70 tahun ke atas, peratusan lebih tinggi iaitu sehingga 95%.

Mengapa penghidap diabetes lebih berisiko?

Bagaimana diabetes menjejaskan proses ereksi, adalah kompleks melibatkan gangguan pada urat saraf, pembuluh darah, dan fungsi otot.

Ereksi memerlukan pembuluh darah yang sihat, urat saraf dan hormon yang berfungsi dengan baik, serta keinginan seksual. Diabetes boleh menjejaskan pembuluh darah dan urat saraf yang mengawal ereksi. Meskipun mempunyai kadar hormon yang normal dan keinginan seks, penghidap diabetes masih gagal mencapai ereksi yang baik.

Pelbagai pilihan rawatan mati pucuk dalam kalangan penghidap diabetes

Ubat-ubatan ialah salah satu pilihan yang ada. Antaranya termasuk sildenafil (Viagra), tadalafil (Cialis), avanafil (Stendra), dan vardenafil (Levitra).

Walau bagaimanapun, keadaan mungkin sedikit rumit memandangkan pesakit diabetes kerap mempunyai masalah pada jantung mereka. Ubat-ubatan ini mungkin boleh menjejaskan fungsi jantung dan menyebabkan tindak balas dengan ubat jantung. Perbincangan dengan doktor harus dilakukan terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ubat.

Pilihan rawatan lain yang mungkin boleh dipertimbangkan ialah intracavernous injection therapy, alat vakum ereksi, alat penyempit vena, zakar prostesis (palsu), dan terapi seks.

Apakah pilihan terbaik untuk anda?

Jawapannya bergantung kepada keadaan kesihatan dan situasi anda. Temu janji dengan pakar urologi mungkin perlu diatur untuk mendapatkan nasihat dan pemeriksaan yang lebih komprehensif.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut