Limfoma adalah merujuk kepada sejenis kanser yang bermula dalam sel-sel sistem imun, yang berfungsi melawan jangkitan. Ingin tahu lebih lanjut tentang apa itu limfoma? Jom baca!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.
Definisi
Apa itu limfoma?
Limfoma adalah kanser yang bermula dalam sel-sel sistem imun, yang juga dipanggil limfosit.
Ia terdapat pada nodus limfa, limpa, timus, sumsum tulang, dan bahagian-bahagian badan yang lain.
Sistem limfa ini sepatutnya menjadi rangkaian melawan penyakit di dalam badan anda. Mempunyai limfoma bermakna limfosit berubah dan berkembang di luar kawalan.
Terdapat banyak jenis limfoma tetapi dua kategori utama apa itu limfoma ialah limfoma Hodgkin dan limfoma bukan Hodgkin.
Keadaan kesihatan ini biasa berlaku terutamanya kepada orang tua dan lelaki. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.
Simptom
Tanda dan simptom utama limfoma adalah:
- Kelenjar bengkak di sepanjang leher, ketiak, atau pangkal paha
- Batuk, sesak nafas
- Demam, gatal-gatal
- Berpeluh malam
- Sakit perut, belakang atau sakit tulang
- Rasa penat, kurang tenaga
- Pengurangan berat badan
- Menggigil
- Hilang selera makan
- Limfedema
- Neuropati
- Darah dalam najis atau muntah
- Aliran kencing tersumbat
- Sakit kepala
- Sawan
Punca dan faktor risiko
Punca
Limfoma adalah salah satu kanser yang puncanya masih tidak diketahui, walaupun ia didapati lebih kerap berlaku pada orang tertentu.
Faktor Risiko
Faktor risiko yang dapat meningkatkan risiko limfoma adalah:
Terdapat banyak faktor risiko untuk limfoma, seperti:
- Usia 60-an ke atas
- Lelaki
- Sistem imun lemah disebabkan HIV/AIDS, pemindahan organ, atau dilahirkan dengan penyakit imun
- Mempunyai penyakit sistem imun seperti artritis reumatoid, sindrom Sjogren, lupus, atau penyakit celiac
- Dijangkiti virus seperti Epstein-Barr, hepatitis C, T-sel leukemia/limfoma (HTLV-1), atau herpesvirus 8 (HHV8)
- Mempunyai saudara terdekat yang menghidap limfoma
- Terdedah kepada benzena atau bahan kimia dalam racun serangga dan rumpai
- Pernah dirawat untuk limfoma Hodgkin atau bukan Hodgkin
- Pernah menjalani rawatan radiasi untuk kanser
- Jika anda mempunyai berat badan berlebihan
Diagnosis dan Rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Diagnosis penyakit limfoma
Untuk mendiagnosis limfoma, doktor mungkin akan bertanyakan beberapa soalan mengenai keadaan anda seperti:
- Bila anda menyedari perubahan
- Di mana rasa sakit
- Keadaan selera makan anda
- Jika anda mengalami penurunan berat badan
- Merasa letih atau lemah
- Pernah dirawat untuk limfoma atau kanser lain
- Maklumat tentang jangkitan atau penyakit yang pernah anda alami
- Jika ada kanser dalam keluarga anda
Kemudian, doktor akan memeriksa tanda limfoma dan merasa jika terdapat nod limfa yang bengkak. Walau bagaimanapun, mempunyai simptom ini tidak bermakna anda mempunyai kanser.
Nod limfa anda boleh membengkak disebabkan jangkitan yang tidak berkaitan dengan kanser.
Untuk mengesan sel kanser, biopsi nod limfa diperlukan. Doktor anda akan mengambil seluruh bahagian atau sebahagian daripada nod limfa yang terjejas, atau menggunakan jarum untuk mengambil sedikit tisu nod tersebut.
Sekiranya doktor ingin mengetahui sejauh mana limfoma telah merebak, anda mungkin akan diminta:
- Menjalani ujian darah untuk memeriksa bilangan sel-sel tertentu dalam darah atau aspirasi sumsum tulang atau biopsi untuk mencari sel limfoma
- X-ray dada – yang menggunakan sinaran dalam dos yang rendah – untuk membuat imej bahagian dalam dada anda
- MRI melalui magnet kuat dan gelombang radio digunakan untuk membuat gambar organ dan struktur dalam badan anda
- Imbasan PET yang menggunakan bahan radioaktif untuk mencari sel-sel kanser dalam badan anda
Ujian molekul juga mungkin disarankan untuk membantu doktor anda mengenal pasti jika terdapat perubahan kepada gen, protein, dan bahan-bahan lain dalam sel kanser supaya jenis limfoma dapat ditentukan.
Rawatan untuk pesakit limfoma adalah:
Doktor akan memilih rawatan berdasarkan kepada jenis limfoma yang anda hidap dan sejauh mana ia telah merebak.
Jika anda disahkan menghidap limfoma non-Hodgkin, anda mungkin disyorkan untuk memilih kemoterapi, penggunaan ubat untuk membunuh sel-sel kanser, terapi radiasi menggunakan sinar bertenaga tinggi untuk menghapuskan sel-sel kanser, ataupun imunoterapi menggunakan sistem imun badan anda sendiri untuk menyerang sel-sel kanser.
Sekiranya anda menghidap limfoma Hodgkin, anda mungkin dirawat dengan kemoterapi dan terapi radiasi.
Jika rawatan berikut tidak dapat membantu menangani penyakit anda, pemindahan sel stem boleh dilakukan. Anda akan diberikan kemoterapi dengan dos yang sangat tinggi dahulu untuk memusnahkan sel-sel kanser.
Baca juga:
- 3 Jenis Rawatan Kanser Yang Perlu Anda Tahu
- Nampak Sama Tapi Sebenarnya Lain! Ini Perbezaan Antara Limfoma Dan Leukemia!
Pencegahan
Antara perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang mungkin dapat membantu anda menangani limfoma adalah:
- Tukar kepada diet yang sihat yang bersesuaian dengan keadaan anda berdasarkan saranan doktor
- Lakukan senaman yang membantu anda berasa lebih baik semasa tempoh rawatan, seperti berjalan atau berenang
- Anda juga boleh mencuba terapi alternatif seperti bersantai, biofeedback, atau pengimejan berpandu (guided imagery) untuk melegakan kesakitan
[embed-health-tool-bmi]