Kenali Rawatan Kanser Testis: Apa Perlu Anda Lakukan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diagnosis kanser testis dibuat melalui pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian. Kadangkala, pesakit sendiri yang menemui kanser tersebut apabila merasakan ketidakselesaan atau bengkak pada buah zakar. Persoalannya, apakah rawatan kanser testis?

Untuk menentukan sama ada ketulan pada buah zakar itu ialah kanser testis atau tidak, doktor mungkin akan melakukan:

  • Ultrasound. Gelombang bunyi digunakan untuk membentuk imej skrotum dan testis. Ujian ini membantu doktor mengenal pasti bentuk, tekstur, dan lokasi ketulan terbabit.
  • Ujian darah. Kanser akan merembeskan penanda kanser yang boleh dikesan dalam darah. Kadar yang tinggi meningkatkan kebarangkalian kanser.
  • Pembedahan membuang testis. Jika doktor merasakan bahawa anda mempunyai kanser, pembedahan untuk membuang testis mungkin dilakukan dan diperiksa menggunakan mikroskop. Jika hanya sebahagian daripada testis sahaja yang diambil, terdapat risiko sel kanser merebak (jika benar-benar kanser).

Apakah rawatan kanser testis?

Apabila doktor sudah mengesahkan diagnosis kanser testis, langkah seterusnya sudah tentu ialah rawatan. Bergantung kepada jenis dan tahap kanser, pilihan rawatan yang ada ialah:

Jenis paling kerap berlaku ialah kanser germ cell (seminoma) dan ia juga secara amnya lebih kurang agresif berbanding jenis lain. Selain jenis dan tahap, kesihatan dan pilihan anda juga akan diambil kira dalam menentukan rawatan kanser testis.

Pembedahan

Pembedahan melibatkan pembuangan testis (satu atau kedua-duanya) dan nod limfa berhampiran. Jika pembedahan ialah satu-satunya rawatan yang dijalani, Pemeriksaan dan ujian susulan akan dibuat untuk mengesan jika kanser datang semula.

Kesuburan masih terpelihara jika hanya satu testis dibuang. Bagi kes yang melibatkan dua testis (sangat jarang), sperma mungkin akan diambil dan disimpan sebelum pembedahan untuk kegunaan masa hadapan.

Radioterapi

Pancaran tenaga berkuasa tinggi digunakan untuk membunuh sel kanser. Semasa prosedur dijalankan, pesakit perlu baring di atas meja dan mesin khas yang memancarkan tenaga tersebut berpusing mengelilingi pesakit.

Radioterapi mungkin diberikan sebagai rawatan tunggal atau selepas pembedahan. Kesan sampingan yang boleh berlaku termasuk mual, badan letih, dan merah-merah pada kulit. Kualiti sperma dan kesuburan mungkin akan terjejas. Sila berbincang dengan doktor sebelum memulakan rawatan.

Kemoterapi

Kaedah ini pula menggunakan ubat-ubatan untuk membunuh sel kanser. Ia juga mungkin diberikan sebagai rawatan tunggal atau selepas pembedahan. Kesan sampingan yang boleh berlaku bergantung kepada jenis ubat yang diambil. Perbincangan dengan doktor sebelum terapi dapat membantu pesakit menghadapi rawatan dengan lebih bersedia.

Kanser testis ialah antara kanser paling mudah dirawat dengan peratusan sembuh yang tinggi. Jangan putus asa dan teruskan perjuangan anda!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut