Bahaya “Baby Walker’’ Yang Tidak Disedari

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Kesemua ibu bapa pasti mahukan si kecil mereka boleh mula berjalan dengan cepat. Disebabkan itu, pelbagai kaedah digunakan oleh ibu bapa untuk membantu bayi mereka belajar berjalan. Antara kaedah yang paling terkenal adalah penggunaan “baby walker’’. Mungkin ramai juga yang tidak tahu bahawa di sebaliknya, penggunaan “baby walker” sebenarnya mendatang bahaya yang tidak disedari. Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Adakah benar “baby walker” boleh membantu bayi belajar berjalan?

Sebelum itu, ibu bapa perlu tahu mengenai kenyataan ini. “Baby walker” direka untuk membantu bayi yang masih belum boleh berjalan agar mereka boleh bergerak. Namun demikian, alat ini sebenarnya bergerak tanpa kawalan pada empat roda di bawahnya dan bukannya dengan kaki si kecil anda.

Selain itu, memaksa bayi berjalan sebelum sampai waktu boleh mengakibatkan pelbagai mudarat berbanding manfaat. Ini kerana bayi perlu mula belajar berjalan apabila otot dan keseimbangan badannya sudah cukup kuat. Penggunaan “baby walker” pula akan membuatkan kaki si kecil menjadi lebih lemah kerana motor kasar mereka tidak terlatih sepenuhnya.

Dalam pada itu lagi, terdapat banyak bahaya penggunaan “baby walker”, antaranya:

1. Jatuh tangga

Ini merupakan bahaya paling utama yang kerap berlaku pada bayi. Kejadian ini lebih berisiko terutamanya jika kediaman anda mempunyai beberapa tingkat dan si kecil pula menggunakan “baby walker” tanpa pengawasan yang rapi daripada anda. Paling menakutkan, ia boleh mengakibatkan patah pada tulang dan kecederaan pada bahagian kepala.

2. Melecur atau terbakar

Dengan penggunaan “baby walker”, si kecil akan lebih mudah untuk mencapai apa yang mereka mahu. Sebagai contoh, mereka mungkin akan mencapai lapik meja yang menempatkan air panas di atasnya lalu menyebabkan ia tertumpah pada bayi anda. Selain itu juga, mereka mungkin akan mencapai dapur, radiator atau pendiangan yang boleh menyebabkan kulit si kecil kesayangan anda melecur atau terbakar.

3. Keracunan

Selain itu juga, si kecil anda bersama “baby walker” mereka akan lebih mudah mencapai benda-benda yang biasanya disorok di dalam kabinet seperti ubat-ubatan atau sabun pencuci. Ia kemudiannya akan menyebabkan mereka mengalami keracunan jika mereka tertelan atau terdedah kepada benda-benda berbahaya ini.

4. Lemas

Penggunaan “baby walker” di kawasan yang tidak sesuai dan selain daripada dalam rumah seperti kawasan kolam renang kediaman anda adalah sangat berbahaya. Ini kerana si kecil anda yang masih tidak mengenali bahaya mungkin boleh terjatuh ke dalam kolam renang itu dan lemas. Ia boleh terjadi meskipun dalam pengawasan anda kerana mereka masih mampu untuk mengawal alat berbahaya itu.

5. Kemalangan jalan raya

Disebabkan “baby walker” mudah dibawa ke mana-mana, anda mungkin akan membawanya untuk membantu si kecil anda berjalan-jalan di luar rumah. Ia sebenarnya merupakan perbuatan yang bahaya kerana dengan sekelip mata sahaja si kecil anda mungkin sudah sampai ke kawasan jalan raya. Ini boleh menyebabkan kemalangan kepada mereka atau individu lain yang cuba mengelaknya.

bahaya baby walker

Menurut Gary A. Smith, Pengarah Pusat Kajian Kecederaan dan Polisi Hospital Kanak-kanak yang bertempat di Amerika Syarikat, penggunakan “baby walker” adalah berbahaya kerana ia memberi mobiliti kepada bayi sebelum mereka mampu mengawal mobiliti seperti itu. Bayi yang menggunakan “baby walker’’ juga mampu mencecah kelajuan sehingga empat kaki dalam masa satu saat. Disebabkan mereka penuh dengan sifat ingin tahu yang tinggi, mereka tidak kenal akan bahaya.

Konklusinya, penggunaan “baby walker” ini sebenarnya adalah berbahaya buat si kecil anda. Sebaiknya, anda perlu bersabar dengan perkembangan bayi anda dan biarkan fizikal dan mental mereka sendiri bersedia untuk mula belajar berjalan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut