Betul Ke Kaedah Kontraseptif Boleh MATIKAN Libido Wanita?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kaedah kontraseptif adalah satu kaedah kawalan kelahiran yang sering digunakan kebanyakan wanita. Tetapi malangnya, ia dikatakan boleh menjejaskan libido wanita. Adakah ia benar?

Rancang keluarga boleh jejaskan libido wanita?

Penggunaan kaedah kontraseptif merupakan satu cara bagi mengawal kelahiran. Namun, apa yang tidak diketahui adalah kaedah itu mungkin menjejaskan tahap libido bagi seseorang wanita. 

Tidak dinafikan, kaedah kontraseptif atau kawalan kelahiran adalah cara terbaik bagi mengawal sistem pembiakan wanita. Tetapi sudah tentu ia akan mewujudkan beberapa kesan sampingan daripada penggunaannya.

Sebelum kita pergi lebih jauh, adakah anda memahami apakah yang dimaksudkan dengan libido? Libido merupakan keinginan seksual yang wujud secara semula jadi dalam setiap individu. 

Tahap libido sudah pastinya berbeza mengikut individu. Ada individu yang mempunyai keinginan seksual yang tinggi, tetapi ada juga yang sebaliknya. Banyak faktor yang mempengaruhi tahap keinginan seksual seseorang seperti usia, keadaan kesihatan, perhubungan dan juga pemakanan.

Bagaimana kaedah kontraseptif mengubah libido wanita?

Sekiranya anda memilih kaedah kontraseptif dalam bentuk pil hormon, gangguan dalam libido wanita adalah sesuatu yang perlu dijangkakan. Umumnya, terdapat neurotransmitter, satu bentuk hormon reseptor pada libido wanita yang bertanggungjawab dalam perubahan emosi individu.

Namun, keadaan hormon reseptor yang dilepaskan dari otak itu, mungkin akan terjejas disebabkan pengambilan pil hormon tersebut.

“Sebarang perubahan pada tahap hormon yang disebabkan oleh pengambilan pil, boleh mengakibatkan tahap pembebasan neurotransmitter akan menjadi lebih ataupun berkurangan,” ujar Pakar Obstetrik-Sakit Puan dan Pengasas V Health and Wellness, Dr. Dana Shanis.

Sesetengah bentuk alat kawalan kelahiran, seperti pil kombinasi, juga dipercayai berisiko menurunkan kadar hormon testosteron, iaitu hormon yang mengawal keinginan seksual bagi wanita. 

Perlukah bimbang?

Libido Wanita TERJEJAS Kerana Kaedah Kontraseptif

Walau bagaimanapun, menurut OB-GYN di Cleveland Clinic, Dr Ashley Brant, anda tidak perlu bimbang atau risau mengenai kesan sampingan penggunaan kaedah kontraseptif kepada libido anda. 

“Berdasarkan kajian, dikatakan kurang daripada 5% wanita yang menggunakan pil kawalan kelahiran mengalami masalah penurunan keinginan seksual. Ini sekali gus membuktikan bahawa kebanyakan wanita yang menggunakan kaedah kontraseptif tidak merasai perbezaan,” jelas Dr Ashley. 

Dia turut menambah, terdapat juga sesetengah wanita yang menggunakan kaedah ini mengalami peningkatan keinginan seksual. Keadaan ini mungkin berlaku disebabkan mereka kurang bimbang mengenai kehamilan.

Hakikatnya adalah sukar untuk menentukan sama ada seseorang individu itu akan mengalami perubahan negatif berkaitan keinginan seksualnya. Namun, perkara ini masih dalam pertimbangan. 

Bagi Pengarah Klinikal dari Melbourne IVF di Royal Women’s Hospital, Dr Alex Polyakov, ia sebenarnya satu keadaan biasa untuk libido wanita mengalami penurunan atau kenaikan sepanjang kitaran menstrual mereka. 

Namun, Dr Alex juga menyatakan terdapat sesetengah wanita yang menggunakan kaedah kontraseptif namun tidak langsung mengalami sebarang perubahan hormon sama sekali. 

Kawalan kelahiran yang kurang menjejaskan keinginan seksual

Dr Alex memberitahu bahawa pengambilan sebarang bentuk kontraseptif hormon boleh mengubah keinginan seksual wanita, tanpa mengira kaedah yang diambil sama ada dalam bentuk pil, tampalan (patch), cincin (ring), suntikan, implan atau IUD. Namun, kadar risikonya mungkin berbeza-beza bagi setiap individu.

Sebagai contoh, kaedah IUD yang mengandungi progesteron mungkin memberikan kesan yang lebih rendah kepada libido. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan jumlah hormon yang diserap adalah sedikit berbanding penggunaan pil. 

Penggunaan alat IUD juga tidak akan memberikan tekanan kepada proses ovulasi, ia sekali gus menyebabkan persekitaran hormon normal badan dapat dikekalkan. 

Pil mini hanya mengandungi progestin dan terdapat beberapa bukti yang mengatakan pil jenis ini kurang memberikan kesan berbanding pil kombinasi. Walau bagaimanapun, penyelidikan lanjut masih perlu dilakukan.

Kaedah bebas hormon

Libido Wanita TERJEJAS Kerana Kaedah Kontraseptif

Jika anda tidak mahu mengambil alat kontraseptif yang boleh menjejaskan hormon, jangan risau. Masih terdapat pilihan lain.

“Satu-satunya cara mengelakkan kesan sampingan yang boleh dijamin adalah dengan memilih kaedah kawalan kelahiran bebas hormon. Ini adalah termasuk penggunaan IUD tembaga, kondom, diafragma dan spermisida. 

“Walau bagaimanapun, penggunaan kaedah bukan hormon adalah kurang berkesan, kecuali kaedah IUD. Maka anda perlu untuk lebih berhati-hati ketika melakukan hubungan seks” ujar Dr Ashley. 

Dr Alex menekankan, keinginan seksual adalah satu perkara yang sangat kompleks. Ia mungkin berkaitan dengan tahap hormon tertentu. Tetapi dalam masa yang sama ia turut dipengaruhi oleh psikologi.

Sebagai contoh, penggunaan IUD tembaga cenderung menyebabkan kekejangan dan meningkatkan pendarahan, sekali gus mengurangkan keinginan seks. Manakala, penggunaan kawalan kelahiran kurang efektif seperti kondom pula, turut boleh menyebabkan anda kurang berkeinginan untuk melakukan seks.

Keadaan berkaitan melibatkan trauma serta isu kesihatan mental juga boleh menjadi risiko yang menjejaskan libido. Pengambilan ubatan seperti antidepresi juga boleh menjejaskan keinginan seksual. 

Cuba dan terus cuba

Dalam menguji sesuatu alat kawalan kelahiran, sekiranya anda mendapati ia menjejaskan keinginan seksual, anda boleh menghentikannya. Pakar menyarankan untuk mencuba pelbagai jenis kaedah kontraseptif sebelum anda menemui alat yang tidak menjejaskan libido (serta aspek kehidupan lain seperti migrain).

Dr Dana menyatakan tahap neurotransmitter memerlukan tempoh beberapa minggu untuk ia kembali kepada keadaan normal, sekiranya libido anda berkurangan. Keadaan ini terutamanya jika anda telah mengambil alat kawalan kelahiran seperti pil untuk tempoh tertentu. 

Pengambilan pil juga boleh menjejaskan aliran darah dalam faraj dan klitoris. Keadaan ini sekali gus akan memberikan kesan kepada proses rangsangan juga keupayaan untuk mencapai orgasma. 

Kesimpulan

Sebenarnya jika anda ingin memakai sebarang alat kawalan kehamilan, cara terbaik adalah dengan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada doktor yang bertauliah. Ini kerana tidak semua kaedah kontraseptif sesuai bagi sesetengah individu.

Paling utama, pastikan anda turut berbincang secara terbuka dengan pasangan anda. Ia dapat membantu si dia untuk memahami apa yang anda lalui. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Februari 17, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Februari 14, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut