Fakta Mengenai Tuberkulosis

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tuberkulosis (tibi) ialah penyakit berjangkit paling berbahaya di dunia. Mari ikuti fakta penting mengenai penyakit ini.

1. Setiap satu jam, 3 individu mati disebabkan tuberkulosis

Penyakit tibi telah dikenal pasti sejak awal abad ke-18, tetapi ia masih lagi menjadi ancaman penting bagi dunia walaupun vaksin dan rawatan yang berkesan terdapat di pasaran. Antara punca kes tibi masih tinggi ialah pertambahan kes HIV/AIDS dan rintangan antibiotik.

Penyakit ini terdapat di setiap negara di dunia. Pada tahun 2017, 10 juta individu telah dijangkiti tibi dan menyebabkan 1.6 juta kematian (termasuk 0.3 juta dalam kalangan penghidap HIV) bersamaan 3 kematian setiap satu jam.

Ia juga termasuk dalam 10 sebab utama kematian di peringkat global.

2. Penyebab utama kematian dalam kalangan penghidap HIV

Jangkitan HIV menyebabkan sistem imun badan pesakit menjadi lemah sehingga terdedah kepada banyak jangkitan dan penyakit. HIV tidak membunuh tetapi jangkitan lain yang melakukannya dan tuberkulosis merupakan sebab utama kematian dalam kalangan penghidap HIV.

3. Rintangan antibiotik telah menjadi krisis kesihatan awam dunia

Rintangan antibiotik berlaku apabila sesuatu bakteria (dalam kes ini Mycobacterium tuberculosis), menjadi kebal kepada antibiotik menyebabkan rawatan menjadi semakin sukar. Ubat-ubatan yang kebiasaannya berkesan dalam membunuh bakteria tersebut sebaliknya tidak lagi berfungsi. Jadi, ubat baru perlu dicipta.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan terdapat sebanyak 558,000 kes baru tibi yang kebal kepada ubat rifampicin (ubat tibi paling efektif).

4. 54 juta nyawa berjaya diselamatkan melalui diagnosis dan rawatan sepanjang tahun 2000 hingga 2017

Perkembangan ilmu dan teknologi perubatan telah banyak membantu mengawal jangkitan tuberkulosis. Di peringkat global, terdapat pernurunan pada kadar kes tibi sebanyak 2% tetapi masih perlu ditingkatkan kepada 4% hingga 5% setahun bagi mencapai sasaran WHO melalui End TB Strategy.

Melalui Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pula yang digariskan oleh WHO, antara sasaran bidang kesihatan termasuk menghapuskan epidemik tuberkulosis menjelang tahun 2030.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut