Apakah Komponen Darah dan Fungsinya?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tahukah anda mengapa hospital, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yayasan, dan doktor sering menggalakkan masyarakat menderma darah? Tidak lain kerana ia adalah sangat penting bagi menyelamatkan banyak nyawa pesakit. Bagaimana? Ketahui komponen darah dan fungsinya untuk lebih memahami.

4 komponen utama darah: plasma, sel darah merah, sel darah putih, platelet

Darah ialah sejenis cecair di dalam badan yang mempunyai fungsi tertentu. Ia terbahagi kepada 4 komponen utama dengan fungsi berbeza.

Semua komponen ini boleh dipisahkan melalui proses emparan (centrifuge) iaitu dengan memutarkan sampel darah di dalam sebuah tiub selama beberapa minit untuk memisahkan komponen tersebut mengikut ketumpatan. Sel darah merah mempunyai ketumpatan paling tinggi menyebabkan ia mendap di bawah, diikuti dengan sel darah putih dan platelet, seterusnya plasma.

Komponen darah

Secara am, fungsi utama darah ialah:

  • Memindahkan oksigen dan nutrien ke tisu seluruh badan.
  • Membentuk darah beku bagi menghentikan sebarang pendarahan.
  • Membawa sel tertentu dan antibodi untuk melawan jangkitan.
  • Membawa sisa produk ke buah pinggang dan hati untuk ditapis dan dibersihkan.
  • Mengawal suhu badan.

Sel darah merah (RBCs) bertanggungjawab menjalankan fungsi membawa oksigen (O2) (dan karbon dioksida keluar dari badan) melalui sejenis protein hemoglobin (Hb). Protein ini juga yang memberikan warna merah pada darah. Warna tersebut lebih pekat pada darah arteri (tinggi oksigen) berbanding vena (rendah oksigen). Kekurangan hemoglobin membawa kepada keadaan yang disebut sebagai anemia.

Sel darah putih (WBCs) berperanan melawan jangkitan melalui sel secara langsung atau penghasilan antibodi daripada protein. WBCs dibahagikan lagi kepada banyak jenis sel dan bacaan sel tertentu akan meningkat semasa jangkitan. Bagi pesakit HIV/AIDS, bilangan sel yang dinamakan sel CD4 berkurang menyebabkan pesakit mudah diserang jangkitan.

Platlet berfungsi membentuk darah beku ketika berlaku pendarahan untuk mengurangkan kuantiti darah yang hilang. Kekurangan pada bilangan platlet boleh menyebabkan pendarahan tidak berhenti.

Plasma yang merangkumi 55% komponen darah ialah cecair lutsinar mengandungi pelbagai komponen termasuk protein, enzim, nutrien, sisa produk, hormon, dan gas. Setiap satu dari komponen ini mempunyai peranan tersendiri dalam memastikan ekosistem badan berjalan dengan seimbang.

Lihat betapa banyak peranan penting yang dimainkan oleh cecair ini. Oleh sebab itulah ia sangat penting dan diperlukan oleh ramai individu di luar sana.

Masyarakat memerlukan darah anda

Pusat Darah Negara (PDN) memerlukan 2,000 beg darah sehari untuk memenuhi keperluan hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

Pelbagai jenis keadaan kesihatan memerlukan pemindahan darah bagi menyelamatkan nyawa pesakit termasuk kemalangan, pembedahan, dan penyakit darah seperti talasemia. Menderma darah tidak memerlukan anda untuk mengeluarkan sebarang duit dan prosedur tersebut adalah selamat bagi kebanyakan individu (sesetengah individu tidak boleh menderma darah atas masalah kesihatan tertentu).

Bayangkan betapa besar sumbangan yang anda boleh bagi untuk menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan darah di saat kritikal. Jom derma darah!

Hello Health Group tidak memerlukan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut