Jangan Abaikan Keadaan Kulit Berikut!

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 23/01/2020

Keadaan kulit tertentu boleh mengakibatkan gangguan kepada fizikal dan emosi seseorang individu. Walaupun ia adalah masalah luaran, namun kesannya boleh menjejaskan kekuatan mental individu. Tahap keterukan keadaan kulit setiap individu adalah berbeza. Namun yang demikian, itu tidak bermakna anda boleh mengambil mudah akan keadaan-keadaan kulit yang lazim. 

Ambil peduli keadaan kulit anda

Ramai orang cenderung untuk memandang ringan terhadap keadaan kulit mereka terutamanya jika ia tidak mengakibatkan sebarang simptom yang menggusarkan. Ini adalah sesuatu yang normal dan semula jadi. Jika tidak membebankan, mengapa perlu risau, kan? Justeru, kebanyakan masalah kulit yang lazim akan dibiarkan begitu sahaja, dengan harapan ia akan hilang atau pulih sendiri. 

Walau bagaimanapun, algoritma tingkah laku tersebut adalah sesuatu yang agak berbahaya. 

Lama-kelamaan jika dibiarkan, ia mampu mendatangkan masalah di kemudian hari. Berikut merupakan antara keadaan kulit lazim yang boleh menyebabkan komplikasi kesihatan jika ‘diabaikan’ terlalu lama: 

Tahi lalat

Kemunculan tahi lalat pada anggota tubuh adakalanya digemari oleh segelintir individu, namun sesetengahnya pula tidak suka akan keberadaan tahi lalat terutama jika terletak di bahagian-bahagian tubuh yang menjadi tumpuan. Selain itu, kewujudan tahi lalat juga kadangkala dianggap sebagai normal dan tidak diendahkan oleh individu. Ada yang menganggap tahi lalat adalah sesuatu yang menyerikan wajah, dan ada juga yang tidak gemar akan kewujudannya. Dari sudut kesihatan, tahi lalat merupakan satu indikator yang penting untuk sejenis kanser kulit malignan – melanoma.

Tahi lalat biasanya berwarna hitam atau gelap yang sekata. Ia boleh wujud dalam pelbagai saiz dan boleh timbul sedikit berbanding kulit sekeliling. Tahi lalat boleh ada sejak lahir namun kebanyakannya akan mula muncul ketika fasa kanak-kanak dan/ atau remaja. Walau bagaimanapun, tahi lalat yang mula muncul apabila seseorang itu telah dewasa mungkin petanda kepada kanser kulit. Untuk itu, orang dewasa yang mula perasan kewujudan tahi lalat baru pada tubuh mereka disarankan untuk berjumpa dengan doktor pakar kulit.

Selain daripada kewujudan tahi lalat yang baru, anda juga perlu berikan perhatian kepada tahi lalat yang sedia ada. Ini kerana perubahan kepada ciri-cirinya boleh menjadi penanda kepada perkembangan kanser kulit. Mujurlah, terdapat panduan ABCDE untuk membantu menilai tahi lalat anda. Panduan tersebut adalah seperti berikut:

Asymmetry (Asimetri): Pilih satu tahi lalat, bandingkan sebelah kiri tahi lalat tersebut dengan bahagian sebelah kanan. Lihat jika bentuk dan juga warnanya tidak sama.

Border (Sempadan): Perhatikan jika sempadan tahi lalat tersebut tidak sekata, pudar atau tajam. 

Colour (Warna): Perhatikan jika wujudnya ketidaksamarataan warna pada mana-mana tahi lalat. Ini boleh melibatkan tona yang boleh dilihat seperti warna perang gelap ataupun tompok berwarna merah jambu. 

Diameter: Ukur diameter tahi lalat anda jika ia melebihi ukuran rentas 6 milimeter (sekitar ¼ inci atau bersamaan saiz pemadam di hujung pensil). Lazimnya, tahi lalat yang lebih besar daripada saiz ini terjadi akibat pembahagian sel kanser kulit. Namun yang demikian, terdapat juga melanoma yang berukuran lebih kecil berbanding saiz tersebut.  

Evolving (Berkembang): Lakukan penilaian berkala pada tahi lalat di kulit anda. Perhatikan sebarang perkembangan atau perubahan dari segi saiz, warna dan juga sempadannya. 

Jika mengenal pasti sebarang perubahan drastik dalam parameter yang dinyatakan di atas, pastikan anda berjumpa dengan doktor anda untuk mendapat pengesahan.

Seborrheic dermatitis

Seborrheic dermatitis (SD) merujuk kepada keradangan kronik kulit yang menyebabkan sisik, kemerahan dan juga pembentukan kelemumur. Walaupun ia lazimnya membabitkan kawasan kulit kepala, SD turut boleh berlaku di bahagian kulit yang lain seperti janggut, kening, dada, di tepian hidung dan juga telinga. Untuk sesetengah individu, kulit kering dan kelemumur bukanlah sesuatu yang merisaukan untuk mereka. Walau bagaimanapun, kulit kering yang kerap digaru boleh menyebabkan kulit tersebut merekah. Ini boleh menyebabkan kerosakan kepada integriti kulit dan membuka peluang untuk jangkitan bakteria sekunder. Apabila jangkitan bakteria mengambil tempat, ia boleh meningkatkan kemerahan, penghasilan eksudat (lelehan) dan juga kerengsaan atau kegatalan. 

Tambahan lagi, seperti tahi lalat, kewujudan SD juga boleh menjadi indikator kepada keadaan kesihatan yang lebih membimbangkan. Lebih daripada sekadar keadaan kulit, kajian telah mendapati bahawa SD lebih kerap berlaku dalam individu yang menghidap jangkitan HIV/AIDS. Kebanyakan mereka yang telah dijangkiti oleh virus ini tidak menunjukkan sebarang gejala untuk 1 hingga 5 tahun pertama. Ini menyebabkan individu tersebut cenderung untuk menganggap bahawa mereka adalah ‘bersih’ dan bebas untuk melakukan persetubuhan rambang tanpa perlindungan. Ini seterusnya akan mengeruhkan lagi masalah penyebaran jangkitan HIV dalam masyarakat. 

Justeru, kewujudan SD boleh menjadi tanda amaran awal yang penting untuk anda mendapatkan saringan. Jika anda mempunyai faktor risiko seperti mengambil dadah intravena atau melakukan seks rambang tanpa perlindungan, pastikan anda pergi berjumpa doktor untuk mendapat pengesahan status jangkitan anda. 

Jerawat

Jerawat adalah keadaan kulit yang berlaku apabila folikel rambut pada kulit menjadi tersumbat akibat daripada pengumpulan sel-sel yang telah mati dan juga minyak (sebum). Ini kemudiannya akan menyebabkan keradangan setempat. Kelenjar yang menghasilkan sebum di bawah kulit anda disebut sebagai kelenjar sebum manakala liang pada kulit pula disebut sebagai liang pori. Folikel rambut anda adalah struktur yang menghubungkan liang pori dengan kelenjar sebum. Keradangan berlaku apabila liang yang tersumbat itu dikolonisasi oleh bakteria Cutibacterium acnes (C. acnes).

Jerawat boleh melibatkan kawasan wajah, bahu, belakang dan juga dada. Lazimnya, jerawat memberikan impak yang lebih kuat kepada keyakinan diri seseorang berbanding kesihatan fizikal mereka. Namun yang demikian, jika dibiarkan tanpa sebarang penjagaan, keadaan kulit ini boleh menyebabkan keradangan berpanjangan dan pembentukan parut. Kewujudan parut yang jelas dan banyak pada wajah akan menerukkan lagi masalah keyakinan diri dan meningkatkan risiko seseorang itu untuk mengalami masalah kegelisahan, gangguan panik dan kemurungan

Selain itu, jerawat, jika dibiarkan terlalu lama boleh menyebabkan komplikasi yang berbahaya. Terdapat satu kawasan di muka anda yang disebut sebagai danger triangle. Segi tiga ini membabitkan kawasan atas bibir (tapak segi tiga) sehinggalah bahagian permulaan tulang hidung. Sistem salur darah vena di kawasan ini tidak mempunyai injap untuk memastikan darah mengalir dalam satu arah. Untuk itu, jangkitan bakteria sekunder di kawasan ini boleh merebak ke bahagian otak, menyebabkan keadaan seperti meningitis dan juga pembentukan nanah dalam otak. 

Tuntasnya, kulit anda dapat menceritakan lebih banyak lagi tentang apa yang berlaku di dalam. Jika anda mengenal pasti sebarang perubahan atau mempunyai sebarang kerisauan terhadap keadaan kulit anda, berjumpalah dengan doktor pakar kulit segera. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis ataupun rawatan.

enEnglish

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Awas! Jika Kulit Anda Seperti Ini, Anda Mungkin Ada Kencing Manis!

    Tahukah anda, masalah kulit akantosis nigrikan merupakan tanda awal kencing manis? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

    Penjagaan Kuku, Penting Untuk Cegah Masalah Kuku

    Aspek penjagaan kuku sering kali dianggap remeh. Tetapi kuku yang tidak terjaga berisiko untuk mengalami masalah kuku. Apakah masalah yang mungkin berlaku?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa

    Krim Pelindung Matahari Bantu Atasi Risiko Kanser Kulit

    Keluar rumah, pakai krim pelindung matahari? Kebanyakan daripada kita menganggap ia tidak penting. Tetapi ia membantu melindungi diri daripada kanser kulit.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa

    Eh…Jerawat Apa Pulak Ni? Jom Kenal Pasti Jenis Jerawat

    Arghh!!!!! Jerawat… Macam mana ni? Sure rasa nak picit-picit aje kaaaaaaan? Jom kita kenali jenis jerawat yang mungkin ‘menghantui’ diri anda.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa

    Artikel lain untuk anda

    topeng muka

    Ini 5 Jenis Masalah Kulit Yang Sering Berlaku Jika Terlalu Lama Pakai Topeng Muka!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 21/05/2020
    produk hilangkan jeragat

    Nak Wajah Berseri Di Hari Raya? Cuba 5 Produk TERBAIK Ini Untuk Hilangkan Jeragat

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 21/05/2020
    pil perancang keluarga

    Biar Betul! Pil Perancang Keluarga Boleh Kurangkan Period Pain? 

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 12/05/2020
    jatuh cinta

    Muka Berjerawat Kerana Sedang Mabuk Dilamun Cinta- Boleh Percaya Ke?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 08/03/2020