Selamatkah Penggunaan Straw Besi?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Trend penggunaan straw besi atau stainless steel sudah mula menarik perhatian ramai pengguna. Ini berikutan banyak kedai makan atau restoran yang sudah mula untuk tidak menyediakan penyedut minuman atau straw bagi pelanggan mereka. Hal ini berlaku disebabkan bermulanya kesedaran untuk mengurangkan penggunaan plastik terutamanya plastik sekali guna (single-use plastic) yang boleh mencemarkan alam sekitar. 

Apabila straw sudah tidak disediakan, masing-masing mula mengambil ikhtiar dengan menggunakan straw yang dibawa sendiri iaitu penyedut minuman besi. Ia boleh digunakan secara berulang kali, dengan syarat ia dibasuh sebelum digunakan kembali. Persoalannya, adakah penggunaan straw besi ini pula benar-benar selamat untuk anda? Ikuti jawapannya di bawah.

Adakah straw besi selamat?

Straw besi biasanya diperbuat daripada stainless steel atau keluli tahan karat dengan kualiti gred makanan. Ini bermakna, ia selamat untuk digunakan sebagai salah satu peralatan makanan. Ia adalah 100% selamat dan merupakan pilihan yang lebih baik berbanding straw plastik pakai buang yang biasa kita gunakan. Ia juga pilihan yang lebih berbaloi berbanding straw jenis lain seperti buluh yang mudah patah dan jangka masa penggunaan yang pendek.

Walau bagaimanapun, memandangkan sifatnya yang tidak fleksibel atau tidak boleh dilentur sepertimana straw plastik, ia perlu digunakan secara berhati-hati. Jika tidak, ia akan menyebabkan kecederaan kecil pada bahagian gusi atau lelangit mulut. Jika anda masih tidak tahu, pernah berlaku kejadian yang agak mengerikan akibat penggunaan straw besi yang disebabkan oleh sedikit kemalangan di dapur rumah. 

Tercucuk mata, otak

Di England, seorang wanita yang berusia 60 tahun telah mengalami kecederaan pada mata kirinya apabila penyedut minuman besi yang dibawanya di dalam gelas telah tercucuk pada matanya setelah dia terjatuh. Straw yang berukuran 10 inci tersebut juga telah tertusuk terus ke bahagian otaknya, yang menyebabkannya mengalami kecederaan otak yang agak teruk. Dia kemudiannya meninggal dunia keesokan harinya disebabkan oleh kecederaan yang berlaku.

Straw besi itu sendiri tidaklah berbahaya, tetapi pengendalian yang kurang cermat dan tidak berhati-hati boleh menyebabkan kecederaan atau kemalangan. 

Kebaikan penggunaan straw besi

Walaupun harga straw besi ini agak mahal, ia agak berbaloi untuk penggunaan jangka panjang. Pertama, ia mudah untuk dicuci memandangkan setiap pembelian akan disertakan bersama dengan berus pencuci khas. Ia juga boleh dikitar semula apabila anda tidak lagi ingin menggunakannya. Selain itu, straw besi juga tidak mudah rosak dan berkarat memandangkan ia diperbuat daripada jenis keluli tahan karat. 

Memandangkan penyedut minuman besi ini dihasilkan daripada logam, ia tidak sesuai untuk digunakan bagi hidangan minuman panas memandangkan logam merupakan pengalir haba yang baik. Tapi, siapa yang minum air panas menggunakan straw kan? Bagi ibu bapa pula, jangan sesekali biarkan anak kecil anda menggunakan straw besi tanpa pemerhatian anda. Mereka tidak boleh secara sewenang-wenangnya menjadikan penyedut minuman besi sebagai alat permainan agar mereka tidak tercedera.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan